Tidak semua yang mampu tinggal di rumah teres, semi D atau banglo. Dapat tinggal rumah ada balkoni seperti apartment, kondo atau perumahan kos rendah pun dah bersyukur. Sebab setiap kita telah ditetapkan rezeki masing-masing.
Kalau semua tinggal di rumah yang ters setinggal atau orang cakap rumah ‘bertanah’ siapa pula yang nak tinggal rumah yang ada balconi dan tinggi-tinggi. Cuma, yang mungkin agak menggerunkan bila tinggal di rumah yang tinggi-tinggi, keselamatan anak terutamanya kena jaga.
Malah, kerap berlaku kemalangan yang tidak diingini melibatkan anak-anak kecil yang jatuh dari tingkat yang tinggi. Mahunya menjadi ingatan dan trauma buat mak ayah yang mengalaminya. Serik dan takut pastinya sentiasa bermain dalam fikiran mak ayah.
Inilah yang perlu mak ayah kena perhatikan dan jaga bila tinggal di rumah ada balkoni. Sebagai langkah keselamatan dan moga anak-anak kita terpelihara.
Tinggal Rumah Ada Balkoni, Amalkan Langkah Keselamatan Ini
Apabila bercakap tentang penjagaan kanak-kanak, ia turut melibatkan keselamatan di rumah dan bukan hanya semasa di luar. Ketahui asas keselamatan yang perlu dititikberatkan di dalam rumah.
Peringatan & Tip
Pasti mak-mak cuku seriau bila ada berita tentang anak-anak terjatuh dari tingkat yang tinggi, tak mustahil juga ada video tular tentang anak-anak memanjat dan bermain di luar balkoni rumah pangsapuri dan sebagainya.
Ada beberapa peringatan dan tip yang perlu mak ayah ambil tahu untuk menjaga keselamatan anak semasa berada di rumah.
KESELAMATAN BALKONI
Ads
1. Jauhkan bangku, meja dan kerusi daripada pagar balkoni. Ia adalah satu naluri biasa pada kanak-kanak yang ingin memanjat pagar atau perabot untuk melihat pemandangan yang lebih baik. Namun dalam masa yang sama, ia meningkatkan risiko untuk anak terjatuh. Jika kawasan balkoni anda terhad, sebaiknya biar ia berada dalam keadaan tanpa perabot. Cuma bawa keluar beberapa kerusi jika ingin melayan tetamu di sana.
2. Waspada jarak antara palang pagar balkoni. Jarak antara palang bar di balkoni seharusnya tidak boleh melebihi 4 inci. Ia bertujuan untuk menghalang kanak-kanak walaupun bersaiz kecil untuk melepasi pagar tersebut. Sekiranya ketinggian balkoni adalah lebih daripada 1 meter di atas paras tanah, ia mesti lah mempunyai pagar atau penghadang. Ini bermakna jika anda tidak tinggal di kondo atau pangsapuri, tetapi mempunyai teres bertingkat, ia harus mempunyai pagar.
American Academy of Pediatrics (AAP) mencadangkan agar ketinggian pagar balkoni haruslah sekurang-kurangnya 3 kaki atau 1 meter.
3. Pintu ke balkoni sentiasa berkunci, penting untuk penjagaan kanak-kanak
Anak sekarang bijak-bijak belaka, malah yang masih kecil sekali pun ada kalanya sudah pandai untuk membuka pintu yang berkunci. Jadi penyelesaian terbaik adalah untuk memasang 2 jenis kunci yang berbeza. Jika pintu ke balkoni jenis pintu gelangsar atau sliding door, anda boleh meletakkan papan penyelak pada landasan pintu untuk mengelakkan daripada terbuka.
BAHAGIAN DAPUR
Kebanyakan jenis rumah yang diubah suai atau unit kondo menggunakan susun atur terbuka, menjadikan kawasan seperti dapur mudah diakses untuk semua individu termasuk kanak-kanak.
Jadi pastikan pisau dan peralatan dapur lain diletakkan jauh daripada capaian anak.
Sekiranya perlu, pasang kunci dan selak kalis kanak-kanak (kid-proof lock & latches) pada kabinet dan rak – terutamanya yang menyimpan peralatan berbahaya atau bekalan pembersih seperti peluntur atau semburan beracun.
