Sejak semalam para peminat Ardell Aryana terus mendoakan pelakon kecil molek itu dalam instagram miliknya. Memberi kata-kata semangat dan sokongan yang tidak putus-putus. Adakah ketika ini pelakon manis kesayangan ramai ini sedang sakit?
Seperti yang dilaporkan Sinar Harian semalam, pelakon Hati Perempuan Nadzmi Adhwa memaklumkan yang Ardell Aryana atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin sedang sakit.
Daripada komen para peminat Ardell di laman instagramnya, ada yang memaklumkan Ardell sedang sakit kanser tahap 3. Ini komen balas yang peminatnya kongsikan selepas Ardell berkongsi satu status sayu daripadanya.
“Perkara yang perih adalah menerima sebuah kenyataan. Bertahun menerima sebuah kenyataan tidak mungkin kau mula menyerah sekarang! Tetap bersemangat walau beribu kali engkau rebah lutut & tapak tangan jatuh ke tanah. Kerana tanah dan kita akhirnya bersama.”
Ardell terus berkongsi lagi akan sebuah harapan kepada para followernya. “Dan apabila bersoal tentang HARAPAN. HARAPAN itu boleh dibina tapi tidak dengan BERHARAP. Kerana jika engkau terlebih berharap, lebih dari membina sebuah harapan ‘engkau akan kecewa’ dengan 1 kemungkinan yang takdirnya berbeza dengan apa yang engkau berharapan.”
“Tidak mengapa untuk BERSERAH, asalkan tidak MENYERAH!”
Ads
Sampai hari ini, Ardell masih belum berkongsi jawapan balas tentang penyakitnya seperti yang dimaklumkan teman akrabnya dan para peminatnya itu.
Sebelumnya dalam laporan Sinar Harian, Nadzmi yang mulai rapat dengan Ardell selepas bergandingan dengan drama Namaku Bedah (2015) ada membuat Instagram Live (IGLIVE). Beliau berkongsi dan memberi sokongan semangat kepada Ardell.
“Weh @ardellaryana aku tak kira macam mana sekalipun kau kena kuat. Aku tahu kau tengah sakit. Lawan sakit tu jangan mengalah. Kau kata nak tengok aku kahwin kan.
Ads
“Kau kena kuat teruskan perjuangan. ALLAH menguji seseorang itu kerana ALLAH SWT mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada ALLAH hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita.
“Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita, yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri, ujian juga dapat mematangkan kita.
“Aku sahabat kau kau pun tahu aku akan selalu ada untuk kau. Kau relax je okay. buat je theraphy tu. kau buat je teraphy walaupun aku tahu sakit kau kena buat. kau kan kuat, kasar, gangster so jangan jadi cry baby macam aku okay.
Ads
“Jangan takut pasal theraphy tu badan kau lagi kuat dari besi . kau boleh punya. Aku nak kau happy balik macam dalam video ni okay. Korang tolong doakan kesihatan @ardellaryana ya #MakCikBawang,” coret Nadzmi.
Apa pun ujian yang Allah beri buat Ardell Aryana, MW doakan Ardell terus kuat menempuhinya. Ujian sakit ini tanda Allah sangat mencintai dan mengasihi hambaNya. Hanya insan terpilih yang Allah berikan anugerah istimewa sebegini. Moga Allah memberi ruang kesembuhan untuk pelakon cantik manis kesayangan ramai ini.
Kehilangan suami tersayang memberi ‘tamparan’ besar buat penyanyi Nora dalam meniti kelangsungan hidup hari-hari mendatang.Terlalu sukar untuk melupakan insan yang meninggalkan banyak kenangan dalam hidup. Hampir setahun pemergian suami tercinta, penyanyi popular, Nora Ariffin, mengakui masih belum dapat menerima hakikat lelaki yang disayanginya itu sudah kembali menemui Maha Pencipta.
Separuh Jiwa Dibawa Bersama
Bukan menafikan takdir yang sudah ditentukan, cuma kata Nora, pemergian mengejut suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, ketika masih dahagakan kasih sayang dan perhatian membuatkan dirinya dihambat kesedihan.
Perasan luluh dan ralat masih membekas dalam hatinya, malah akui Nora, ada ketika jiwanya terlalu rapuh, terutama apabila perasaan rindu terhadap arwah datang mengetuk pintu hati.
“Jujur saya akui, sampai hari ini saya masih tak percaya arwah sudah tiada. Kenapa semua ini berlaku kepada saya? Bukan menolak takdir, cuma pemergiannya yang mengejut membuatkan saya berasa seperti separuh daripada jiwa turut dibawa bersamanya.
