Terasa bertuah apabila MW berpeluang menggandingkan kedua-dua hajah muda ini seminggu selepas sekembalinya mereka daripada mengerjakan ibadah haji. Banyak cerita menarik yang dikongsikan oleh kedua-duanya yang boleh dijadikan panduan kepada semua pembaca MW.

Mula Tahu Apa Tujuan Hidup

Semenjak hajah Wany Hasrita atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita binti Hasbullah ini menceburi industri seni, ternyata rezeki wanita berusia 27 tahun ini tidak pernah putus. Dia pernah terpilih sebagai penerima Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 31 pada tahun 2018.

Pada tahun 2019 ini, tawaran mengerjakan haji adalah hadiah paling istimewa dalam hidupnya. Ini diakui sendiri oleh hajah muda ini.

“Sebenarnya Wany mendapat jemputan mengerjakan haji ini daripada kerajaan Media Arab Saudi. Setiap tahun mereka ada kuota untuk para wartawan di seluruh dunia. Selain itu mereka juga menyediakan kuota untuk artis-artis di sesetengah negara untuk turut serta.

“Mengerjakan haji bersama Amira merupakan pengalaman ibadah yang menyeronokkan. Dia menyenangkan kerja saya di sana dan sangat memahami saya. Alhamdulillah saya pun tidak bersusah-payah untuk memahaminya dan kami sangat fleksibel. Mungkin sebab itu juga, nama dia terlintas di dalam fikiran saya untuk dibawa pergi bersama mengerjakan haji. Memang rezeki dia. Lagipun Amira memang kenal ustaz yang menolong kami sepanjang berada di sana iaitu Ustaz Syeikh Abdul Kadir. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” ujar Wany memulakan perbualan.

Tidak Perlu Perubahan Mendadak

Wany tidak pernah berbangga dengan gelaran hajah yang dimiliki sebaik kembali ke tanah air.

“Sebenarnya, gelaran hajah muda itu pada Wany, bukan tak penting tetapi bukan sesuatu yang utama. Apa yang penting pada Wany adalah dapat pergi ke sana dan menunaikan ibadah itu sebaik mungkin serta pulang daripada ibadah haji, Insya-Allah menjadi insan yang lebih baik. Makin hari ke hari kita tahu apa tujuan kita hidup di dunia ini. Kita juga lagi dekat dengan Tuhan. Itu yang paling penting.

“Bagaimana Wany bawa status hajah itu? Sudah tentu selepas balik mengerjakan ibadah haji, kita perlu lebih menjaga sikap dan penampilan. Kita juga perlu lebih ingat yang kita ini sebenarnya seorang hamba Allah,” ujarnya lagi.

Selepas balik daripada mengerjakan haji, perubahan yang dirasakannya adalah dari segi rohani.

“Sekarang ini Wany rasa lebih relaks dan tenang untuk buat semua perkara. Kalau ada benda yang datang, semuanya diselesaikan satu persatu. Yang paling penting bagi Wany bukannya kita hendak perubahan yang mendadak seperti pakai tudung labuh dan baju kena longgar. Paling penting, perubahan itu berlaku sedikit demi sedikit dan berterusan. Pada Wany, selain luaran, dalaman juga sangat penting sebab kita sendiri perlu berasa tenang barulah kita mudah untuk melakukan sesuatu,” tambahnya.

Beruntung Dapat Layanan Istimewa

Dapat melihat Kaabah di hadapan mata adalah kenangan paling manis buat Wany Hasrita pada musim haji ini. Bahkan saat paling manis dalam dirinya juga adalah apabila berpeluang masuk ke dalam Raudah.

“Sepanjang sembilan hari mengerjakan ibadah haji semuanya berjalan sangat lancar. Walaupun ketika wukuf hujan lebat. Begitu juga di Mina, hujan lebat. Kabin kami sempat banjir. Tetapi Alhamdulillah digantikan dengan tempat tinggal yang sangat selesa. Keseluruhannya, semua berjalan lancar sehinggalah kami pulang ke tanah air.