Ads
Gunakan stove guard untuk menutup atau mengunci tombol dapur masakan, pastikan setiap pemegang periuk atau kuali dialihkan ke belakang untuk mengelakkan ia mudah dicapai anak semasa sedang memasak. Anda juga boleh memasang pengadang sudut pada meja dan kaunter dapur.
BILIK MANDI
Dalam menitikberatkan aspek penjagaan kanak-kanak dan keselamatan di rumah, anda perlu ketahui bahawa bilik air adalah antara tempat berbahaya untuk anak kerana mereka boleh lemas walaupun dalam air takungan yang cetek serta tergelincir. Anda boleh letakkan tikar getah pada lantai bilik air terutamanya di bahagian pancuran mandian atau tab mandi untuk mengurangkan lantai daripada licin.
Pilih pemanas air yang mempunyai peranti anti-panas atau pasangkan peranti tersebut pada kepala pancuran mandian untuk memastikan kulit anak tidak melecur atau terkena air yang terlalu panas.
Paling penting, jangan pernah meninggalkan anak di dalam bilik mandi tanpa pengawasan.
Keselamatan – BAHAGIAN TINGKAP
Berikut antara aspek keselamatan pada tingkap di rumah, sentiasa pastikan semua tingkap agar:
• Tidak dibuka lebih daripada 12.5 cm
• Mempunyai selak, kunci atau pengadang tingkap untuk menghentikan pembukaan tingkap lebih daripada 12.5 cm
• Hanya boleh dibuka daripada atas
• Jauhkan perabot, katil daripada tingkap untuk mengelakkan anak menggunakannya untuk memanjat tingkap
• Ajar anak untuk bermain jauh daripada tingkap
• Sentiasa awasi anak yang bermain berhampiran tingkap
Ads
Lindungi palam elektrik, aspek keselamatan di rumah yang penting
Sikap ingin tahu anak terutamanya yang masih kecil membuatkan mereka akan menyentuh segalanya termasuklah soket elektrik.
Pastikan setiap palam atau soket elektrik dilindungi menggunakan pelindung keselamatan untuk mengelakkan anak daripada memasukkan jari.
Wayar juga perlu dipastikan sentiasa kemas dan tidak berselirat di lantai – jauh daripada jangkauan anak-anak.
AJAR ANAK ASPEK KESELAMATAN
Tip terakhir dalam memastikan keselamatan anak semasa di rumah adalah dengan mengajar mereka mengenai aspek keselamatan dan mematuhi peraturan apabila berada di kawasan dengan pagar balkoni.
Tetapkan beberapa peraturan asas seperti:
• Balkoni adalah kawasan terlarang untuk bermain melainkan bersama individu dewasa
• Dilarang memanjat pagar balkoni atau perabot yang terletak di sana
Mingguan Wanita : Mak ayah kena pantau dan jaga keselamatan anak terutamanya bila tinggal di rumah ada balkoni. Sekadar untuk menjaga keselamatan anak. Minta dijauhkan dari perkara yangtidak kita ingini.
Jika selalu buah nangka masak dimakan mentah begitu saja. Rupanya mak-mak juga boleh padankan dengan pulut dan kuah santan pekat untuk kelainan.Boleh rujuk perkongsian resipi daripada Puan Zalipah Ibrahim ini pulut nangka yang dibuat untuk jualan sebagai panduan.
“Pulut nangka yang kak pah buat untuk jualan.Atas permintaan ramai dan maaf bagi yang kak pah tak reply mungkin tak perasan. Kat sini kak pah share resepi ya. Maaf andai ada yang terkurang kalau ada tak faham boleh tanya”.
Bahan-Bahan:
Buah nangka
beras pulut ( direndam 8 jam ) kurang pun takpe
santan pekat( guna santan kotak pun lagi bagus pekat )
garam & gula
Daun pandan (Pilihan )
Cara Membuat:
(Pulut)
1.Mula-mula toskan pulut yang direndam, kukus dalam periuk kukus letak daun pandan nak bagi wangi.
2.Masuk santan pekat dalam bekas campur garam agak-agak rasa dengan tekak kacau bagi hancur gula.
3.Dah masak pulut yang dikukus angkat gaul dengan santan tadi sampai kering santannya.
4.Selepas itu, masukkan semula dalam periuk, kukus sekali lagi sampai keluar wap. Angkat, tabur gula dalam pulut kaup balik pulut tadi dengan senduk bagi gula sekata. Biar sejuk sikit.
