Rezeki Puan Khairunnisa Hamzah dan anaknya, dia dapat peluang memijak kawasan Raudhah, Masya Allah, katanya tak tergambar perasaannya!
Raudhah itu kawasannya segi empat, ada satu kawasan lorong yang berkarpet hijau juga yang menyambung Raudhah dengan kawasan biasa. Kalau boleh, cari peluang untuk ke kawasan Raudhah yang benar-benar Raudhah.
Asalkan kita jejak kaki ke Raudhah, insyaallah, doa akan diangkat. Jangan risau jika tak dapat berdoa dengan selesa sebab ramai orang berhajatkan yang sama.
Jadi, bila kita bantu orang melapangkan ruang, Allah akan bantu kita lebih lagi. Jika kita sama-sama berdiri, lebih banyak ruang boleh dimasuki orang dan kita bantu orang lain untuk turut menempatkan diri di Raudhah.
Inilah pengalaman yang dilalui wanita ini, nak tahu selebihnya gambaran di Raudhah, jemput baca perkongsiannya ketika dia berada di sana.
Peristiwa Di Raudhah
Sementara belum berangkat, saya kongsikan dahulu tentang pengalaman masuk ke Raudhah seperti yang dijanjikan tempoh hari.
Raudhah adalah tapak rumah Rasullullah dahulu yang ada dalam Masjid Nabawi. Antara mimbar nabi dan makam nabi, di situlah tapak Raudhah. Di dalamnya ada jasad kekasih Allah, ya rasullullah wahabibillah. Ada juga jasad sahabat baginda Saidina Omar Al khatab dan Saidina Abu Bakar As Siddiq sederet dengan baginda.
Dikhabarkan oleh ustaz bahawa ini adalah tapak terakhir yang akan Allah binasakan di hari kiamat. Sebelum itu adalah tanah perkuburan baqi’ yang terletak sebelah masjid nabawi.
Di sini solat , iktikaf dan doa di atasnya berlipat kali ganda pahala dan dimakbulkan oleh Allah.
Untuk mengenali kawasan Raudhah, di dalam masjid nabawi ada menandakannya dengan karpet hijau. Yang lain semuanya karpet merah. Bunga karpet hampir sama. Tapi warna berbeza.
Ulamak tidak benarkan menatap di makam rasullullah. Hadir di raudhah bukan untuk meratap di kubur rasullullah tetapi mengambil barakah atas tapak raudhah yang dikatakan nabi kepada sahabatnya bahawa tapak rumah baginda dan mimbarnya itu adalah bagaikan taman-taman syurga kecil yang Allah letakkan di dunia. Ya, sebaknya tak terkata bila berada di sini.
Kini muslimat dan muslimin diasingkan. Kawasan muslimat sangat kecil berbanding muslimin. Tempoh ziarah muslimat juga sangat terhad dan punya wakti-waktu tertentu sahaja ia dibuka.
Saya ada dengar tentang pengasingan muslimat timur tengah dan muslimat Asia. Tetapi tidak begitu kisah. Namun apabila sendiri mengalaminya, ya benar, kita diasingkan.
Dan muslimat Asia akan menjadi pelawat paling akhir. Di dahulukan muslimat tempatan dan timur tengah dahulu di mana mereka berbadan besar, lasak dan kebal. Merempuh satu sama lain.
Semasa dalam perjalanan ke Raudhah yang berliku-liku sekatannya, si kakak bertanya
“Mana raudhah ,mommy?”
“Mommy pun tak tahu. Punyalah besar masjid nabawi. Kita ikut je jemaah depan kita ni”
Nak dijadikan cerita kami pergi berdua saja kerana group kami dah pergi malam tadinya. Masa hari sampai di Madinah. Sedang mommy tak dapat ikut jemaah kerana sudah lewat malam, anak dah penat seharian perjalanan dalam kapal terbang.
Dalam kesedihan, akhirnya rasa lega bila pergi sendirian dengan kakak aisyah saja. Tiada aksi bekejar kejaran untuk mengikut kumpulan. Tak risau tercicir. Kami jalan berdua dengan perasaan penuh misteri kerana tanpa mutawif
“Ya Allah, kau bantulah aku. Kau berikanlah aku petunjukmu.”
Kemudian sedang kami berjalan kami di tahan.
“Ibuk, sobar!”
“Ibuk, sobar!”
Ads
Kata pengawal muslimat yang berlitup hitam yang hanya menampakkan mata. Dia mengarahkan saya dan asiyah ke hujung sana.
