Malang bagi seorang isteri, apabila mati dan menemui ajal ditangan suami sendiri.Lebih kejam, mangsa dipercayai dibunuh dengan parang milik suami, dengan beberapa kesan tetakan dibahagian tubuh badan.
Seorang isteri ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala, muka dan tangan dipercayai ditetak suaminya dalam satu kejadian di Ladang Pintasan, dekat sini, semalam.Mangsa yang berusia 27 tahun itu dipercayai dibunuh pada kira-kira jam 8 pagi, namun laporan mengenainya hanya dibuat pada jam 8.45 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata laporan dibuat orang awam memaklumkan satu kejadian bunuh berlaku di lokasi berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa baru saja bekerja di ladang itu kira-kira sebulan sebagai pemungut biji sawit manakala suaminya tidak bekerja. Kedua-dua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mayat mangsa berada di ruang tamu rumah dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Pergelangan Tangan Hampir Putus
A Sahak berkata, pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati ada kecederaan akibat tetakan di muka kiri, di atas kepala dan belakang kepala.Selain itu, katanya pergelangan tangan kanan mangsa juga hampir putus manakala tiga jari kanannya putus dipercayai ditetak.
“Pemeriksaan di dapur menemui cebisan jari mangsa yang putus. Senjata yang digunakan dipercayai adalah parang milik suami. Ketika kejadian, jiran mangsa mendakwa tidak mendengar sebarang pergaduhan ataupun bunyi bising dari rumah itu,” katanya.
Motif Perselisihan Faham
Katanya, selepas kejadian, jiran mangsa melihat suspek berada di luar rumah sambil memegang sebilah parang dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira jam 8 malam sebelum melarikan diri ke arah sungai.
Beliau berkata, penduduk yang bimbang berlaku kejadian tidak diingini bertindak mengejar suspek namun gagal sebelum mereka memeriksa rumah pasangan itu dan mendapati isterinya terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
“Motif kejadian setakat ini dipercayai berpunca akibat perselisihan faham di antara mangsa dan suspek ketika mereka berada di dapur berikutan penemuan periuk yang mengandungi sup ayam dan satu pinggan berisi nasi ditemui bertaburan di lantai dapur dipercayai dibaling.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat dan usaha mengesan suspek berumur 30-an itu masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga suami mangsa dapat diberkas dengan segera dan mendapat hukuman yang setimpal. Buat pasangan suami isteri, perselisihan yang berlaku selesaikanlah secara baik.Jangan sesekali hilang sabar dan menggunakan kekerasan fizikal.Bila amarah menguasai diri,menyebabkan mudahnya bertindak diluar batasan fikiran.
Sumber: Bharian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI