Menurut Pakar Neurologi, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr. Sathindren Santhirathelagan, masih ramai rakyat di Malaysia mengalami masalah kesukaran untuk tidur malam atau insomnia.

Tidur cukup dan berkualiti adalah sangat penting untuk memastikan kita dapat rehat cukup. Lebih kurang 10 hingga 15 peratus orang dewasa mengalami Insomnia. Ia semakin meningkat untuk wanita dan mereka yang lanjut usia.

Kajian daripada Jurnal Kesihatan Awam Asia Pasifik menunjukkan corak insomnia dalam populasi Malaysia adalah sebanyak 54 peratus, dan 12.2 peratus daripadanya datang daripada subjek yang sedang menderita insomnia tahap kronik.

Umumnya orang dewasa memerlukan 6 hingga 8 jam tidur setiap malam. Kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang. Manakala golongan warga usia emas memerlukan masa yang lebih pendek di antara 4 hingga 5 jam sehari.

Gangguan tidur merujuk kepada gangguan pada corak tidur. Individu yang berdepan masalah untuk tidur dan tidur lena perlu mendapatkan nasihat doktor serta mengelak penggunaan pil tidur untuk jangka panjang.

Perempuan Yang Tak Boleh Lelap Mata, Kerap Bangun Waktu Tidur Mungkin Alami Insomnia
Dr. Sathindren Santhirathelagan, Pakar Neurologi, Hospital Gleneagles Pulau Pinang,

Apa Itu Insomnia?

Insomnia adalah satu keadaan di mana penderita tidak mendapat tidur yang cukup untuk dirinya samada dari segi kualiti atau kuantiti. Justeru penderita mendapati aktiviti seharian  mula terganggu dan tidak dapat berfungsi pada tahap sewajarnya.

Penderita mendapati samada dia tidak boleh melelapkan mata atau bangun terlalu awal atau kerap bangun di waktu tidur dan tidak dapat lelap semula.

Dr. Sathindren menasihatkan mereka yang mengalami Insomnia tidak memandang ringan masalah yang dihadapi.

Masyarakat memang meremehkan gangguan ini kerana dari kecil kita diajar bahawa tidur itu sesuatu yang tidak begitu penting dan hanya pemalas yang suka tidur. Juga diberitahu bahawa tiada kemudaratan yang boleh timbul akibat kurang tidur.

“Justeru kita tidak mengendahkan gangguan ini tetapi hakikatnya gangguan ini mewujudkan implikasi negatif terhadap kesihatan dan prestasi seseorang itu dan perlu diberi keutamaan sewajarnya.

IKLAN

Kenali Tahap Tidur

Proses tidur adalah agak kompleks dan terdiri dari beberapa tahap tetapi secara umumnya dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu;

Tahap I- mengantuk
Tahap 2- mula lelap mata – mula bermimpi
Tahap 3- REM sleep – bermimpi berterusan dan pada waktu ini berlaku pergerakan mata (Rapid Eye Movement)
Tahap 4- non REM – umpama tidur mati – badan lumpuh, jantung dan penafasan perlahan  – ini adalah tidur sempurna di mana badan rehat sepenuhnya dan otak dicergaskan dengan pembentukan neurotransmitter baru – seumpama stock taking and penggantian.

Proses ini berulang antara 4 hingga enam kali semalam.

Apa-apa gangguan dalam proses ini akan membawa kepada proses rehat yang terbantut dan memberikan keadaan insomnia.

Perempuan Yang Tak Boleh Lelap Mata, Kerap Bangun Waktu Tidur Mungkin Alami Insomnia

Mengapakah  Penyakit Ini Boleh Berlaku?

Proses tidur ini melibatkan beberapa proses dalam otak dan melibatkan imbangan bahan-bahan kimia (neurotransmitters) dalam otak. Sekiranya proses ini terganggu, atau bahan kimia tersebut tidak seimbang, maka proses tidur akan terjejas.