“Eh, kenapa orang depan saya tadi semua boleh jalan terus?” Bisik dalam hati
Apabila saya duduk di hujung kawasan yang disuruh, baru saya perasan yang semua kami adalah orang Melayu dan Indonesia sahaja.
Yang diberikan laluan tanpa sekatan ke stesen depan adalah orang timur tengah dan bangsa mereka.
Lama juga. Sejam ke dua jam lamanya untuk setiap satu stesen.
“Ibuk, duduk!”
“Ibuk, duduk!”
Pengawal menjerit bila ada yang tak sabar dan berlari ke stesen seterusnya secara curi-curi. Masing-masing rasa tak aci bangsa lain terus ke depan tanpa ikut stesen.
Sebelum tu saya ada terjumpa kakak angkat masa sekolah menengah. Terharu terserempak dalam perjalanan ke raudhah. Namun berkali kali dinasihatkannya,
“Nanti, bersabar banyak-banyak, ya.”
Saya tak faham pada mulanya.
Semasa menunggu di stesen saya pun masih kurang faham melainkan merasakan lama menunggunya.
Apabila kami dah sampai stesen terakhir. Keadaan mula jadi tegang. Masa duduk mula dihimpit. Kemudian sudah ramai yang bangun seperti bersedia untuk merempuh. Mereka mula menolak perlahan-lahan dari belakang walau di depan sekatan belum dibuka. Maka yang depan dan tengah semakin tersepit. Pengawal dah mula menjerit-jerit.
Beberapa kali di suruh duduk tapi tidak diendah lagi. Bagaikan sudah hilang sabar semuanya. Semua mahu segera masuk.
Kakak aisyah tersepit habis. Mommy try guna kudrat peluk kakak aisyah dan kebelakangkan badan untuk halang mereka tolak kakak aisyah. Akhirnya badan mommy seperti diurut oleh jentera yang kuat. Kuatnya kaki mommy menahan pijak dilantai agar tidak tersungkur.
Dalam kesusahan itu terdengar suara di sebelah kanan mula berselawat.
Habis Aisyah dan mommy ditolak sehingga hampir jatuh. Namun terpeluk orang depan. Mereka masuk penuh tekanan. Berjalannya kita tidak melangkah tapi terheret heret ke depan. Apa yang jadi bukan usaha melangkah kaki tapi usaha menolak diri ke belakang untuk selamatkan diri dari terjatuh atas anak sendiri.
Allahuakhbar
Allahuakhbar
“Kakak, jangan marah ya. Ikhlas kan hati. Bayangkan saat semua berebut-rebut nak masuk syurga Allah. Mahal kan syurga Allah. Tak terus masuk, kita kena usaha dan banyak bertawakkal. Terlalu berat ujian diberi baru dapat kita masuk. Macam kita tengah selamatkan diri ni tapi kita still nak menuju ke syurga.”Mommy bebel je bisik di telinga kakak sambil memeluk kakak.
Sebelum tu habis dah mommy minta maaf pada kakak masa menunggu di stesen. Bila lama sangat nak dapat masuk, mommy sebak sangat. Masa terpandang muka kakak disebelah baru teringat mommy paling banyak buat dosa dengan kakak. Lalu mommy minta ampun dari kakak banyak-banyak.
First time seumur hidup kami teresak bersama.
“Kakak baby mommy yang pertama…..” Itulah yang banyak kali mommy sebutkan untuk pujuk hatinya.
Masa dihempet diseret, nampak orang menadah tangan. Orang depan tiba-tiba sujud. Lalu mommy tanya kakak aisyah “Kak, bawah ni karpet warna apa? Karpet apa kak?” Sungguh tapak kaki sendiri pun tak boleh nampak. Bayangkanlah macam mana kita tersepit antara badan satu sama lain.
Bila terkuak sikit dan nampak karpet hijau, tiba-tiba sebak yang amat. Dengan menggigil dan bergetar badan mommy cakap “Kak, kita dah sampai raudhah. Dah sampai kak. Allahuakhbar. Ya rasullullah. Ya Allah, terimalah doa kami..” lalu mommy mula bercakap dengan allah dan pesan pada kakak :
“Kak, doa kak. Doa apa saja. Akak nak hafal quran kan? Minta kak. Doa jadi muslimah solehah juga. Doakan mommy juga ya. Doakan mommy sihat dan jadi mak yang baik”
Kakak mengangguk. Mommy terkejut tengok kakak pun sedang teresak-esak. Ajaib sungguh. Kakak 9 tahun. Dah sampai raudhah. Allah memanggilmu, kak.
