Aik, pakai baju putih pun salah? Haaa… mesti penggemar pakai baju putih rasa tak puas hati. Sabar ya, baca dulu penjelasan daripada Ustaz Farid Rashidi kali ini, ada sebabnya bila terkaut dosa sekali. Jemput hadam dulu perlahan-lahan.
Pakai Baju Putih Tak Salah Tapi…
Trend sekarang ramai yang memakai baju kemeja putih, blouse putih atau baju t-shirt putih. Ada yang dipakai sedondon dengan pasangannya. Tahukah anda, salah memakai baju putih juga boleh mengundang dosa.
Eh, kenapa? Salahkah pakai baju putih?
Tak. Baju putih tak salah pun. Yang salah ialah cara memakai dan material yang digunakan si pemakai.
Hah? Suspennya!
Ingat tak, pernah masa belajar di sekolah dahulu, para ustaz, ustazah dan cikgu displin selalu pesan khususnya kepada pelajar perempuan supaya tidak memakai baju kurung putih yang nipis, jarang dan menampakkan warna kulit.
Ads
Pesanan mereka sangatlah betul. Bukan hanya peraturan sekolah. Ini kerana haram dan berdosa memakai pakaian putih (dan warna lain) yang nipis, jarang, menampakkan warna kulit dan aurat.
Sebenarnya bukan sahaja untuk pelajar sekolah, tetapi juga untuk semua perempuan di luar sana apabila usia mencecah aqil baligh. Tak kiralah, bujang trang tang tang ke, dah berkahwin ke, janda kak limah ke, mak budak ke asalkan yang namanya perempuan. Nenek tak payahlah, muntah hijau atok nanti.
Sebuah pesanan yang disampaikan oleh Saidatina ‘Aisyah dalam satu riwayat:
وعن علقمة بن أبي علقمة ، عن أمه قالت : دخلت حفصة بنت عبد الرحمن على عائشة وعليها خمار رقيق ، فشقته عائشة وكستها خمارا كثيفا
Ads
Daripada al-Qomah bin Abi al-Qomah, daripada ibunya berkata: “Hafsah binti Abdul Rahman (anak saudara ‘Aisyah) masuk menemui ‘Aisyah r.a ummul mukminin dalam keadaan Hafsah memakai tudung nipis di kepalanya. Lalu Aisyah r.a mengoyakkannya, kemudian memakainya tudung yang tebal.”
Juga menurut al-Hafiz al-Murtadha al-Zabidi dalam kitabnya Ithaf Sadah al-Muttaqin, jilid 3 /134 menyebutkan:
“Aurat seorang wanita merdeka adalah seluruh badan melainkan wajah dan dua pergelangan tangan iaitu bermula daripada kepala jari jemari sampai ke pergelangan tangan.”
Katanya lagi:
Ads
“Syarat menutup aurat adalah memakai sesuatu yang menghalang daripada dapat dilihat warna kulit bukan daripada yang menghilangkan bentuk badannya (kerana sebahagaian manusia khususnya yang gemuk sukar untuk tidak menampakkan sedikitpun daripada bentuk badannya).”
Sebagai jalan selamat mengelak dosa, bila pakai baju putih, janganlah pakai baju dalam lain warna supaya tak jelas kelihatan dan pakailah baju lain untuk mengelakkan nampak warna kulit. Biar longgar, tebal dan tidak menampak bentuk badan.
Ya benar, putih itu suci. Tetapi boleh jadi putih itu bisa menjadi kotor akibat percikan dosa manusia.
Nak pakai baju putih, tak salah. Pakailah dengan bersyariat, tidak mendedah aurat. Jangan tunggu hingga orang lain yang tolong memakaikan tubuhmu dengan pakaian putih sudahlah.
Bantu share pesanan ini agar ramai kaum hawa berhati-hati ya. Diizin share ke seluruh sfera bumi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Panik Azura Abdullah apabila tetamu yang menziarahi suaminya yang alami Dimensia tiba-tiba merakam aksi suami yang sedang mengamuk mencampakkan makanan.
Dimensia ini, orang biasa sebut nyanyuk. Itu sejenis penyakit yang biasa dialami orang-orang tua yang dah lanjut usia. Tapi dalam kes Azura, suami beliau alami strok sehingga disahkan alami Melas Sindrom.