“Selepas pemergiannya, hidup saya berendam air mata sehingga ia memberi kesan kepada daya penglihatan. Bulan depan, genap setahun Johan meninggalkan kami dan tiada satu saat pun saya melupakan arwah.
“Apabila teringat dan perasaan rindu menjelma, selain mendoakan yang terbaik untuknya di alam sana, saya jadikan jubah yang pernah dipakainya sebagai selimut untuk menemani tidur,” tutur Nora perlahan dalam satu pertemuan, baru-baru ini.
Bertemu Dalam Mimpi
Johan yang juga komposer terkenal meninggal dunia pada tanggal 24 Mac lalu, jam 6.30 pagi, akibat serangan jantung. Pemergiannya pada hening Subuh Jumaat itu mengejutkan semua pihak, terutama karyawan dan peminat seni.
Terpisah dalam dunia yang berbeza, namun kata Nora, mimpi menjadi perantara mereka bertemu, sekali gus meleraikan rindu yang tidak tertanggung.
“Saya selalu berdoa semoga kami dipertemukan dan Tuhan memperkenankan permintaan itu apabila arwah datang dalam mimpi. Arwah memeluk, memberi kucupan dan sering menghadiahkan senyuman. Apabila terjaga, saya anggap semua itu sebagai petanda arwah mahu saya tahu semangatnya tetap menemani, walaupun jasadnya tiada di sisi.
“Dari situ, timbul kekuatan untuk saya bangkit dan berjuang meneruskan kehidupan bersama anak-anak tercinta,” cerita pemilik nama lengkap Wan Norafizah Wan Ariffin ini dalam nada sebak.
Tempoh Edah Fasa Paling Sukar
Walaupun cuba menahan diri daripada menitiskan air mata, Nora gagal melawan kesedihan apabila manik jernih itu gugur juga.
Membiarkan seketika Nora larut dalam emosi sebelum menyambung semula perbualan, bekas pemenang Bintang HMI 1991 ini berkata, tempoh edah adalah fasa paling sukar dalam hidupnya.
Kata Nora, jiwanya kusut kerana tidak tertanggung dengan bebanan ujian yang dihadapinya ketika itu.
“Sebelum ini, saya banyak bergantung kepada arwah suami dalam pelbagai perkara, terutama dari segi kerjaya. Kini, semuanya saya terpaksa lakukan sendiri, termasuk kerjaya, bisnes dan menguruskan rumah tangga.
“Ia membuatkan saya tertekan. Pernah suatu ketika, terlintas di fikiran untuk saya pergi jauh membawa diri dan tinggalkan anak-anak. Seorang teman bagaimanapun, menasihatkan supaya saya fikirkan anak-anak sebelum membuat sebarang keputusan yang menjanjikan kebahagiaan sementara,” cerita ibu kepada empat cahaya mata ini.
Promosi Single Terbaru
Kehadiran Nora ke Balai Berita, baru-baru ini, turut membawa hajat untuk mempromosikan single terbarunya, Ada Dalam Tiada, hasil ciptaan Sirkhan Danial dan lirik nukilan Habsah Hassan.
Cerita Nora, lagu itu terhasil atas saranan Habsah atau lebih mesra disapa Kak Chah dalam kalangan penggiat seni.
“Saya bertemu Kak Chah untuk membincangkan soal royalti kerana ketika itu, saya dalam proses menyiapkan album kompilasi, Tribute Johan Nawawi 30 Tahun. Apabila saya memberitahunya perkara itu, Kak Chah menyarankan supaya merakamkan lagu baharu sebagai pelengkap.
“Lagu ini menyaksikan kali pertama saya bekerja dengan komposer baharu dan muda. Memang seronok kerana kami saling menghormati antara satu sama lain.
“Walaupun saya penyanyi berpengalaman, dia berhak menegur jika ada kekurangan dalam nyanyian saya. Anggap saja saya seperti orang baharu,” katanya.
Bercerita lanjut, album itu akan memuatkan 29 karya ciptaan Johan, termasuk lagu daripada penyanyi terkenal lain seperti Datuk Sheila Majid dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Mengikut perancangan awal, album ini sepatutnya diterbitkan tahun lalu sempena sambutan ulang tahun ke-30 Johan dalam bidang seni. Hasrat itu tidak kesampaian dan saya cuba lunaskan juga projek impiannya itu,” kata penyanyi lagu Hanyalah Satu ini.
