Kekeluargaan

Perkahwinan Bukan Untuk Lelaki Bersenang-lenang, Wanita Pula Hidup Tertekan

Share

Perkahwinan bukan untuk lelaki bersenang-senang, wanita pula hidup tertekan. Dahulu, wanita tidak bekerja. Kini, lelaki dan wanita sama-sama keluar mencari rezeki. Maka, konsep pelaksanaan tanggungjawab dalam rumah tangga juga sudah berubah.

Perkahwinan Bukan Untuk Lelaki Bersenang-lenang, Wanita Pula Hidup Tertekan

Apabila orang tua menasihati anak lelaki mereka untuk berkahwin, antara alasan yang sering diberikan ialah:

“Ada orang yang akan jaga makan pakai kamu.”

“Nampaklah kamu lebih terurus.”

“Dapat makan sedap. Balik rumah semua sudah terhidang.”

“Taklah terlalu penat bekerja. Banyak beban akan jadi ringan bila dah ada isteri.”

Inilah antara sebab lazim yang sering diberikan kepada lelaki bujang tentang mengapa mereka perlu berkahwin. Ya, perkahwinan sering digambarkan sebagai satu peluang dan kemudahan kepada lelaki. Maka, tertanamlah dalam fikiran bahawa perkahwinan itu mudah dan penuh manfaat buat suami.

Kahwinlah…

Ada orang yang gosokkan baju. Jika dahulu, perlu bangun jam 5.30 pagi untuk bersiap ke tempat kerja, kini bangun jam 6.30 pagi pun masih sempat kerana baju sudah siap diseterika. Ya, kahwin bermakna boleh dapat masa tidur tambahan.

Kahwinlah…

Ada orang siapkan sarapan pagi. Kalau sebelum ini sering terlepas makan pagi, selepas kahwin, bangun sahaja sudah tersedia makanan. Makan pun tinggal sahaja pinggan di meja, isteri akan uruskan. Suami yang lambat? Tidak mengapa. Itu urusan dia dengan bosnya. Ya, kahwin bermakna lebih kebebasan masa untuk lelaki.
Kahwinlah…

Tidak perlu makan di luar lagi yang mahal dan belum tentu bersih. Balik rumah sudah ada makanan yang dimasak. Belanja pun jimat. Bahkan, kadang-kadang suami boleh ‘terlupa’ beli barang dapur, isteri pula yang akan ‘top up’ semuanya. Ya, kahwin memberikan penjimatan kewangan tambahan.

Kahwinlah…

Dulu perlu pasang jam loceng untuk bangun Subuh. Selalu pula terlajak tidur. Kini, tidak mengapa tidur semula. Isteri akan bangun awal dan berulang kali mengejutkan suami. Ya, kahwin bermaksud boleh kembali menjadi seperti kanak-kanak, dimanjakan.

Akhirnya, tidak hairan jika selepas berkahwin, lelaki semakin senang, manakala wanita semakin tertekan.

Semakin lama usia perkahwinan, semakin menjadi-jadi miangnya lelaki. Perkahwinan yang sepatutnya mendidik menjadi lebih matang, malah digunakan sebagai alasan untuk berbincang soal “menambah seorang lagi.”

Sedangkan wanita di rumah sudah seperti dalam medan peperangan — mengurus anak-anak, suami, kewangan, pendidikan, kerja rumah, dan urusan sekolah. Tetapi tidak mengapa, sebab sejak dahulu lagi wanita memang ‘diajar’ untuk berkorban.

“Apabila dah berkahwin, tak sama macam dulu… Kita kena berkorban. Hidup berubah 100% dan sangat mencabar.”

“Kahwin ni, tak boleh berkawan sangat dah. Suami itu raja, jaga suami macam jaga raja.”

“Kalau dah kahwin, jangan susahkan suami. Layan suami dan seluruh keluarganya. Jangan bagi dia buat apa-apa, isteri solehah yang buat semuanya.”

“Jaga suami elok-elok. Kalau suami lari, kamu yang berdosa.”

Lihatlah perbezaannya: pesanan kepada wanita ialah untuk bersedia berkorban, pesanan kepada lelaki ialah untuk menerima kemudahan. Inilah antara punca kepincangan rumah tangga masa kini.

Perkahwinan bukan ruang untuk lelaki berehat, dan bukan medan pengorbanan sehala bagi wanita.

Realitinya, perkahwinan kini menjadi tempat lelaki mengurangkan kesusahannya dengan menyerahkan beban kepada isteri, dan wanita pula terpaksa meninggalkan ketenangan hidup demi suami.

Ini adalah gambaran perkahwinan yang tempang dalam masyarakat kita.

Budaya ini perlu dihentikan. Islam tidak pernah mengajar bahawa perkahwinan itu mudah bagi suami. Bahkan, perkahwinan adalah satu amanah dan tanggungjawab yang berat buat lelaki — bukan peluang untuk melepaskan beban ke bahu isteri.

Anak lelaki perlu diajar hakikat sebenar tanggungjawab perkahwinan.

Kita sering mendidik anak perempuan untuk ‘bersedia’ menghadapi cabaran perkahwinan. Namun, kita gagal mendidik anak lelaki tentang peranan dan tanggungjawab sebenar sebagai suami dan ketua keluarga.

Akhirnya, berlaku konflik tanggungjawab — suami menjadi lebih ‘wanita’, dan isteri terpaksa menjadi lebih ‘lelaki’.

Sebenarnya, perkahwinan itu berat untuk wanita, namun jauh lebih berat untuk lelaki kerana:

Allah meletakkan lelaki sebagai ketua keluarga, ibarat kapten kapal yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan perjalanan rumah tangga — bukan anak kapal yang lepas tangan.

Lelaki perlu sedar — apabila dia mengambil anak dara orang sebagai isteri, itu bukan untuk dijadikan pembantu rumah, tetapi teman hidup.

Wanita juga perlu faham — apabila disunting lelaki, mereka perlu menyayangi dan berkhidmat dengan ikhlas dalam pola “memberi dan menerima”, bukan dalam pola “parasitisme” seperti yang banyak berlaku kini.

Kesilapan warisan mesti dihentikan.

Perkahwinan bukan medan untuk lelaki duduk di takhta, diperaja dan memperguna kudrat isteri. Kita perlu menyampaikan pesanan yang adil dan seimbang kepada anak-anak lelaki dan perempuan kita.

Perkahwinan bukan konsep “seorang hidup, seorang lagi mati,” tetapi satu perkongsian hidup — dua jiwa yang sama-sama hidup, saling memberi dan menerima kasih sayang, cabaran, tanggungjawab dan amanah.

Perkahwinan adalah medan yang payah. Jangan ambil mudah.

Didikan tentang perkahwinan harus bermula sejak kecil. Kita tidak dapat mengubah generasi suami yang sudah ada, tetapi kita boleh mendidik anak-anak lelaki kita supaya menjadi suami dan ayah yang bertanggungjawab suatu hari nanti.

Inilah tujuan sebenar pendidikan perkahwinan dalam Islam — untuk membentuk kesedaran peranan jantina, bukan untuk melaga-lagakan lelaki dan wanita.

Sumber: Sharifah Zahidah

Baca artikel lain juga: Wanita Bujang Kalau Nak Kahwin Dengan Duda, Ada Perkara Kena Check Dengan Bakal Suami

Isteri Tertekan Hidup Dengan Suami Terlalu Berkira, Semua Perkara Nak Kena Kongsi Bayar

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE 

 

Published by
Has