“Nanti kalau ada rezeki kita solat ya kak. Sekarang ni bahaya.” Orang masih tolak tolak belakang badan. Macam mana nak sujud.
Dapat Peluang Solat Di Raudhah
Akhirnya tiba-tiba seperti ada ruang kosong di belakang tiang.
“Kak, sini kosong. Solat kat sini kak”
Ads
Tengah sembahyang dengar suara dari belakang..
“Eh, ni orang kita. Tolong jaga dia dan anaknya. Kita kepung sama-sama. Dia tengah sujud.”
Alhamdulillah rezeki kami dijaga mereka. Habis solat tanpa cedera. Namun siapakah mereka wallahualam. Lepas solat tak tahu siapa yang jaga.
Allahuakhbar, mahalnya nak rasa nikmat dekat dengan Allah. Walau baru Terasa hanya sebesar tapak kaki sahaja ruang nikmat tersebut, sudah dasyat kenikmatan jiwa yang dirasa. Sebaknya masyaAllah tak terkata. Apatah lagi jika kita dianugerahkan masuk ke syurga di akhirat nanti. MasyaAllah!
Akhirnya kami keluar dari raudhah pada pukul 11 pagi walau masuk menunggu giliran bermula pukul 8 pagi. Cecah kaki sebentar saja, tak sampai 10 minit lamanya. Tapi puasnya tak terkata. Dalam hati berjanji untuk datang lagi. Teringat baby aiyraa tak ada sekali.
Semalam, sekali lagi allah takdirkan kami masuk ke raudhah lagi. Kali ini bersama baby aiyraa. Alhamdulillah lepas semua stesen tanpa perlu menunggu. Cuma di stesen terakhir saja kami menunggu. Tak lama sangat. Tapi baru perasan rupanya saya terus termasuk pada group timur tengah. Ya Allah, cepat-cepat minta Allah perrmudahkan. Besarnya mereka. Ramai yang tak sabar dan menolak serta melangkah sesama mereka.
Masa ini, tangan aiyraa ada yang terpijak. Terjerit mommy. Sedih masa ni Allah saja yang tahu. Kemudian mereka mula merempuh masuk. Awalnya mudah juga melangkah masuk tapi belum nampak lagi karpet hijau dibawah.
Saat nak mula melangkah kaki ke raudhah, sekali lagi kena himpitan yang lebih dasyat dari semalam.
“Baby, baby!” Jerit orang keliling.
Oh ada orang Malaysia juga. Mujur aiyraa tidur di bahu mommy. Setiap kali ada yang bengis bersungguh nak menolak dan merempuh , mommy tunjuk baby. Lalu beransur sikit. Tapi tak kurang yang tolak juga sehingga menyiku kepala aiyraa. Kakak aisyah dah menangis sakit sana sini.
Akhirnya tolakan ini membawa kami ke depan sikit demi sedikit.
“Solat di sini, nak. Kami jaga.”kata seorang makcik
“Tak apa makcik. Makcik solatlah. Saya dah dapat solat hari tu. Saya kalau solat disini bahaya, ada baby pula.”
“Baiklah, kau diri doa saja, ya.”
Habis berdoa semahu-mahunya dan sampaikan doa sahabat yang saya ingat, saya pun ajak kakak keluar
“Kita gerak lah kak. Tak apa lah tak dapat solat. Bahaya adik nanti.”
Sedang cakap begitu, saat tiada lagi pengharapan di situ, seorang pengawal yang berdiri di kaki tiang melompat ke bawah dan tangkap lengan mommy.
“Ibuk, sini!”
“Ibuk, sini!”
MasyaAllah! Dia cubit pipi aiyraa.
Dia bawa kami ke tepi raudhah.
Dihujung sekali. Sehingga sebelah saja tapak kakaki kanan saya adalah karpet merah. Betul-betul berdiri dan duduk di border.
Tapi dengan aman boleh duduk kan si kakak dan baby aiyraa yang masih tercengang.