Buat Nora, semoga terus kuat dan tabah menghadapi kehilangan ini. Bukan mudah untuk bangkit selepas kehilangan orang tersayang, banyakkan bersabar dan jadikan anak-anak sebagai pemangkin semangat untuk meneruskan perjuangan dalam bidang ini.
“Sebanyak Mana Sokongan Manusia Pun, Pastikan Allah Redha,” Nasihat Terbaik Ibu Buat Cikgu Fadli.Sesungguhnya tiada doa dan pesanan lebih ikhlas dari pesanan dan doa seorang ibu terhadap anaknya.Keredhaan Allah adalah segala-galanya, mengatasi sokongan manusia.
Begitulah nasihat ikhlas daripada seorang ibu pada ‘perjuangan’ Cikgu Fadli Salleh, yang dijadikan pesanan terbaik buat dirinya.
Ramai mengetahui ketika ini, Cikgu terkenal ini, cukup berani menyuarakan pandangan dan kebenaran di dalam sistem Pendidikan Negara sehingga berdepan dengan tindakan tatatertib dan berkemungkinan boleh dibuang kerja.
Berikut antara perkongsian pesanan ibu yang dikongsikan;
Ma pesan,
“Sebanyak mana sokongan manusia pun, pastikan Allah redha. Apa kerja buat kita sekali pun, utamakan keredhaan Allah dan nabi saw, baru manusia. Andai sesuatu benda itu orang tak sokong tapi Allah redha, buatlah.
Namun walau sebanyak mana sokongan orang tapi perkara itu Allah tak redha, jangan buat. Kita ni hamba. Dan selamanya akan menjadi hamba”.
Terima kasih ma. Terima kasih.
Sepanjang perjuangan aku, nasihat ini adalah nasihat terbaik yang aku terima dan akan pegang sampai mati.
Sesungguhnya tiada doa dan pesanan lebih ikhlas dari pesanan dan doa seorang ibu terhadap anaknya.
InsyaAllah perjuangan ini diredhai Allah. Bahkan nabi saw juga ada bersabda,
‘Jihad (perjuangan) yang paling utama adalah mengatakan perkara yang adil di depan pemimpin yang zalim’.
#MFS
– Pesan ibu sentiasa dihati –
Hadis Ke-19 Imam Nawawi
Nasihat ini ternyata bertepatan Hadis ke-19 dalam Hadis 40 Imam Nawawi berkaitan topik Tawakal Kepada Allah.
Daripada Abu al-‘Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: “Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku:
“Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah.
Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).”
(Riwayat Ahmad no. 2669, al-Tirmizi no. 2516 dan al-Hakim no. 6302)
Dalam riwayat selain Imam al-Tirmizi disebutkan :
“Jagalah Allah nescaya engkau mendapati-Nya di hadapanmu; kenalilah Allah pada waktu lapang nescaya Dia mengenalimu pada waktu kesusahan. Ketahuilah, bahawa apa yang luput daripadamu tidak bakal mengenaimu, dan apa yang mengenaimu tidak bakal luput daripadamu. Ketahuilah bahawa bersama kesabaran da kemenangan; bersama kesusahan ada jalan keluar; dan bersama kesulitan ada kemudahan.”
Enam bulan lalu, Anan Adlipernah menghantar message kepada usahawan terkenal Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman. Berkongsi tentang perniagaan rumput tiruan dan insurans AIA yang diusahakan. Sayangnya, mesej itu tidak berbalas.
Dan Anan meneruskan pekerjaannya seperti selalu. Bekerja dengan niat mahu memperoleh keberkatan dalam setiap rezeki yang diperoleh. Sebab itu, biar sesibuk mana, urusannya dengan tuhan diletakkan yang utama dalam hatinya.
Rupanya, keyakinan dan penyerahan diri pada Allah itu indah penghujungnya andai dilakukan dengan sabar dan ikhlas. Ini kisah Anan waktu bulan Ramadhan yang lalu. Yang membuatkan dirinya dalam persimpangan dilema, antara mengejar dunia atau mengejar akhirat.
Pertemuan, dengan Datuk Seri Aliff Syukri itulah rupanya rezeki ghaib yang Allah berikan selepas ujian demi ujian tuhan ditempuh dengan sabar dan berserah diri kepadaNya.
KEJAR DUNIA KE KEJAR AKHIRAT (Kisah di sebalik rezeki saya dengan Dato Aliff Syukri).