Bukan semua orang faham betapa sukarnya menjaga seorang pesakit yang alami Dimensia ini. Cuma mereka yang alami paling memahami. Namun, tak bermakna anda perlu buat tak tahu.
Belajar hadapi pesakit sebegini. Jadi tidaklah nanti timbul cakap-cakap belakang yang sakitnya hati ‘caregiver’ nak terima atau nak berlapang dada.
Kisah wanita tabah ini boleh dijadikan panduan untuk anda memahami adab ketika bersemuka atau melawat pesakit Dimensia.
Karenah Tetamu Buat Saya Hilang Kata-kata
Beberapa hari lepas Abe Mie berjaya memegang sudu dan cawan dengan tangan kanannya. Berjaya menyuap makanan dengan tangan kanan. 5 bulan lalu beliau terlantar di katil, bagaikan jasad bernyawa.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Terima kasih Allah SWT.
Kejayaan kecil yang amat bermakna buat kami sekeluarga khasnya. Tidak tergambar betapa gembiranya. Anak-anak juga sangat teruja untuk melihat kejayaan kecil seterusnya.
Itulah juga perasaan para ‘caregiver’ serta keluarga lain yang menjaga pesakit siang dan malam. Kejayaan kecil inilah pemangkin semangat kami untuk terus istiqomah dan terus melangkah serta bertahan.
Ketika kami para ‘caregiver’ berjuang mengurus dan menangani keadaan serta karenah pesakit di rumah tidak dinafikan kadang-kadang ada juga cabaran yang di luar kawalan para ‘caregiver’ menjengah. Di antaranya ialah karenah tetamu yang kurang empati atau langsung tiada empati.
Kegembiraan saya dan anak-anak melihat pencapaian suami di pagi yang hening beberapa hari lepas bertahan beberapa jam sahaja apabila kami diterjah oleh beberapa orang tetamu yang kerenah mereka membuatkan saya hilang kata-kata.
Suami saya yang mempunyai dimensia dan sedang tenang-tenang makan ditemani saya tiba-tiba mengamuk akibat dalam sekelip mata suasana tenang bertukar kalut dengan suara yang kuat, diasak berbagai soalan.
Mereka bercakap tentang beliau di hadapan beliau seolah-olah beliau tidak wujud. Menambahkan kronik lagi kepada keadaan, tetamu tersebut membaca Surah Yassin pula secara kuat di hadapan suami saya ketika suami mengamuk dengan mencampakkan makanan.
Kak Jangan Sebarkan Aib Suami Saya
Mereka andaikan suami saya dirasuk hantu saya kira. Saya juga diberitahu oleh mereka ada seorang saudara mereka ada penyakit sebegini juga dan kebiasaannya orang-orang tua panggil ‘gila’, telah meninggal. Allahurobbi! Tetamu apakah ini ya Tuhan.
Sedang suami saya mengamuk dan cuba tanggalkan pakaiannya, anak perempuan saya memberitahu saya, “Ibu, makcik tu dok rakam abah dengan handphone. Tolong ibu, tolong suruh dia stop. Kesian abah.”
Allahu Allah! Tetamu apakah ini? Benar-benar Allah SWT mahu menguji saya dan anak-anak. Semenjak suami saya sakit on dan off dari tahun 2010, inilah tetamu paling menduga emosi saya.
Sepanjang 2 minggu di kampung baru-baru ini hampir setiap hari rakan-rakan sekerja saya dan suami menziarah suami di rumah Mak saya di Kulim juga tidak sebegini. Ya Tuhan! Saya tidak mampu mengawal perasaan kecewa saya lagi.
Secara baik saya katakan, “Kak, bolehkah jangan rakam suami saya. Jangan sebarkan aib suami saya. Kak pulang dahulu ya. Suami saya perlu bertenang.” Laju sahaja keluar dari bibir saya dan dengan sedaya upaya saya cuba mengekang air mata dari jatuh.
Saya tiada pilihan, itulah yang terbaik untuk suami saya sebelum keadaan menjadi semakin buruk.
Pada sebelah malamnya saya berkongsi di dalam group ‘caregiver’ dan pesakit strok yang dikelola oleh Uda Raudzah Arippin tentang apa yang berlaku. Rata-ratanya mereka juga berkongsi dan pernah mengalami pengalaman yang sama seperti saya.