Mommy baru angkat takbir tetiba teresak lagi bergetar badan “Ya allah, aku dihujung raudhahmu ini. Betul-betul di sempadan. Ya allah, betapa aku mahu masuk ke raudhahmu, syurgamu, dan betapa aku takut tergelincir ke karpet merah itu seperti takutnya aku tergelincir masuk ke nerakamu. Andai Bezanya tapak syurga dan tapak neraka sekecil begini juga, aku mohon kau letakkan aku di sempadan syurgamu. Takutnya aku jika tergelincir satu kaki ke situ.”
Ya Allah, insafnya mommy di raudhah.
Pergilah ke raudhah, maka kalian akan faham maksud dan perasaan ini. Mommy doa semua dapat pergi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Percayalah, air tangan ibu tidak setanding masakan chef bertaraf dunia. Mak masak yang simple pun dah cukup sedap, padahal katanya masak ‘main campak-campak’ saja.
Dari kecil sampailah dewasa, masak telur goreng, nasi goreng atau cekodok, roti bakar sekalipun dah cukup sedap. Nilai kasih sayang dan air tangan ibu yang tiada galang gantinya.
Bila dah bekerjaya dan tinggal berjauhan, dah tentulah kita akan rindui air tangan ibu. Buruntunglah bagi yang masih ada mak untuk masak. Kalau balik kampung, dapatlah lepaskan rindu untuk merasa masakannya.
Ini belum lagi bila mak tahu kita nak ah nak balik. Sanggup bangun awal pagi untuk sediakan hidangan untuk anak menantu. Siap sediakan bekal untuk dibawa balik atau makan bila berhenti rehat dalam perjalanan pulang. Ini belum lagi ‘babak-babak sedih’ masa bersalaman tu.
Inilah yang dikongsikan oleh Afy AL Habibi yang hanya berbekalkan roti bakar ala kampung, masakan mak yang cukup simple tapi mampu kenyang sampai ke petang.
‘Apalah sangat istimewanya dengan roti bakar cara kampung begini kan?’
Belum tentu yang nampak gambar cikgu letak tu semua akan terliur.
Ini cerita tentang anak kampung.
Jiwa kampung yang dari dulu berumbi melekat kuat dalam diri.
Bekal roti bakar tersebut cikgu bawa dari rumah.
Berhenti mengisi perut dekat RnR Gua Musang semasa bertolak balik ke KL hari Khamis dua tiga hari lepas.
Cikgu bangun pukul 4.30 pagi hari tersebut. Konon nak tolong Mok sediakan apa patut.
Sebaik masuk ke dapur, cikgu dah tangkap bau wangi sarapan yang selalu menjadi igauan.
Betullah.
Buka pinggan Duralex koko muda yang ditutup dengan tudung periuk di atasnya, masih panas berwap roti bakar tersebut.
Terus kolam hati terusik.
Malam sebelum masuk tidur, Mok acah kata taknak buat roti bakar tu.
Sebab cikgu bersungguh juga tolak hasratnya nak masak nasi dan lauk untuk cikgu bawa pulang.
Kesian susahkan orang tua pula.
Rupanya Mok bangun pukul tiga lebih lagi siapkan semuanya sekaligus.
Roti bakar begini memang cikgu suka dari Mok buat ketika cikgu budak-budak lagi.
Rahsia Resipi Roti Bakar
Tiada bahan terpilih pun Mok guna bermula daripada sapuan mentega di atas roti.
Bukan jenis pure butter ke atau yang jenis berjenama.
Guna pun roti ‘butut’ yang murah harganya di kedai runcit sahaja.
Potong roti. Sapu marjerin biasa Mok beli dalam paket.
Kemudian celup dalam adunan telur yang ditambah secubit garam. Bakar atas pan.
Angkat selepas garing kedua bahagian.
Akhirnya letak susu pekat sedikit atas roti bakar tadi.
‘Mahal’ dan tahap kesedapan tentulah terletak pada kasih sayang seorang ibu.
Air Tangan Paling Lazat
Begitulah kehebatan seorang ibu.
Dengan resipi ringkas cuma namun penangan air tangannya paling lazat.
Pasti takkan sama dan dapat kat mana-mana.
Walaupun sepanjang jalan dalam Kelantan kedai makan seawal Subuh lagi penuh dengan aneka kuih dah nasi berlauk pagi, cikgu memang tak singgah beli.
Cukup dengan bekal roti bakar tu je.
Cikgu makan pun sikit-sikit. Menikmati dengan air panas dihirup perlahan dalam termos cikgu bawa.
Kenyangnya sampai ke petang.
Baru cikgu buka bekal nasi Mok pula seterusnya.
