Orang cakap, perkahwinan ini umpama pertaruhan. Jika bahagia, hendaknya bahagia hingga ke hujung nyawa. Namun, jika ditakdirkan ‘hujan di tengah panas’ dan tdiak mampu bertahan, jalan terbaik adalah dengan sebuah perpisahan.
Mestinya setiap pasangan tidak mahu perpisahan. Sekadar bergaduh, masam muka atau terasa hati, itu adalah asam garam kehidupan suami isiteri. Malah, boleh dikatakan pasangan sanggup berkorban apa sahaja demi menjaga kebahagiaan rumah tangga.
Hakikatnya, tidak semua rumah tangga itu bahagia. Kalau semua pasangan bahagia, amanlah dunia. Ketahuilah, kebahagiaan setiap pasangan sangat berbeza. Hanya mereka sahaja yang tahu untuk ‘mengadun’ kebahagiaan masing-masing.
Itulah antara yang diperkatakan dan dikongsikan oleh Insyirah Soleha tentang sebuah perkahwinan. Tidak terlepas tentang bagaimana pengorbanan seorang isteri pada suami tercinta.
Ramai kawan baik yang triggered dengan masalah dalam memuliakan suami, sehiggakan mereka merasakan diri tidak berguna selama berkahwin. Ini kerana,pasangan banyak berkorban perasan, harta dan saling bersusah payah untuk membina kehidupan bersama. Namun, semua yang dilakukan adalah sia-sia.
Saya speechless sebab bukan sedikit, tapi ramai. Sebab tu saya selamba bagitahu ada isteri jadi solehah sebab pijak suami. Respon masing-masing ketawa sambil cakap saya ini cari pasal sungguh.
Sebab saya berjaya buat sahabat-sahabat ketawa, saya tampal juga di dinding maya.
Rumah tangga kita berbeza. Tak sama dengan orang lain. Nakhoda kapal berbeza, anak kapal juga berlainan dengan mereka. Maka janganlah kita bina hidup kita tapi ikut resepi orang lain.
Boleh saja kita ubah ikut kesesuaian.
Rendang ibu dengan rendang ibu mertua pun tak sama resepi, tapi kita tetap makan dan raikan masakan mereka walaupun kita chef katering untuk majlis kahwin beribu orang puji masakan kita yang tak sama langsung dengan resepi ibu dan mertua. Ok ni contoh saja.
Kaki kita dan orang lain tak sama.
Ada orang, dengan selipar jepun pun dah boleh speed up tinggal semua orang sebab dia johan pelari pecut zaman berzaman.
Ada orang, selipar saja RM100 tapi dia tak mampu jalan sempurna, kena bantuan tongkat untuk melangkah tapak demi tapak.
Begitu juga kehidupan kita.
Ada orang boleh banting tulang siang dan malam, dia berpuas hati dan bahagia melayani semua orang di sekeliling tanpa merungut. Sebab dia bahagia dengan cara tersebut.
Ada orang jalan sedikit sudah semput. Baru berdiri 1 jam mengurus rumah tangga dah sakit pinggang, sakit belikat. Bukan sebab dia tak jaga pantang lepas bersalin, tapi dia ada penyakit kronik.
Bila dia terlalu bekerja keras untuk puaskan kehendak orang, dia akan tumbang dan menyusahkan orang yang menyayangi diri dia. Jadi, dia belajar untuk maafkan diri dan diajar supaya tidak menyusahkan lebih dari kemampuan diri.
Ada pasangan yang tak kisah kalau tak ada air berlapik piring, sebab suami sendiri suka bancuh air dan ajak isteri minum sama-sama.
Ada pasangan tak boleh kalau tak bancuh air waktu petang, paling kurang ada teh O dan biskut kering yang isteri hidangkan.
Perkahwinan bukan perlumbaan. Ia adalah perjalanan. Sentiasa belajar dan sentiasa juga maafkan diri. Kalau ada kekurangan dari satu pihak, maka pihak satu lagi bantu untuk tampung.
Kawan-kawan,
Berbahagialah dengan apa yang kita ada. Pengorbanan orang lain tak sama dengan kita, bukan bermakna kita tidak berusaha. Cuma, ikhtiar kita yang berbeza.
Berbahagialah. Kalau tidak mampu dengan satu cara, ada banyak lagi cara lain yang boleh kita usahakan untuk sama-sama berbahagia.
MW: Berkahwin bukan hanya ingin hidup sehari dua bersama pasangan. Tetapi, ingin sehidup semati. Binalah bahagia dengan cara kita.
Sumber: Insyirah Soleha