“Cabaran paling hebat tidak ada kerana sepanjang di sana saya sangat selesa. Dugaan untuk saya adalah di mana saya punya based bukan di Mekah tetapi kita di Jeddah. Jadi saya tidak berpeluang untuk menghabiskan sepanjang masa beribadah di hadapan Kaabah. Momen beribadah di Kaabah sangat terhad. Itu yang saya terkilan. Tetapi mungkin rezekinya sudah begitu. Itu yang buat saya sedih,” tambahnya.

Menjadi tetamu kerajaan Arab Saudi juga satu kelebihan buat Wany Hasrita. Dia dan Amira menerima layanan istimewa yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Layanan yang saya terima sewaktu mengerjakan haji memang sangat hebat sehinggakan Wany rasa adakah diri ini layak untuk menerima layanan sebegini rupa. Sedangkan ketika di sana Wany nampak di sekeliling Wany bagaimana orang ramai mengerjakan haji.

“Pada ketika itu Wany rasa betapa beruntungnya diri ini jika dibandingkan dengan diri mereka yang ada di situ. Wany dapat lihat keadaan Jemaah haji melakukan ibadah dalam keadaan susah payah dan kesakitan. Usia tua tidak menghalang mereka melakukan ibadah dengan sempurna.

“Melihat pada diri Wany pula pada ketika itu, Wany dapat melakukan ibadah dengan layanan yang sangat baik. Apa yang boleh cakap, mereka (kerajaan Arab Saudi) itu menyenangkan kerja (ibadah) kami ketika di sana. Tempat yang kami tinggal itu juga selesa. Kemudahan yang disediakan juga agak selesa.

“Semuanya sangat mencukupi. Tidak ada apa yang perlu dikomplen. Memang apabila saya datang, saya tidak meletakkan harapan sangat tinggi. Tetapi bila datang dan dapat layanan istimewa, saya tidak tahu hendak cakap apa. Itu paling terbaik yang saya dapat,” kongsinya lagi.

Artis yang baru sahaja mengeluarkan single terbarunya berjudul Belenggu yang dinyanyikan secara duet bersama Datuk Jamal Abdillah ini sempat memberikan sedikit tip bagi anak muda yang mahu mengumpul duit dan mengerjakan haji pada usia muda.

“Yang paling penting jangan rasa diri tidak bersedia, rasa takut dan sebagainya. Saya sendiri pada mulanya apabila dapat jemputan sebegini, saya fikir sempatkah hendak belajar. Tetapi kalau Tuhan itu sudah cakap rezeki awak pergi ke sana, pergilah. Yang penting kita perlu mulakan dengan niat. Nanti Tuhan akan permudahkan. Insya-Allah,” ulasnya lagi.

Masih Seperti Dahulu

Bergelar selebriti juga boleh mengubah seseorang individu yang menceburi industri seni. Wany Hasrita terasa juga tempiasnya apabila bergelar selebriti.

“Perubahan besar dahulu dan sekarang? Bezanya apabila Wani keluar rumah, orang mengenali. Jadi masa berkualiti bersama keluarga semasa di luar itu kita terpaksa berkongsi dengan orang-orang yang minat kita. Jadi itulah harga yang perlu dibayar untuk jadi seorang yang dikenali.

“ Hal-hal lain tidak banyak yang berubah. Dahulu dan sekarang masih sama. Semuanya masih terkawal walau sibuk,” jawabnya.

Status Hajah “Saya Masih Orang Yang Sama”- Amira Othman

Sejak dari awal kemunculan hinggalah kini, penyanyi dan pelakon Amira Othman, 26, personalitinya masih tetap sama. Seorang yang cukup merendah diri dan sentiasa sopan dalam mengatur setiap butir bicara. Apatah lagi selepas melaksanakan ibadah haji terpancar nur di wajah pelantun yang popular dengan lagu-lagu bergenre pop ini.

Bintang yang muncul dari program realiti TV Akademi Fantasia 2013 ini akui selepas dirinya berstatus hajah, ada pihak yang was-was untuk mempelawa dia beraksi di pentas lakonan.