Syahdu makan sambil teringat wajah Mok Ayoh yang setia menghantar kita pulang sehingga bayang kereta hilang dari pandangan.
Sungguh mereka berdua makin dimamah usia.
Entah siapa yang pergi dulu antara kita semuanya masih menjadi rahsia.
Sementara ruangan dan kesempatan yang ada, inilah peluangnya.
Hargai orang tua kita kerana asbab doa mereka sehingga ke sekarang, menjadikan siapa kita pada hari ini….
Mendalam maksud rindu ini satu hari nanti.
Mingguan Wanita : Rindu yang tiada penghujung. Seronoknya mak bila dapat tahu anak nak balik kampung. Mahunya tiap-tiap hari akan masakan lauk kegemaran anak-anak. Nikmatnya dan kasih seorang mak pada anak-anak.
Tak pernah pegang mesin, tak bermakna mak-mak tak pandai menjahit. Pelajari kaedah dan teknik jahitan mudah dalam kelas satu hari sahaja.
Dalam masa beberapa jam, walaupun beginner anda mampu menyiapkan satu tote bag daripada jeans terpakai dan nasi lemak recyclable bag.
Projek 1: Denim Tote Bag
Jom tukar jeans yang tak muat dipakai menjadi tote bag. Teknik yang dipelajari bermula daripada cara memotong kain, membuat ukuran kain, menjahit lurus, jahit tangkai beg, cara cantuman sehinggalah siap sebiji beg.
Projek 2: Shopping Bag
Beg beli belah berbentuk nasi lemak! Beg kitar semula ini bukan saja menjimatkan ruang, malah dapat melindungi alam sekitar kerana kurangnya penggunaan beg plastik. Teknik yang bakal dipelajari adalah cara jahitan melengkung, jahitan lurus, cara mengukur saiz beg dan cara membuat lipatan.
Jangan ketinggalan sertai Kelas Jahitan Kreatif Denim Tote Bag & Shoping Bag di SewingWorld, One City Subang Jaya pada 15 Oktober 2022 bermula 930 pagi hingga 5.30 petang. Yuran RM60 sahaja.
Cuti sekolah kali ini, kebetulan jatuh hari lahir anak. Mak-mak mesti ‘super excited’ nak raikan hari bahagia mereka. Tapi bajet tak berapa nak ada, sebab bukan murah nak beli barang-barang ‘party’ hari jadi.
Ada cara yang mak-mak boleh buat. Walaupun cuma idea bajet, sebenarnya majlis hari lahir anak masih boleh diraikan dengan meriah dan penuh kegembiraan.
Suri rumah merangkap ibu anak enam, Zaila Mohamad, berkongsi bagaimana rancang majlis hari lahir anak dengan cara bajet tapi meriah. Ini idea yang Puan Zaila dipraktikkan:
Ada kawan bertanya “Macamana eh kau buat majlis, sudahlah masak sendiri lepas tu ada anak kecil lagi?”. Maka, aku pun terfikir untuk kongsikan tips untuk menganjurkan majlis harijadi versi budget. Biasalah, buat sekadar untuk suka-suka gembirakan anak-anak. Buat majlis budget ni jangan ada protokol sangat dan sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang ada seperti makanan tidak cukup atau makanan terlebih (yang ni takpe, boleh simpan dalam peti dan esoknya makan sampai lebam).
1. Pilih Tarikh
Ok pertama sekali kena pilih tarikh yang sesuai. Bila dah pilih tarikh tu dah boleh mula merancang menu, deko-deko sikit dan tempahan kek.
2. Ikut Bajet
Kalau sudah namanya majlis ‘budget’ maka janganlah berangan nak lantik ‘party planner’ untuk majlis ini. Semuanya perlu disiapkan sendiri. Kalau tak nak rasa duit habis sedebuk, apakata barangan seperti goodies anak-anak, barang untuk deko-deko tu beli awal-awal.
Boleh beli di fanpage Barangan Parti Harijadi. Sebab kat situ harga boleh tahan murah-murah dan kebanyakan tema kartun seperti Avengers, Frozen, Pokemon, Ultraman, Cars dan macam-macam lagi pun ada.
Lepas tu sediakan ‘budget’ untuk kek juga sebab kalau majlis harijadi takde kek tak bestlah kan. Kalau nak jimat boleh buat sendiri tapi kes aku ni Husna nasihatkan “mama beli aje sebab mama tak pandai buat kek“. Ha.. ha.. ha.. Untuk majlis ini aku tempah sebiji kek seberat 2kg, kalau beli kek kecil pastikan beli 2 biji atau lebih. Nanti tak cukup kesian pula tetamu.