Nak share sikit kisah di sebalik macam mana Dato Aliff Syukri boleh beli artificial grass dari saya. Sebab saya rasa magic sangat Allah nak beri rezeki tu pada saya.
Untuk pengetahuan semua, sebenarnya tahun lepas pada tarikh 19 November 2017, saya ada mencuba rezeki dengan message Dato Aliff kat IG beliau. Dengan harapan Dato akan baca message saya tu dan respond.
Saya bagi tahu Dato saya buat AIA Takaful dan juga Artificial Grass. Mana lah tahu Dato berminat kan. Tetapi sampai sekarang Dato tak read pun message saya tu.
Dipendekkan cerita, setelah 6 bulan, ada seorang lelaki whatsapp saya. Masa ni bulan puasa. Dia beritahu dia ada beli artificial grass kat tempat lain. Tapi tak besar la. Just nak tunjuk kat boss dia. Tapi boss dia tak suka rumput yang dia beli tu. Katanya nampak sangat fake nya. Jadi dia nak jumpa saya untuk tengok sample dan tunjuk kat boss dia.
Pada kebiasaannya kalau customer nak tengok sample, saya minta customer untuk datang area Shah Alam. Tapi hari tu Allah gerakkan hati saya untuk pergi jumpa dengan lelaki tu dan tunjuk sample. Masa tu saya kat KL. Dan kami bersetuju untuk berjumpa di area Kota Damansara.
Setelah berjumpa lelaki tersebut minta izin untuk bawa balik sample rumput tu untuk ditunjukkan pada boss beliau. Saya dah la ada satu je sample untuk setiap jenis rumput. Tapi sekali lagi Allah gerakkan hati saya benarkan dia bawa balik sample rumput tu.
Dia Nak Suruh Pasang Petang Tu Juga
Keesokkan petang lelaki tersebut call saya 2-3 kali jugak tapi saya tak dapat pickup call sebab saya tengah training kat Puchong. Saya whatsapp dia bagi tahu yang saya tengah dalam training, tak dapat nak jawab call. Dia pun faham. Dia kata boss dia bersetuju untuk beli rumput saya yang 30mm tu. Dan dia nak suruh pasang petang tu juga. Dia nak terus transfer duit dan minta pasang hari tu jugak.
Saya bagi tahu dia tak sempat nak pasang hari ni. Sebab masa tu dah pukul 4 petang. Supplier tutup pukul 5. Nak ambil rumput kat supplier mmg akan ada masalah jalan jam. Lagi-lagi orang tengah berpusu-pusu nak balik berbuka. Tapi lelaki tu minta tolong untuk install hari ni juga.
Lepas habis training kat Puchong saya terus kelam kabut bergegas kat supplier. Saya bagi tahu supplier pleaseeee jangan tutup lagi. Saya datang nak ambil rumput ni. Customer dah bayar. Nak datang ambil je. Alhamdulillah supplier baik hati dan boleh tunggu sampai saya datang.
Minyak kereta masa tu dah berkelip-kelip sebab nak habis. Kalau nak pegi cari station minyak mesti lagi lambat nanti. Jadi saya tawakal je teruskan ke supplier. Masa sampai supplier tu dah pukul 6.40pm. Saya tak solat Asar lagi masa tu.
Saya teringat kat NKVE Damansara ada station minyak. Boleh solat dan isi minyak kat situ. Dengan jalan jem dan hujan, memang lambat la saya sampai. Huhu. Lelaki tu dah beberapa kali tanya saya dah sampai mana. Saya bagi tahu saya tengah stucked dalam jem.
Allah Uji Minyak Kereta Habis Tengah Dalam Stuck Jem
Lebih kurang nak sampai 1km dari station minyak, Allah uji saya dengan minyak kereta saya habis. Masa tu jam menunjukkan pukul 7pm. Dengan hujan, jalan jem, tak solat Asar lagi, dan dah nak berbuka, kereta saya berhenti di lorong kecemasan. Mujur masa tu kereta saya berada di laluan kiri. Jadi saya sempat ke lorong kecemasan sebelum kereta mati.
Saya terduduk diam kejap dalam kereta. Adakah saya nak kejar dunia dengan tinggalkan je solat Asar dan nanti ganti balik solat tu, sebab customer dah tunggu lama. Atau saya nak kejar akhirat, buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan dulu urusan dunia. Dalam hati saya bercakap dengan Allah. Ya Allah, aku tahu Kau sedang menguji ku. Tapi aku redha dan aku tahu Kau sedang merancang yang terbaik untuk ku.