( Nangka)
1. Belah buang biji isi nangka, jangan belah terus separuh je
2. Ambil pulut kepal-kepalkam dan masukkan dalam nangka tadi.
3. Dah siap semua masuk nangka yang dah isi pulut ke dalam periuk dan kukus sekejap dalam 3-5 minit, untuk bagi nangka lembut sikit. Jangan lama nanti lembik tak sedap. Kalau suka nangka yang ranggup tak perlu kukus.
( Kuah Santan)
1.Santan pekat kisar dengan isi nangka agak-agak jangan banyak sangat dalam 5 @ 6 ulas je.
2.Letak atas dapur masak dengan api sederhana sampai mendidih.
3.Masuk gula garam ikut citarasa.
Siap! dah boleh makan.
MW: Menarik juga resipi pulut nangka kuah santan pekat ni. Mak-mak boleh cuba buat sendiri di rumah nanti. Mungkin ada yang kata buah nangka dan pulut ini ‘angin’, apa-apa pun makanlah berpada-pada dan tak berlebihan.
Setiap mak ayah pastinya mengharapkan anak-anak menjadi ‘manusia’ apabila mereka dewasa. Mengambil berat, menghargai, membalas jasa dan menjaga mak ayah ketika meningkat usia walapun tanpa dipinta.Namun untuk mendidik anak-anak sedemikian bukannya mudah.Acuan bagaimana kita terapkan pada anak-anak semenjak dari kecil, akan membentuk sikap mereka nanti.
Jika selama ini jarang sekali suapkan anak makan dan tak pernah ucap terima kasih pada mereka, sebaiknya ubahlah segera.
Perkongsian Puan Siti Suryani Yaakop mengenai salah seorang pesakitnya ketika berkerja sebagai seorang Fisioterapi di Hospital Sungai Buloh ini boleh dijadikan panduan buat kita.
Berikut perkongsian tersebut;
Satu masa tu, saya ada seorang pesakit.Makcik. Dia sakit lutut. Jadi, tak boleh berjalan dan kena tolak dengan kerusi roda. Dia dulu pernah bekerja. Jadi pembantu makmal. Lepas suami meninggal, dia duduk dengan anak bongsu dia di sini. Di Selangor. Makcik ni ada anak. 6 orang.
2 doktor.
2 jurutera.
Sorang cikgu.
Sorang meniaga sendiri.
Sukses semuanya.
Hebat kan?
Hebat!
Tapi, tu belum hebat lagi.
Ditemani Anak Berbeza
Yang lebih hebatnya ialah, setiap kali datang rawatan, makcik ni akan ditemani oleh anak yang berbeza. Minggu ni orang lain. Minggu depan lain. Lain kali lain. Esok lusa lain.
Hebat kan?
Hebat!
Tapi, tu pun tak kira hebat lagi.
Yang lebih lagi hebat dari hebat ialah, anak-anaknya semua tinggal jauh-jauh. Paling dekat pun yang bongsu. Jauh sikit tinggal di Ampang. Yang lain memang jauh sungguh. Perak. Pahang. Dari Johor 2 orang.
Tapi, tak pernah missed datang teman mak ke hospital walau tinggal jauh mana pun.
Saya memang tak adore benda lain. Saya memang adore orang yang berjaya ‘create’ manusia lain jadi manusia. Sebab itu saya tanya tips. Apa makcik buat?
Suapkan Anak
Makcik bagitahu begini. Takda la tips yang special sangat. Cumanya dulu, masa anaknya kecil dulu, setiap kali nak pergi sekolah makcik akan suapkan sarapan.
Bukan sarapan susah-susah sangat. Cuma kismis!
Makcik ambil kismis sorang 7 biji, selawat dan suapkan dalam mulut anak-anak.
Ada masa makcik bagi roti. Secubit sorang. Kadang-kadang susu. Lepas dia minum, dia suap sorang sikit dari cawan yang sama.
Hormat & Hargai Anak
Tapi selain dari tips tu, makcik ni telah tunjuk saya satu lagi tips paling penting. Mungkin dia pun tak perasan.Saya lihat makcik ni sangat respek anak dia. Sangat-sangat!
Kalau anak dia tolong tarikkan kain, dia akan cakap, “Terima kasih Along”.
Kalau anak dia tolong pimpin tangan dia bila dia berlatih berjalan, dia ucap, “Terima kasih kakak”.