Untuk beli bahan-bahan mentah tu peruntukan dalam RM200 dan RM100 untuk beli barangan seperti pinggan mangkuk plastik, cawan, sudu garfu dan plastik sampah. Sebenarnya tak sampai pun kalau tahu beli di tempat yang murah.
3. Menu Mudah Sedia
Selalunya majlis harijadi orang akan buat waktu petang jadi boleh sediakan pasta seperti makaroni goreng atau bihun goreng atau mee goreng tapi aku derhaka haritu sediakan menu nasi kerabu dan kue teow goreng. Maklumlah nasi kerabu ni “all time faveret” bila buat makan-makan mesti ada menu ini. Sihat lagi mudah! Caranya aku siapkan bahan-bahan kering seperti sambal nyior tu pada malam sebelum majlis lagi.
Pada hari kejadian hanya sediakan nasi (masak dengan Noxxa Pressure Cooker 8 min sahaja uols) dan ulaman hiris banyak-banyak terus. Untuk lauk aku beli 2 ekor ayam untuk goreng sahaja. Kata versi budget kan 😛 Untuk anak-anak pula siapkan keropok goreng dan nuget serta air koktel. Budak-budak main je lebih.
Tapi untungnya haritu kakak ipar datang bawakan kuih, ada yang bawa buah-buahan, sosej dan anak-anak buah pula siapkan air minuman detoks, maklumlah kami buat majlis sampai ke malam disusuli dengan bbq bersama keluarga.
Kalau nak bagi mudah, sila buat senarai bahan-bahan mentah dan kering untuk dibeli siap-siap. Jadi bila keluar membeli barangan tu takdelah terambil benda yang tak diperlukan. Ingat, versi ‘budget’ kena ikut ‘budget’ betul-betul.
4. Lokasi, Rumah Sendiri Saja
Lokasi tu sudah semestinya rumah sendiri lah kan, jangan berangan pula nak buat di hotel atau kolam renang atau dewan (kecuali kalau ada orang yang sponsor). Jadi, pastikan kerusi dirapatkan dan ada ruang kosong untuk anak-anak duduk bersila.
Meja untuk letak kek pun jangan letak sekali dengan meja makanan nanti serabut. Maklumlah zaman sekarang orang ada buat “candy buffetlah apa” tapi aku tak buat pun.
Hanya sekadar buat dekorasi belakang tabir bertemakan Avengers dengan belon dan ada kek sahaja. Kan versi budget, bukan versi artis.
5. Mental Dan Fizikal Kena Kuat
Mental dan fizikal kena bersedia. Kalau majlis harijadi ni sudah tentulah kita nak bahagiakan anak-anak jadi sediakan goodies untuk mereka. Kalau boleh kurangkan bagi gula-gula tapi pilihlah makanan yang sihat. Aku bagi keropok TAM-TAM (hehe takdelah sihat mana tapi teringat kenangan waktu sekolah dulu mesti beli keropok ini). Oh pastikan plastik sampah beli yang besar dan letak di mana-mana aje kerana mesti akan terdapat sampah merata-rata.
6. Goodies Bag Untuk Kanak-kanak Riang
Kalau buat majlis di rumah sudah tentunya kebersihan memang perlu dititiberatkan juga. Bagi aku, selepas siap masak tu pastikan basuh terus periuk atau kuali dan jangan tinggalkan di dalam sinki. Nanti bila tetamu mula datang dan percayalah sinki kita akan penuh dengan pinggan mangkuk yang ditinggalkan oleh tetamu.
Lagi satu pastikan juga kain lap yang bersih disediakan, ini penting apabila terjadinya air tumpah atau sisa kuah tumpah atas lantai atau meja. Kalau boleh sisa makanan kering dibuang dalam plastik sampah dan sisa makanan basah tu kena asingkan dan cepat-cepat buang bagi mengelakkan dari berbau.
Apabila tetamu dah pulang, mula-mula tarik nafas dulu dan perlahan-lahan kemaskan dapur, basuh bekas-bekas makanan dan mop lantai. Kalau tak larat, tidur dulu baru kemas esoknya.