IKLAN

Walaupun kadang-kadang gangguan ini terjadi tanpa punca sebab yang boleh dikesan, kebanyakan kes terjadi kerana ada pendorong lain seperti ada penyakit lain dalam badan, keadaan kesihatan terganggu, keadaan tekanan atau stress berlebihan, masalah fisiologi seperti pencernaan yang kurang baik atau gangguan seksual di antaranya.

Juga gangguan di kamar tidur seperti TV, komputer atau telefon juga sering menyumbang kepada keadaan ini.  Kadang-kadang bunyi bising persekitaran seperti jiran yang bising atau pasangan tidur yang berdengkur juga memainkan peranan.

Berapa Jam Tidur Yang Diperlukan Oleh Orang Dewasa Untuk Bebas Insomnia?

Ini berbeza dari individu ke individu. Biasanya di antara 6 hingga 10 jam tetapi ada yang lebih atau kurang daripada itu. Yang pentingnya individu itu harus segar setelah bangun dan kekal segar sepanjang hari walaupun jangka waktu tidurnya nampak singkat.

Siapakah Lebih Berisiko Untuk Mendapat Insomnia?  

Biasanya sesiapa pun boleh mendapat gangguan ini dan ia jenis yang tidak memilih bulu. Walaupun begitu, biasanya individu yang berisiko seperti dinyatakan di atas lebih cenderung.

Ia juga melibatkan mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat dari segi makanan, senaman dan aktiviti harian.

IKLAN

Juga mereka yang mempunyai pola tidur yang tidak tetap atau terpaksa bekerja syif sering mengalami gangguan ini kerana otak mula keliru mengenai waktu untuk memulakan proses tidur ini.

Adakah Insomnia Boleh Menyebabkan Pesakit Berpotensi Untuk Sakit Mental?

Penderita tidak boleh menjadi gila atau rosak otak kecuali langsung tidak tidur dan ini jarang sekali berlaku. Walaupun begitu proses kurang tidur akan mengakibatkan gangguan neurotransmitter dan membawa kepada perasan gelisah (anxiety) atau murung (depression).

Jika Boleh Keadaan Bagaimana Untuk Ke Arah Itu?

Tidak boleh sebenarnya. Tetapi keadaan sebegitu tidak harus digalakkan atau dipandang ringan

Bolehkah Insomnia Diubati?

  • Pertamanya puncanya harus disiasat. Penderita harus diperiksa dengan teliti untuk kehadiran penyakit lain atau keadaan kesihatan yang terjejas.
  • Tahap stres atau tekanan harus diambil kira dan stres yang boleh dielakkan harus dielakkan.
  • Sleep hygiene iaitu menyediakan suasana tidur yang selesa dan nyaman harus diamalkan iaitu tiada gangguan dalam bilik tidur seperti TV atau komputer atau telefon.
  • Pasangan tidur harus juga bekerjasama setakat yang boleh tanpa membuat bising dan kalau kuat berdengkur, ini menjadi gangguan. Pasangan mungkin terpaksa tidur berasingan buat sementara sehingga keadaan ini boleh diatasi.
  • Minumlah susu suam atau chamomile tea sebelum tidur, elakkan merokok atau minuman keras. Makanan harus ringan dan mudah pencernaannya.
  • Banyakkan senaman dan aktiviti sihat.
  • Jangan menonton gambar yang menggerunkan atau menghairahkan sebelum tidur.
  • Bacalah buku yang aman atau kitab, termasuk kitab agama sebelum tidur dan ubat penenang ringan boleh diberi sebagai langkah terakhir dengan pengawasan doktor bertauliah untuk sementara waktu.
  • Ubat tidur tidak digalakkan sama sekali kerana ubat ini kalau disalah guna akan memburukkan masalah insomnia.
  • Kunjungilah doktor untuk mendapat nasihat menyeluruh.

Adakah Penyakit Ini Seperti Penyakit Asma? Maksudnya Akan Datang Pada Bila Masa Sahaja?

Tidak seperti itu. Ia berbeza di antara individu. Biasanya ia berlaku secara bertahap, bermula dari satu ke satu kemudian terus mengganggu dengan berpanjangan, kadang-kadang hilang begitu sahaja dan kerap berulang.

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI