Pergi Umrah Bawa Anak Kecil, “Proses Penyucian Diri Bermula Dari Sini.”

Share

Mungkin ada mak-mak yang sudah lama berniat nak bawa anak pergi umrah bersama, tetapi rasa teragak-agak  dan risau kalau tak dapat fokus beribadat.

Tetapi perkongsian Puan Khairunnisa Hamzah ini sangat membantu, yang mana nasihat ini memang daripada pandangan seorang Ustaz ketika dia mengikuti khusus.

Bawa Anak Pergi Umrah

“Kalau kami bawa anak 4 orang ini bagaimana kaedah terbaik untuk kami berdua laksanakan ibadah kami suami isteri, ustaz?” tanya saya sebaik habis kursus dan peserta sedang beratur ambil beg masing-masing.

“Tak mengapa, puan. Jangan risau. Anak-anak ini pembawa rezeki. Bawa mereka, InsyaAllah banyak rezeki yang tidak disangka sepanjang di sana nanti. InsyaAllah.

Begini, biar suami yang buat dahulu ibadah umrah. Kita akan datang dari Madinah. Kita bermiqat di Bir Ali. Suami saja yang niat Ihram dan mulakan ibadah umrah. Puan jaga dahulu anak-anak ini.

Selepas suami selesai, puan pula boleh buat. Mutawwif akan bawa puan sekeluarga keluar semula dari Mekah melalui Tana’im. Dekat saja. Kita sentuh sikit je Madinah, kemudian masuk balik (sempadan) ke Miqat Bir Ali dan puan pula niat Ihram bermula di situ.

Masa ini, bawa anak-anak sekali. Sayang kalau anak-anak tak ikut buat tawaf dan saie alang-alang sudah sampai buat sekali. Yang dua besar ini sudah faham, boleh ajar sekali buat umrah lengkap.

Semasa puan buat umrah, biar suami kendong anak. Sebab semasa tawaf tidak boleh bawa stroller. Puan pula tidak boleh dukung anak kerana sedang dalam rukun umrah. Dah on pantang larang. Puan juga sudah bersuci dan berwuduk. Tawaf wajib berwuduk. Macam solat. Dikhuatiri pampers anak bernajis. Apa yang dikendong, dikira sekali dengan diri puan.

Tapi jangan risau, masa ini suami sudah bebas. Tidak terikat dengan 14 perkara yang tidak boleh dibuat ketika ihram itu. Dia hanya berada di sisi untuk teman dan escort puan buat umrah bersaksikan anak-anak”

Sebaik ustaz beri penerangan, sebak sangat hati. Ya Allah, kau mudahkan lah urusan kami. Kami tidak mahu susahkan sesiapa. Kedua orang tua kami di kedua-dua belah juga tidak berupaya menjaga. Kami akur untuk bawa anak sekali juga. Ya, mungkin inilah yang terbaik sudah Allah rancangkan buat kami sekeluarga. Pasti besar hikmahnya.

Mungkin abang haji kecil mommy benar-benar akan membesar sebagai pak haji muda. Mungkin kakak dan abang benar-benar akan seronok dan ikhlas mengerjakan ibadah selepas melihat dengan mata sendiri akan kaabah yang merupakan kiblat kita.

Alhamdulillah, anak-anak mommy semua sudah sunat dari baby lagi. Anak perempuan dah cukup umur. Semua matang awal. Ya Allah. Moga mereka semua kau jadikan hambamu yang meninggikan martabat agamamu dan membawa ramai orang ke syurga bersama mereka kelak. Jadikan mereka manusia yang bermnafaat di dunia sehingga ke akhirat

Ustaz kata, umrah dan haji adalah pelengkap ibadah solat. Selama ini kita solat pandang ke kiblat, maka kali ini kita saksikan sendiri apa yang kita kiblatkan itu.

Umrah dan haji wajib sekali dibuat seumur hidup. Niat mahu pergi, Allah pasti jemput apabila kita ada pasang niat. Bagaimana prosesnya? Biar Allah yang tentukan. Sungguh DIA akan mudahkan segala urusan dengan bantuan sekian alam dan manusia di sekeliling kita. Percayalah!

Doakan kami, masih ada baki yang kami perlu lunaskan. Asalnya ingin pergi berdua, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Kami perlu bawa sekali anak-anak bersama. 4 orang semuanya.

1 tahun, 3 tahun, 7 tahun dan 9 tahun umur mereka. Syukur kami masih diberikan masa untuk mencukupkan dananya.

Jika ada projek-projek deko nak dibuatnya, bagi tahulah mommy. Dapat upah, boleh cukupkan dana umrah 6 beranak ni.

Kata Coach Zie, teruskan doa. Kita tidak tahu rezeki kita Allah salurkan menerusi siapa. Allahuakhbar. Yakin dengan Allah. Mungkin ada kalian di sini yang akan menjadi asbab dan perantara.

Jom submit doa bersama.
Moga kita semua diterima sebagai tetamuNya.

Sebelum itu saya hendak sampaikan pesan ustaz. Katanya, sebaik tiba di Mekah, jangan lepaskan peluang ini jika kita hadir pertama kali. Kerana ini adalah hadiah untuk yang pertama kali:

1. Doa orang pertama kali tengok Kaabah depan mata, tiada hijab. Laju saja diangkat ke langit. Doa sebanyak mungkin. Jangan kelip kan mata. Kalau boleh, siapkan skrip siap-siap. Biar cantik susunannya.

2. Masa solat di Masjidil Haram, mata kena sentiasa pandang Kaabah melainkan waktu rukuk dan sujud saja. Tak sama macam kita di Malaysia, solat pandang bawah di sejadah.

Last sekali ustaz nasihatkan,

“Umrah kamu bermula bila? Bermula dari sekarang! Terus sudah mula bersihkan hati, bersihkan hutang, maafkan orang, halalkan hutang orang, minta maaf dari mak ayah, minta maaf dari 40 jiran, minta maaf dengan semua yang kamu pernah buat salah. Kemudian baru boleh niat ihram dan mulakan ibadah umrah. Proses penyucian diri bermula dari sini. Jika tidak, berat kamu di sana nanti.”

Allahuakhbar

Jika ada sahabat yang berhajat mengerjakan umrah dan mahu bawa anak-anak kecil sekali, boleh Share kan apa Ustaz bagi tahu ni.

Published by
Nadia