Ada Ketika Majlis Tak Berjalan Seperti Yang Dirancang
Dalam menganjurkan majlis memang kita tak boleh lepas dari melakukan pelbagai kesilapan tapi anggap itu sebagai dugaan dalam ingin menggembirakan hati orang. Memang terasa penat tapi satu kepuasan apabila tetamu datang dan pulang dengan perut yang kenyang (kalau hak tak makan tu mereka dietlah tu).
Insya-Allah semoga diberikan rezeki duit, masa dan tenaga untuk menganjurkan majlis lagi. Tak semestinya kena buat “grand” tapi cukuplah sekadar semampu mungkin dan ikhlaskan diri untuk membahagiakan insan yang tersayang.
Sumber: Zaila Mohamad
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebenarnya ada kaedah tertentu yang boleh mak ayah praktikkan dalam mendidik anak agar suka belajar dan cintakan ilmu. Mak ayah perlu tahu bahawa pendidikan anak-anak yang pertama adalah bermula dirumah! Oleh itu adalah amat penting bagi mak ayah agar mempunyai ilmu dan faham kaedah yang boleh dipraktikkan untuk anak tersayang.
Berikut merupakan perkongsian ilmu daripada Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Puan Noor Afidah Abu Bakar sebagai rujukan mak ayah.
“Menurut Harvard Center on The Developing Child (HCDC), sebanyak 1000 trillion perhubungan neural (neural connection) terbina dalam otak kanak-kanak ketika berusia 1-3 tahun.Perhubungan neural ini terbina apabila otak kanak-kanak diberikan stimulasi dengan mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai pengalaman dan persekitaran”.
Otak kanak-kanak secara semulajadinya sentiasa bersedia untuk melalui proses pembelajaran. Perhubungan neural inilah yang membantu kanak-kanak untuk belajar dan menyerap maklumat melalui pengalaman yang dilalui.
Ketika usia ini kanak-kanak suka belajar kerana seronok hendak belajar. Walau bagaimanapun, menurut HCDC juga, proses pembelajaran menjadi lebih sukar apabila otak kanak-kanak tidak mendapat stimulasi yang optimum apabila mereka meningkat usia.Keseronokan dan minat kanak-kanak untuk belajar juga didapati semakin menurun terutamanya apabila kanak-kanak terpaksa melalui rangkaian ujian dan peperiksaan dari usia yang terlalu awal.
Menurut Professor Richard Ryan seorang pakar psikologi dari University of Rochester, kanak-kanak berminat untuk belajar apabila pembelajaran berlaku secara semulajadi, iaitu melalui bermain kerana bermain adalah kecenderungan semulajadi kanak-kanak.
Ibubapa boleh memainkan peranan yang penting untuk mengekalkan minat dan motivasi semulajadi kanak-kanak terhadap pembelajaran.
Keinginan anak untuk ‘explore’ dan ‘discover’ boleh dipupuk melalui 6 kaedah berikut:
1) KONGSIKAN PENGETAHUAN DENGAN ANAK
Ibubapa adalah suri teladan (role model) terbaik anak-anak. Peringkat pertama pembelajaran seorang anak adalah dengan meniru perbuatan ibubapa walaupun mereka belum faham apa yang ditiru.
Kongsikan dengan anak apa saja ilmu yang anda pelajari atau baca sama ada sukan, masakan, isu semasa, fesyen, alam sekitar, ekonomi, politik, ataupun sains.
Bersembanglah dengan anak dengan cara yang bersesuaian dengan usia anak. Jangan dipandang rendah keupayaan anak untuk sama-sama mendengar dan berbincang dengan ibubapa pengetahuan yang berkaitan.
Ceritakan kenapa anda rasakan topik atau isu berkenaan menarik perhatian anda untuk dikongsi. Dengan cara ini secara tidak langsung anak akan mempelajari bahawa proses menuntut ilmu dan pengetahuan itu bukanlah untuk kanak-kanak sahaja dan tidaklah terhenti apabila tamatnya persekolahan.
2) LIMPAHI ANAK DENGAN BAHAN BACAAN
‘Iqra’ (Bacalah) – Al-Alaq
Minat membaca menjadi faktor yang penting untuk melahirkan ‘life-long learners’. Kajian oleh Harvard University mendapati bahawa kanak-kanak yang suka membaca adalah mereka yang mudah mendapat bahan bacaan seperti buku, majalah, surat khabar, kamus dan ensaiklopedia di sekitar mereka.
Pastikan bahan bacaan di letakkan di tempat yang mudah diambil dan berdekatan dengan anak, seperti di bilik tidur, supaya minat itu berterusan dan tidak terputus.