“Saya akui selepas pulang mengerjakan haji memang ada pihak yang takut-takut nak ambil saya berlakon. Pada saya status hajah bukanlah satu halangan untuk aktif dalam bidang seni. Saya masih orang yang sama.

“Hajah pada saya adalah satu rezeki yang besar. Allah jemput saya sebagai tetamu pada usia 26 tahun. Ada doa-doa sebelum ini yang Allah tak kabulkan, Allah kabulkan benda lain yang lebih baik. Apabila sudah sampai tahap ini, saya sedar satu perkara iaitu apa kita nak tak sama dengan apa Allah sudah atur. Malah banyak yang saya pelajari sepanjang perjalanan mengerjakan haji. Saya sedar apa yang ada di dunia ini seperti pangkat, harta atau nama hanya pinjaman. Kita semua sama di sisi Allah,” ungkap Amira memulakan perbualan.

Pengalaman Terindah

Menyifatkan perjalanan menunaikan ibadat haji pada usia muda sebagai pengalaman paling indah dalam hidup dirinya. Malah Amira juga bagaikan tidak menyangka persahabatan baik dengan Wany Hasrita memberi peluang dia untuk mendapat rezeki paling bermakna untuk tahun 2019.

“Saya dan Wany mula rapat sejak kami sering berjumpa di acara hiburan. Bukan itu saja, malah Wany juga merupakan rakan yang selalu ke kelas usrah bersama saya. Kak Heliza Helmi sering hubungi saya dan pelawa ke kelas usrah dan minta saya mengajak rakan-rakan industri. Rakan yang rajin layan dan pergi kelas dengan saya ialah Wany.

“Saya tanya Wany kenapa pilih saya untuk tunaikan haji sama-sama. Wany beritahu, dia teringatkan saya sebab sering menghubungi dan berpakat untuk ke kelas usrah bersama-sama.

“Malah selepas Wany pelawa. saya terus menghubungi mak dan ayah memaklumkan perkara ini. Mereka menyokong jika betul saya ingin pergi. Selepas memberi jawapan, sebelah malamnya saya buat solat istikharah untuk minta petunjuk Allah SWT. Saya mahu betulkan niat untuk ke sana dan pergi bukan dengan bekalan yang kosong. Alhamdulillah, bangun pagi saya berasa lebih yakin dengan keputusan dibuat.

“Saya juga mahu ucapkan ribuan terima kasih kepada Wany yang menghubungi saya selepas mendapat jemputan ke Tanah Suci. Memang ajaib, tetapi Allah sudah tulis semua ini. Moga ada rezeki untuk saya kembali ke sana,” jawab Amira yang tidak pernah menyangka memperoleh rezeki untuk menunaikan haji pada usia muda.

Diuji Sakit Kaki

Berkongsi pengalaman selama sembilan hari di Tanah Suci Makkah, Amira diuji apabila kakinya sakit setiap kali pulang ke hotel penginapan.

“Di sana saya terlalu banyak berjalan menyebabkan kaki saya sakit. Saya anggap ia sebagai ujian kecil untuk lebih menghayati kebesaran Allah SWT. Namun, setiap kali sebelum melakukan ibadat, saya berdoa semoga urusan dipermudahkan. Alhamdulillah, kesakitan pada bahagian kaki itu terus hilang,” terang Amira.

Selepas pulang dari haji Amira juga cepat melatah apabila mendapat kritikan warganet di laman Instagram miliknya yang menegur penampilan dirinya tidak memakai stokin tangan selepas bergelar hajah.

“Saya terima teguran mereka dengan hati yang terbuka. Saya tidak marah dengan mereka ini. Doakanlah saya untuk berubah menjadi yang lebih baik pada masa depan,” ulas Amira yang turut menyeru golongan muda yang berkemampuan menunaikan ibadah haji atau umrah tidak perlu berasa takut untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Sangat Titik Beratkan Penjagaan Kesihatan

Memandangkan bulan Oktober merupakan bulan kesedaran kanser payudara, ditanya adakah dia mempunyai pengalaman kehilangan orang tersayang kerana kanser, Amira menjelaskan pernah kehilangan seorang rakan kerana penyakit yang digeruni ramai ini.

