Kebenaran pergerakan tanpa had masa antara daerah tidak bermakna setiap daripada kita dapat menyambut aidilfitri seperti kebiasaan tahun-tahun sebelum ini.

Walaupun kampung halaman dalam daerah yang sama, aktiviti yang melibatkan pengumpulan orang ramai seperti ziarah hari raya tidak dibenarkan. Dalam erti kata lain, tidak semua pergerakan dibenarkan buat masa ini.

Ziarah Aidilfitri Tidak Dibenarkan

Pergerakan untuk hari raya antara daerah masih tidak dibenarkan kerana ia masih disenaraikan dalam perkara yang dilarang.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pada masa ini, kerajaan memang membenarkan pergerakan tanpa had masa antara daerah tetapi ziarah untuk hari raya masih tidak dibenarkan.

Katanya, tidak semua pergerakan dibenarkan pada masa ini, begitu juga aktiviti sosial dan sukan.

“Contohnya, permainan bola sepak masih tidak dibenarkan kerana ia berada dalam senarai negatif namun sukan lain seperti badmintan dan golf dibenarkan.

“Seperti diumumkan Perdana Menteri pulang ke kampung untuk berhari raya tidak dibenarkan,” katanya dalam wawancara ekslusif bersama BH.

IKLAN

Terpulang Pada Diri

Dalam perkembangan yang lain, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menasihatkan orang ramai meneruskan kawalan kendiri walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi banyak kelonggaran pergerakan.

Katanya, disiplin dan tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan diri, keluarga dan masyarakat adalah terletak di tangan kita sendiri.

“Undang-undang boleh tetapkan apa saja tetapi ia terpulang kepada kita hendak patuhi undang-undang itu atau tidak. Sekarang pun ramai yang melanggar peraturan.

“Sebenarnya tanpa undang-undang pun kita boleh selamatkan diri kita sendiri. Saya suka memberi contoh seperti Taiwan, negara itu tidak pernah melaksanakan perintah berkurung atau kawalan pergerakan rakyatnya tetapi menjadi negara yang paling rendah di dunia direkodkan dalam kes COVID-19 dengan enam kematian sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

PKP Fasa Keempat Dilaksanakan, Mungkin Tak Dapat Balik Beraya Di Kampung

Giliran Balik Raya, Biar Ada Ihsan Kalau Isteri Ada Buat Semua Ini!

Solat Jumaat, Terawih Belum Ada Kata Putus

Sementara itu, ditanya mengenai kebenaran untuk solat Jumaat dan tarawih di surau dan masjid, katanya setakat ini, belum lagi diputuskan sebarang keputusan mengenainya.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan hal ehwal agama ada membentangkan cadangan tetapi kita belum putuskan apa-apa keputusan mengenainya. Mungkin kita akan bincangkan lebih lanjut di dalam mesyuarat Kabinet.

“Cadangan itu bagaimanapun bukan mahu dilaksana dalam waktu terdekat. Jika mahu dilaksanakan pun seminggu atau dua minggu lagi. Saya kira adalah lebih baik menteri yang berkenaan mengulas mengenainya,” katanya.

Sumber: BH Online

MW: Walaupun kita tak dapat beraya bersama keluarga, tidak bermakna hubungan kekeluargaan yang terjalin terputus. Sebaliknya dengan bantuan teknologi, kita dapat merapatkan hubungan.