Perjuangan anak syurga terbela di dunia, peguam ulas kes Bella & ucap terima kasih kerana satukan ramai insan hebat.
Semalam ramai mengucapkan syukur di atas kemenangan yang berpihak kepada remaja down sindrom, Bella yang didera dan dianiaya. Mahkamah juga telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun dan dirinya sudah dihantar ke Penjara Kajang mulai semalam.
Kes ini mendapat liputan meluas kerana ramai yang ternanti-nantikan apa pengakhirannya kerana bukan saja rakyat biasa tetapi juga Tengku Mahkota Johor dan isteri turut memberikan perhatian ke atas kes ini hingga menghantar peguam pemerhati.
Peguam terkenal, Nor Zabetha turut mengulas kes ini dari sudut perundangan dan mengucapkan terima kasih kepada adik Bella kerana menyatukan banyak pihak untuk melihat dirinya terbela di dunia. Ya, perjuangan anak syurga ini sudah meraih kemenangan di dunia dan pastinya di syurga, dirinya kembali bersenang lenang.
Ikuti perkongsian dari Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna @ Co.
Pagi tadi saya ke mahkamah untuk menghadiri keputusan kes Bella, sebagai tanda sokongan kepada Bella dan kesemua orang yang memperjuangkan keadilan bagi Bella.
Setelah beberapa lama kita semua menunggu keputusan Bella.
Dari pagi lagi, di antara kami berlegar-legar di kepala, jika disabitkan kesalahan. Berapa lama agaknya keputusan yang akan dijatuhkan? Atau berapa denda? Atau berapa lama khidmat masyarakat?
Maksimum penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak adalah 20 tahun. Masing-masing menanti.
Keputusan dibacakan oleh Tuan Hakim terang dan jelas dalam mahkamah terbuka. Alasan penghakiman yang dibaca turut merujuk kepada Seksyen dan Akta, rujukan kepada kes undang-undang terdahulu dan prinsip undang-undang.
Saya ringkaskan dan rumuskan berdasarkan apa yang dibaca oleh Tuan Hakim di mahkamah terbuka tadi.
Dalam kes Bainun ini, terdapat dua pertuduhan. Bermakna ada 2 perbuatan jenayah yang dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) oleh Bainun terhadap Bella.
Pertama dia dituduh mengabaikan Bella sehingga Bella mengalami kecederaan emosi dan fizikal.
Perlu faham maksud abai iaitu cuai atau tidak ambil tahu atau tidak peduli sehinggakan Bella cedera dan mengalami kecederaan emosi dan fizikal. Isunya bukan siapa yang pukul atau bagaimana cedera tetapi pengabaian sehingga Bella cedera.
Pertuduhan kedua, menganiaya sehingga Bella mengalami kecederaan emosi dan fizikal. Maksud aniaya adalah menyakiti atau menyeksa atau menindas atau menzalimi.
Bagi dua pertuduhan abaikan dan menganiaya Bella, mahkamah perlu menilai keterangan saksi-saksi dari kes pendakwaan dan pembelaan serta meneliti hujahan team pendakwaraya dan pembelaan Bainun.
Mahkamah mengupas satu demi satu isu.
Isu bahawa sama ada Bella mengalami kecederaan emosi?
Mahkamah mempertimbangkan saksi pembelaan Bainun dan juga pendakwaraya iaitu saksi pakar yang hadir bagi menerangkan berkenaan dengan kecederaan emosi.
Mahkamah berpendapat bahawa pembuktian pendakwaan bahawa Bella mengalami emosi adalah kukuh dan tidak disangkal oleh pembelaan Bainun. Maka, telah dibuktikan bahawa Bella mengalami kecederaan emosi.
Seterusnya, isu sama ada Bella mengalami kecederaan fizikal?
Dalam pembelaan Bainun, dia menafikan mendatangkan kecederaan kepada Bella. Malahan mengikut pembelaannya, kecederaan berlaku sewaktu dia di tempat kerja.