Bacakan buku untuk anak kecil dan baca bersama-sama apabila mereka semakin membesar. Bincangkan dengan anak tentang kandungan buku dan tanyakan pendapat anak tentang watak dan cerita tersebut.
Penyertaan aktif anak dalam proses membaca dan perbincangan akan menambahkan lagi minat anak untuk membaca buku dan seterusnya menimba ilmu dan pengetahuan dari pembacaan.
3) MULAKAN DENGAN MINAT SEMULAJADI ANAK
Setiap anak mempunyai minat yang berbeza. Minat anak juga mungkin berbeza dari minat kita. Minat tidak boleh dipaksa sebaliknya perlu dipupuk. Minat anak boleh dikesan dari kecil lagi terutamanya apabila anak sering didedahkan kepada pelbagai pengalaman dan persekitaran.
Berikan masa untuk bayi memegang, menyentuh dan merasa objek dan permainan supaya minat dapat dikesan dan terus dipupuk. Ibubapa berperanan untuk memberi sokongan dan galakan supaya minat itu berkembang melalui proses pembelajaran yang berterusan.
4) TETAPKAN BATASAN DALAM MEMBANTU
Kajian mendapati bahawa ibubapa yang mempunyai anak yang bermotivasi tinggi untuk belajar adalah ibubapa yang tidak memberi tekanan yang melampau, tidak melakukan semua untuk anak dan tidak membuat keputusan untuk anak.
Ibubapa ini memberi kebebasan untuk anak-anak berfikir dan memberi pendapat mereka berkaitan sesuatu perkara. Ibubapa ini memberi panduan dan sokongan untuk anak-anak dalam membuat keputusan.
Beri peluang kepada anak kecil untuk membina binaan blok mengikut idea dan keupayaan anak, menyelesaikan ‘puzzle’ dan juga menyelesaikan latihan matematik dengan sendirinya tanpa bantuan yang melampau daripada ibubapa.Ini akan melatih anak untuk menjadi lebih kompeten dan resilien. Anak yang merasakan diri kompeten, akan lebih berminat untuk belajar dan terus mencabar diri sendiri untuk melangkah ke peringkat yang seterusnya.
5) GALAKKAN ANAK BERTANYA SOALAN
“Wisdom begins with wonder”
Anak kecil sentiasa ‘curious’ dengan persekitaran mereka. Biar anak bertanya apa saja soalan kerana pembelajaran berlaku dengan lebih efektif melalui kaedah soal jawab.
Layanlah setiap soalan. Jika kita tidak tahu jawapannya, beritahu anak yang anda tidak tahu dan ajak anak untuk sama-sama mencari jawapannya sama ada melalui ensaiklopedia, buku ataupun internet. Wujudkan budaya mencari maklumat kerana ia akan mengujakan anak-anak.
Ibubapa juga perlu sering bertanya soalan kepada anak untuk mencetuskan keinginan untuk mencari jawapan dan seterusnya memupuk minat untuk belajar dan menimba ilmu.Tanyakan soalan yang berbentuk konseptual seperti “Kenapa agaknya burung kembali ke sarang apabila masuk waktu senja?”. Soalan yang sebegini akan mencetuskan persoalan di dalam diri anak yang membawa kepada pencarian ilmu.
6) FOKUS PADA USAHA DAN BUKANNYA HASIL SAHAJA
Carol Dweck, seorang pakar psikologi dari Stanford University mendapati bahawa kanak-kanak lebih bermotivasi untuk belajar apabila pujian diberikan kepada usaha yang ditunjukkan berbanding hasil yang dicapai.
Semua anak mencapai sesuatu hasil pada kadar yang berbeza. Jika ibubapa memberi penekanan kepada hasil tanpa mempedulikan usaha, anak yang lambat mencapai sesuatu hasil akan merasakan diri tidak dihargai dan terpinggir.Ini akan mematikan minat anak untuk belajar dan berusaha. Pujilah setiap usaha anak untuk memberikan keyakinan kepada anak tersebut bahawa dia juga boleh berjaya satu hari nanti.
Sama-samalah kita wujudkan budaya cintakan ilmu dalam keluarga kita dan seterusnya melahirkan ‘lifelong learners’ dalam masyarakat.
Jadilah ibubapa yang hebat!
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Parent Connect Consultancy
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan sama-samalah kita berusaha menjadi mak ayah yang terbaik buat anak-anak.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...