Kalau saya bagi tarikh temujanji, dia akan tanya dulu anak dia sama ada boleh ke tidak untuk hadir. Kalau boleh dia akan sebut, “Alhamdulillah, terima kasih ye Ngah”.
Nanti anak-anak dia akan balas dengan senyuman dan gosokan di tangan atau tepukan di bahu.
Saya tak tahu kenapa. Bila saya nampak perbuatan begitu, saya sebak. Sebak sungguh. Bergenang airmata.
Makcik sebenarnya dah ajar dan tunjuk saya 2 tips.
Satu, berkasih sayang to the fullest.
Dan kedua, hormat!
Waima itu anak kita sekalipun.
Saya yakin dia tak mulakan benda tu sekarang. Sebab sungguh, nampak flawless sekali. Bukan dibuat-buat.Kita kadang dengan anak orang kemain baik. Dengan anak sendiri, nauzubillah. Garang!
Kita ingat kita mak, kita berkuasa ke atas dia. Kita fikir dia menumpang kasih kita. Kita lupa, kita pun lebih lagi Tuhan bagi rezeki menumpang kasih dari dia.
Saya percaya.Itulah bayaran sebuah hormat.
Kita jadi apa pun.
Ketua. Mak. Senior.
Hormat!
Sekarang memang. Kita berkuasa, kita boleh buat apa kita suka. Tak peduli apa orang lain rasa. Kadang sampai stress orang lain dibuat oleh kerasnya hati kita.
Kalau kita nak tahu apa yang kita dah semai masa kita muda dan berkuasa, tunggu bila kita tua dan dah habis tenaga.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Nak didik anak memang tak mudah. Sebagai mak ayah, rendahkan ego kita, jangan lupa untuk menghormati dan menghargai anak sendiri. Apa yang kita berikan dan terapkan buat mereka, itulah yang akan diberikan nanti.
Sememangnya dunia pekerjaan penuh dengan tekanan. Namun tekanan yang melanda mak-mak dan bapa-bapa yang berkerjaya ada yang menyebabkan anak-anak mereka menjadi mangsa. Jadi kepada mak-mak yang sentiasa sibuk pastikan anak-anak anda tidak terabai. Malah jangan jadikan tekanan sebagai satu beban sehingga anak-anak menjadi mangsa . Jom ikuti tips bersama Puan Saleha Idris iaitu Pakar Keibubapaan dan Ilmu Menguruskan Anak-Anak dalam mengajar mak-mak dan bapa-bapa mengatasi masalah tekanan bekerja.
“Ibu bapa yang bekerja kerana mahu menampung kewangan ekonomi keluarga kerana mahu memberi keselesaan kepada anak-anak. Apa yang terjadi ada ibu bapa yang bekerja tertekan dan hingga anak-anak jadi mangsa. Mangsa yang disebut disini ialah ketidak adilan pada emosi, psikologi, mantel dan perkembangan mereka samada perkembangan sosial, emosi dan sebagainya. Kita lihat dalam kehidupan ini, manusia tidak dapat lari dari ujian kerana ujian itu didatangkan dari Allah swt adalah untuk meningkatkan makam dalam diri kita, watak dalam diri kita dan kebaikan-kebaikan yang ada dalam diri kita. Sedangkan kita manusia biasa apatah lagi Nabi, Rasul dan orang-orang yang berjaya sebelum ini tentulah ujian-ujiannya sangat hebat. Ujian sakit, ujian orang sekeliling, fitnah, kita lihat sahaja Nabi Yusoff, Nabi Muhammad dan semua orang mempunyai tekanan mereka sendiri.
“Kenapa ibu bapa tertekan di tempat kerja mereka? Ini kita perlu lihat kembali apakah faktor-faktor mereka menerima tekanan, mungkin kerana orang atasan, kerja yang terlampau banyak, gaji yang sedikit dan perbelanjaan mereka meningkat semua ini boleh menyebabkan tekanan-tekanan kepada ibu dan bapa. Dalam psikologi kita panggil mekanisme membela diri, maksudnya jika kita mempunyai masalah psikologi atau sifat-sifat emosi kita akan pindahkannya kepada yang lebih baik atau yang lebih tidak baik. Kalau ada ibu bapa yang ada tekanan mereka memarahi anak, memukul dan menjerit-jerit kepada anak kita panggil pertahanan diri secara kondusif. Maksudnya mereka menggunakan emosi yang negatif untuk melempiaskan tekanan-tekanan yang ada pada diri mereka. Sudah tentu kehidupan mereka hanya di rumah dan di tempat kerja, sudah tentu bila tak dapat marah bos dan kawan-kawan tentulah bila balik mereka sebenarnya sudah membawa bebanan-bebanan luka-luka dihati, sarat-sarat dendam dan kemarahan di mana perkara itu akan dilepaskan kepada anak-anak.