Saya pun mencapai botol mineral kosong dalam kereta, pasang lampu hazard dan terus berjogging tepi highway NKVE menuju ke Petronas tepi NKVE Damansara tu. Sampai Petronas saya nampak ada satu pam kosong. Saya pun terus ke pam tersebut. Swipe credit card dan isi minyak dalam botol mineral. Total RM3 lebih satu botol 1.5 liter tu.
Then saya terus masuk surau dan solat Asar. Perasaan leganya dah solat Asar sebelum masuk waktu berbuka tu memang tak dapat digambarkan. Terus saya beli sebotol mineral kecik dan berlari semula ke kereta yang tersadai.
Buka Dengan Seteguk Air Mineral
5 minit lepas tu azan maghrib berkumandang. Saya minum seteguk dan terus berlari ke kereta. Waktu nak isi minyak dalam tangki tu memang saspen. Ntah-ntah tak cukup ke sebotol tu kan. Dah nak kena berlari balik. Dengan baca bismillah saya start kereta. Alhamdulillah boleh start! Terima kasih Allah!
Saya pun bawak kereta pegi balik ke station minyak dan isi balik minyak. Lelaki tu message lagi bagi tahu dia dah balik.
“Nanti awak deal dengan staff lagi sorang. Dia bagi tahu nnt dah sampai guard, cakap kat guard nak pergi rumah Dato Aliff Syukri.” Saya macam eh, macam familiar nama ni.
Dah sampai rumah yang besar tak dapat nak dibayangkan, saya tanya staff dia, “Boleh tak nak tumpang solat maghrib?” Dia bawa kami ke next building yang menempatkan surau dan gym. Dah settle solat saya pun mula pasang rumput tu dalam hujan renyai-renyai dengan adik saya.
Tak lama lepas tu Dato pun keluar. Dia cakap “Laaa ada orang pasang rumput ke kat luar ni. Kenapa tak pasang esok je. Dah la hujan pulak tu. Dah-dah continue esok je.” Saya bagi tahu Dato, takpelah saya pasang je alang-alang dah sampai.
Dato tanya, “Ni dah berbuka belum?”
Saya cakap, “Errr dah.”
Dato. “Haaa tu lambat je jawab, mesti belum makan. Dah-dah jom makan dulu.”
Kami yang dengan basahnya Dato jemput masuk makan. Dia suruh wife dia bawa ke dapur.
Sebelum tu Dato minta izin, “Boleh tak ambil video awak pasang rumput ni? Pastu nanti saya post la kat IG @palacealiffsyukri.”
Saya tanpa berfikir panjang cakap, “Ehhh boleh jeee. Nape pulak tak boleh.” Lepas ambil video tu saya dan adik saya pun masuk ke dapur dan makan.
Rupanya Dato Aliff terus post video tadi. Ya Allah, lepas dia post je beribu-ribu orang add saya kat IG @artificialgrassbyanan. Dengan yang message lagi. Memang tak menang tangan saya dibuatnya. Sebelum ni biasanya dalam seminggu ada lah 3-4 orang yang message. Tapi lepas post tu, satu malam je berpuluh-puluh message.
“Allahuakbar.. ni lah rezeki ghaib yang Allah nak beri kat saya. Dia uji saya dulu nak tengok saya ni nak buat tak apa yang Dia suruh. Nak tengok saya ni pilih dunia ke akhirat. Benarlah kata Allah, kalau kita mengejar Akhirat, Dunia akan ikut kita. Tapi kalau kita mengejar Dunia, Akhirat takkan ikut kita.”
Jadi buat lah apa yang Allah suruh dengan penuh yakin dan sungguh-sungguh. Tinggalkan apa yang dilarang. Nescaya Allah akan beri rezeki yang melimpah ruah dari sumber yang tak disangka-sangka.
Siapa sangka kan, message 6 bulan lepas walaupun Dato tak seen pun sampai hari ni, tapi Allah dah tetapkan rezeki ni untuk saya. Allah sehebat-hebat perancang.
Terima kasih Papa Adanan Abdullah, Mama Rohana Othman, Abah Abdul Rahman Hashim, Mama Azizah Ahmad, isteriku Redzlin Hasyim dan semua yang selalu mendoakan rezeki dan kejayaan saya. Terima kasih Dato @aliffsyukriterlajaklaris dan @palacealiffsyukri kerana beri peluang untuk orang-orang macam saya. Semoga Dato dan keluarga ditambah-tambahkan rezeki yang melimpah ruah.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...