Namun demikian, isu berkaitan bahawa kononnya Bella terkena air panas disebabkan bergaduh dengan Balqis , hanya dibangkitkan kepada saksi pembelaan dan tidak pernah ditanyakan kepada saksi pendakwaan dari peringkat awal. Oleh yang demikian, ianya hanya satu pemikiran terkemudian.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Tidak Lagi Kurus Kering, Adik Bella Muncul Kali Pertama Bagaikan Puteri. Cantik & Makin Berisi
Bella Menang, Siti Bainun Dijatuhkan Hukuman Penjara 12 Tahun
10 Peguam Wakili Siti Bainun Tarik Diri, Doa Justice For Bella Didengari Allah
Maksud pemikiran terkemudian bermakna sebelum ini tidak ada pun tapi baru direka-reka dan dibangkitkan. Maksudnya, kalau benar, kenapa soalan-soalan mencadangkan kejadian air panas oleh Balqis ini tidak ditanya pada peringkat awal oleh team pembelaan Bainun.
Malahan pendakwaraya ada tawarkan saksi Aida dan Balqis kepada team pembelaan untuk dipanggil. Namun demikian, tidak dipangil.
Isu alasan bahawa kecederaan akibat termos juga tidak boleh diterima kerana luka yang dialami adalah menyeluruh di tubuh badan Bella dan bukanlah kerana air tertumpah dari termos yang sepatutnya pada bahagian tertentu sahaja.
Mahkamah juga mengambil kira keterangan dari pakar-pakar perubatan berkaitan luka-luka yang dialami Bella.
Berdasarkan keterangan dari SP2 iaitu doktor di bahagian Kecemasan dan Trauma HKL bahawa terdapat banyak kecederaan dan parut lama di badan Bella sewaktu diperiksa. Keterangan ini disokong juga oleh saksi doktor lain bahawa terdapat banyak parut dan kecederaan terdahulu yang dialami Bella. Bermakna jelas bahawa Bella sering mengalami kecederaan sebelum kejadian air panas ini.
Mahkamah juga turut menyentuh bahawa Bainun memperolehi penjagaan Bella melalui perintah mahkamah. Hak penjagaan diperolehi oleh Bainun.
Oleh yang demikian, sekiranya terdapat sebarang kecederaan kepada Bella, Bainun perlu memaklumkan kepada SP12 iaitu Encik Imran, pegawai pelindung Bella.
Kejadian air panas itu berlaku pada 6 hingga 9 Mei 2021. Namun Encik Imran hanya dimaklumkan melalui whatsapp pada 24 Jun 2021 (hampir sebulan setengah) iaitu ketika Bella dibawa ke hospital.
Mahkamah berpendapat bahawa pembelaan Bainun tidak boleh dipercayai dan gagal menimbulkan keraguan kepada dakwaan.
Mahkamah menjatuhkan Bainun bagi pertuduhan pertama iaitu mengabaikan selama 10 tahun dan 12 tahun bagi menganiaya. Hukuman dijalankan secara serentak.
Bainun juga dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama 200 jam selepas 6 bulan dari pemenjaraan dan bon kelakuan baik sebanyak RM5,000 bagi tempoh 5 tahun. Permohonan bagi menangguhkan pemenjaraan Bainun juga ditolak oleh Mahkamah.
Tahniah team pendakwaan. Puan-puan pendakwaraya yang hebat, merangka strategi, menyoal saksi, melakukan penyelidikan undang-undang, membuat hujahan dan berhujah.
Terima kasih dan tahniah kepada saksi-saksi yang tabah memberikan keterangan-keterangan demi keadilan untuk Bella. Terima kasih dan tahniah mereka yang memperjuangkan Bella seperti Mommy Zurianty Sudin , Mona Din , Alif Ahmad, Peguam Mahmud Jumaat , Peguam Megat Syazlee, team peguam pemerhati Tengku Mahkota Johor, kesemua NGO yang terlibat dan kesemua yang sentiasa di belakang Bella. Kesemua warga net dan rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menyokong.
Buat Bella, terima kasih kerana menyatukan kami semua.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.