Salurkan Tekanan Dengan Membaca & Menyanyi
“Istilah yang lain apabila mereka ingin menyalurkan rasa tekanan dan marah adalah displacement. Maksudnya tekanan yang diterima tetapi disalurkan ke tempat lain secara dengan lebih baik dengan membaca dan menyanyi. Ibu bapa yang marah-marah anak sehingga kadang-kadang ada yang tertampar dan terpukul anak kerana anak adalah begitu fitrah mereka suka bermain, suka mengadu pada ibu bapa, bergaduh adik beradik. Tetapi apa yang dilihat itu ialah sebagai bara-bara api kepanasan kepada ibu bapa tetapi bukan lagi syurga dalaman dalam rumahtangga kerana ibu bapa perlu selesaikan jiwa mereka, hal mereka dan sudah tentulah mesti menggunakan ilmu. Yang pertama, kalaulah mereka dapat luahkan perasaan kepada majikan, atau majikan faham dengan suasana kerja atau ada sumber manusia yang prihatin kepada perkara ini. Kerana tekanan dan kerisauan sudah melanda rakyat Malaysia, setiap tahun peratusan peningkatan menunjukkan ianya semakin bertambah. Lebih sedih bila lihat ada penderaan anak-anak disebabkan ibu dan bapa tidak pandai dan tidak ada ilmu mengawal emosi. Mereka juga mungkin kekurangan makanan rohani kerana kadangkala bila sibuk bekerja kita lupa hubungan kita dengan tuhan.
“Sudah tentuah kita boleh berjumpa dengan pakar-pakar jika kita rasa kita mempunyai masalah dan berkongsi dengan orang lain. Kerana perkongsian ini adalah salah satu contoh yang mana kita pindahkan emosi sarat kepada orag lain dan kalau bercerita dengan kaunselor atau ahli psikologi atau orang yg lebih berpengalaman mereka akan memberikan idea-idea yang baik dan membuka minda dan mindset kita bagaimana kita boleh menangani tekanan supaya tidak sampai ke rumah. Salah satu cara, kalau kita ada wang, kita boleh bawa keluarga berjalan-jalan kerana dengan itu kita boleh meningkatkan kasih sayang kepada keluarga. Mereka yang mengalami tekanan pula akan melihat cara yang lain apabila berjalan-jalan. Kerana dalam Al-Quran juga disuruh untuk kita “Berjalan-jalanlah kamu di muka bumi tuhan” kerana selain dapat menghilangkan tekanan kita dapat membuka mindset apabila melihat geografi, cuaca dan suasana yang lain kerana konteksnya yang berbeza. Kadangkala manusia ini dia berubah bukan kerana kontent yang sama tetapi konteks yang berbeza.
“Jadi nasihat saya ialah kita ini manusia, manusia ini adalah sesuatu yang kompleks dibina daripada elemen emosi, rohani (spiritual), akal dan jasad kita. Keempat-empat elemen ini perlu diseimbangkan, tuhan akan berikan ujian untuk melihat dan sentiasa meningkatkan makam-makam rohani, akal, emosi dan jasad jadi kalau ibu bapa di rumah selalu marah-marah kerana hormon gembiranya kurang kerana mereka tertekan. Hormon gembira ini kita akan dapat dengan beridahah, bila balik bergurau sendalah dengan anak-anak dahulu dan akan meningkatkan hormon gembira kita. Selain itu faktor pemakanan juga sangat penting, jika kita dapat masak, masaklah yang ringkas bersama anak-anak, ini boleh meningkatkan kebahagiaan anak-anak dan rumah tangga. Peluklah anak selalu dan senyum selalu insyaAllah dalam badan kita akan merembes hormon yang bagus-bagus supaya kita dapat hidup yang lebih baik harmoni dan seimbang,” ujar Puan Saleha Idris.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...