“Memang ada seorang rakan saya yang meninggal dunia kerana kanser hati. Pada saya penyakit ini tidak kenal usia samada muda atau yang tua boleh mendapat penyakit ini. Saya sendiri ada pengalaman. Sebelum ini ada tumbuh seperti biji di sekitar payudara bila tekan ketulan itu tak rasa apa. Cuma saya akan rasa sedikit dengut apabila rasa dengan tangan.

“Memandangkan saya ni jenis yang prihatin dan sering berjumpa doktor terutama yang berkaitan dengan kesihatan diri jadi saya ambil keputusan untuk scan. Bila scan memang doktot beritahu ada kuman dan nasib baik saya cepat sedar jika tidak nanah tersebut akan pecah dan kemungkinan besar perlu lakukan pembedahan. Syukur doktor berikan saya rawatan segera dengan memberi saya makan ubat antibiotik. Dan alhamdulillah tak ada yang serius dan pulih seperti biasa,” kongsi Amira yang turut berdisplin dalam penjagaan kesihatan.

Walaupun sibuk dengan kerjaya seni namun Amira menegaskan dia tidak pernah lupa untuk melakukan aktiviti kecergasan.

“Sibuk bagaimana pun saya tetap akan bersenam. Saya ni jenis yang suka berenang, biasanya akan berenang pada waktu malam. Bila saya punya masa luang pula saya akan berjogging,” kata penyanyi yang popular dengan lagu, Hati-Hati ini.

Berkongsi tentang petua kecantikan pula, Amira menerangkan dia sememangnya menitikberatkan penjagaan kulit wajah kerana memiliki kulit yang agak sensitif.

“Kulit saya jenis yang sensitive jadi ke mana-mana selepas mekap saya akan cepat-cepat cuci dan kadangkala ambil masa berjam-jam dalam tandas untuk bersihkan wajah. Ke mana-mana saya akan gunakan tisu basah dan pencuci muka sebelum berwuduk. Saya sentiasa pastikan diri dalam wuduk kerana senang untuk bersolat.

“Memandangkan komitmen sebagai artis perlu dirias wajah dengan mekap jadi memang saya kena rajin dan displin menjaga kulit wajah jika tidak memang kulit akan gatal dan berasa pedih.

Aktif Menyanyi & Berlakon

Beralih pada dunia seni pula, Amira akui agak senyap dalam bidang lakonan namun dia menyimpan target untuk muncul dalam drama penghujung tahun ini.

“Ramai peminat yang bertanya kenapa saya senyap dalam lakonan, insya-Allah saya akan muncul dalam sebuah drama pada akhir tahun ini.

“Sekarang ini saya banyak beri tumpuan pada nyanyian dan terbaru saya muncul dengan lagu duet bersama, Sufian Suhaimi menerusi lagu duet, Takkan Merubah. Lagu ini merupakan ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Amylea, menariknya lagu ini menjadi runut bunyi filem Motif.

“Sebenarnya, pada awalnya pihak pengurusan saya memaklumkan lagu duet ini dengan artis perempuan. Tiba-tiba ada pertukaran dan digantikan dengan Sufian. Walaupun ini kerjasama pertama kami, tapi masing-masing sudah kenal lama sebab pernah jumpa di banyak acara, tapi tidak pernah ada lagu bersama. Pendek kata, ia menjadi mudah,” kata Amira.

*******************************************************************

Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh hajah muda ini, baca sambungannya didalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Oktober, volume 2 yang kini telah berada di pasaran.

Penyelaras: Julie Roshana Akma Shafee
Teks: Julie Roshana Akma Shafee, Norhayati Suboh
Foto: Tuan Azman Tuan Muda
Solekan: @ynasakinah (Wany Hasrita) / @makeupbynurulmf (Amira Othman)
Busana: rohsmalaysia, Ayer8, Putrajaya/ www.rohsofficial.com
Tudung: Koleksi peribadi Wany Hasrita dan Amira Othman