Perempuan Pencari Nafkah Di Penghujung Zaman, Jangan Sampai Gadai Harga Diri Demi Lariskan Jualan

Share

Tak dinafikan sekarang ini, ramai perempuan sudah pandai cari duit poket. Baik yang belum kahwin mahupun sudah berkahwin. Mereka pencari nafkah untuk membantu pasangan atau keluarga sendiri.

Boleh dikatakan banyak cara untuk perempuan pencari nafkah ini. Lebih-lebih lagi jualan melalui media sosial seperti produk kosmetik, makanan, pakaian dan sebagainya.

Cuma, ada segelintir pencari nafkfkah ini menggunakan cara yang salah dengan mengambil jalan singkat untuk lariskan produk sehingga sanggup lakukan perkara yang memalukan diri sendiri.

Teguran Siti Nur Madihah dala perkongsiannya tentang perempuan pencari nafkah agar menjaga adab. Jangan sanggup melakukan keletah atau aksi yang memalukan sendiri demi untuk lariskan jualan.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Isteri Nak Rezeki BERLEBIH-LEBIH, Jangan Berkira Nak Belanja Suami Walaupun Itu Tanggungjawabnya!

“Saya SUSAH, Sedih, Kaya Isterilah Bersama Saya” Isteri Itu Magnet Rezeki

Info Lebih Menarik DI SINI

 

Pencari Nafkah, Jagalah Adab!

Kehidupan ini tidak seringkas yang orang lihat, bukan? Kau, wanita cekal yang membesarkan anak sendirian. Kau, gadis bujang yang berjuang meneruskan kelangsungan hidup di kota metropolitan. Kau, perempuan pencari nafkah di penghujung zaman.

Tulisan ini untuk kau; yang saban malam dan siang, bergelut dengan ombak dan badai yang tak mengenal kasihan.

Kalau dulu, para lelaki segan membiar wanita-wanitanya berhempas pulas membanting tulang. Hari ini, banyak keadaan yang telah serba terbalik dan sengaja dibuat songsang.

Hari ini, para wanita harus memaksa diri ke depan. Kadangkala, bukanlah kerana kesanggupan, tetapi lebih kepada kerana ranjau hidup yang mencengkam. Dan tidak ada yang cuba meringan beban, meskipun di kelilingnya, masih punya wali-wali lelaki yang seharusnya menjaga keperluan.

Tetapi dunia sudah semakin pekak dan kabur pandangan. Apa lagi yang boleh diharapkan dari kejahilan manusia dalam memahami aturan Tuhan?

Jaga Kehormatan DIri

Bahawa kita, para perempuan perlu memelihara kehormatan dan melindungi rahim yang mengandungkan zuriat keturunan. Namun, keadaan yang mendesak telah memaksa seorang ibu dan bakal ibu berjuang di jalanan. Tidak peduli lagi soal keselamatan, tidak mampu lagi memikirkan soal maruah dan kesopanan.
Tuhan melihat setiap kesukaran yang kau pendam.

Pun begitu, setiap perkara yang kita lakukan ada adab dan garis panduan. Sebab kita bukan ternakan tanpa akal dan pertimbangan.

Walau apa pun alasan, jangan gadaikan harga diri dan kemuliaan yang diberikan oleh Tuhan.

Jangan tewas oleh kehendak pasaran. Demi melariskan jualan, kau sampai sanggup mempertayang diri dengan aksi dan keletah mencuit hati dan emosi para pelanggan.

Demi menaikkan tontonan, kau sampai sanggup hasilkan konten-konten sampah yang sia-sia asalkan menghiburkan. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara, teman.

Demi Mencari Rezeki

Bertahanlah, di medan mencari nafkah ini, dengan cara yang terpuji dan terpelihara dari sebarang bentuk aktiviti yang dicela oleh Tuhan. Kerana Tuhanlah yang mencukupkan rezeki, terutamanya ketika semua orang meninggalkan atau buat-buat tidak perasan.

Peganglah kisah dua orang anak perempuan Nabi Syuaib ‘alaihissalam, yang keluar berdua untuk mendapatkan air di tempat awam. Belajarlah bagaimana mereka teguh menjaga kesucian dalam proses memenuhi keperluan.

Lalu Tuhan mentakdirkan Nabi Musa a.s untuk menyaksikan dan menghulur pertolongan. Nabi Musa a.s, pemuda perkasa lagi jujur, Al-Qawiy Al-Amin, berkredibiliti dan berintegriti, akhirnya menjadi sebahagian dari keluarga mereka.

Kita barangkali tidak akan bertemu lelaki era kini yang berusaha mencontohi Nabi Musa, tetapi jangan berhenti berusaha mencontohi dua anak perempuan Nabi Syuaib.

Sebab tujuan kita adalah Akhirat yang abadi, bukan dunia yang tak pasti.

Dan untuk para lelaki yang sewajarnya melindungi, sebelum gigih menuding jari dan ketawa mengeji apabila melihat para perempuan melakukan perkara-perkara bodoh bagi mencari rezeki, tanya diri dahulu, apa yang dah kau lakukan untuk memberdaya sesama sendiri?

Menjawablah para suami, bapa, abang, adik lelaki, bapa saudara, di mahkamah Tuhan kelak, apabila ada dalam kalangan wanita mereka yang sampai terpaksa melakukan apa sahaja demi sesuap nasi.

وَإِذَا ٱلْمَوْءُۥدَةُ سُئِلَتْ ( 8 ) بِأَىِّ ذَنۢبٍ قُتِلَتْ ( 9 )

Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, –
Dengan dosa apakah ia dibunuh?
[At-Takwir : 8-9]

Mingguan Wanita : Tak salah untuk membantu keluarga tapi carilah rezeki dengan cara diredhai dan mendapat keberkatan olehNya.

Sumber: Nik Nur Madihah

Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Published by
Nora