Mungkin pada sesetengah dari kita merasakan melawat mereka yang mempunyai dimensia adalah tidak bermakna, sekadar lawatan menunjukkan body language kerana ingatan pesakit dimensia yang bermasalah.
Walau bagaimanapun menurut satu kajian di United Kingdom ke atas 300 orang pesakit dimensia menunjukkan 64% dari mereka berasa kesunyian dan tersisih dari keluarga.
Jadinya adalah amat penting untuk kaum keluarga dan rakan-rakan untuk terus berhubung dengan mereka untuk kebaikan kesihatan mental dan emosi mereka.
Melawat mereka dengan menjaga adab dan batas kesusilaan manusia serta penuh empati adalah salah satu cara yang efektif untuk kesihatan mental pesakit. Di sini saya kongsikan beberapa point sebagai panduan buat kita semua ketika menziarah pesakit yang mempunyai ‘dimensia’.
Adab Menziarah Pesakit (Dimensia)
1. Sapa mereka dari hadapan dan bukan dari belakang. Bercakaplah dengan suara yang lembut dan tidak mendesak.
2. Untuk memulakan perbualan, kenalkan diri anda dan maintain eye contact.
3. Walaupun mereka tidak mengingati siapa anda, buat seperti biasa dan sentiasa senyum untuk wujudkan suasana selesa.
4. Sabar dan jadilah pendengar yang baik ketika berbual.
5. Hadkan jumlah tetamu dalam satu-satu masa supaya tidak terlalu ramai. Jika tidak dapat dielakkan, bergilir-gilir berbual dengan pesakit untuk mengelakkan pesakit kurang selesa dan merasakan fokus tiba-tiba kepadanya.
6. Beritahu penjaga/caregiver kepada pesakit terlebih dahulu tentang rancangan anda untuk melawat supaya mereka dapat beritahu anda waktu yang sesuai. Caregiver perlu siapkan pesakit supaya pesakit dalam keadaan bersedia dan selesa eg: mandi, tukar lampin pakai buang, makan dan sebagainya.
7. Bersedia untuk mendengar perbualan dan perkataan yang kurang menyenangkan dari pesakit. Anda perlu faham bahawa mereka tidak bermaksud sedemikian kerana ingatan mereka tidak teratur.
8. Elakkan membuat promosi produk-produk kesihatan, alternatif dan urutan kepada caregiver. Mereka lebih mengetahui keadaan pesakit dari anda dan sentiasa berhubung rapat dengan doktor pakar.
9. Jangan sekali-kali merakam video atau mengambil gambar pesakit tanpa kebenaran caregiver. Hormati privasi mereka walaupun anda adalah keluarga terdekat mereka. Mengambil gambar/video pesakit di dalam keadaan mereka tidak berupaya dan kemudiannya menyebarkan ke media sosial adalah amat tidak beretika dan tidak menghormati emosi keluarga pesakit.
10. Ingat kembali apa niat dan tujuan kita menziarah pesakit.
Didoakan ada manfaatnya. Jika anda adalah penjaga pesakit yang mempunyai dimensia dan sudi berkongsi pengalaman anda, silakan di ruang komen ya.
Semoga para caregiver diberi ketabahan dan kemudahan oleh Allah swt dalam menjalankan amanah yang tidak mudah ini.
Ini Lebih Detail Tentang Dimensia
Dimensia adalah istilah yang digunakan untuk menjelaskan kemerosotan fungsional yang seringkali disebabkan oleh kelainan yang terjadi pada otak.
Dimensia adalah kumpulan penyakit dengan gejala-gejala yang mana mengakibatkan perubahan pada pesakit dalam cara berpikir dan berinteraksi dengan orang lain. Kebiasaannya dimensia ini akan memberi impak kepada memori jangka pendek, fikiran, kemampuan bertutur dan kemampuan motorik.
Ianya akan merubah peribadi pesakit. Pesakit dimensia akan kehilangan kemampuan serta kemahiran tertentu juga pengetahuannya yang telah ada sebelumnya.
Sebut saja ibu tiri, terus terbayang kisah Cinderella dengan ibu tirinya yang kejam. Persepsinya tetap berbunyi negatif. Dalam drama Melayu pun kita ada Mak Labu yang kejam dengan anak tirinya, bawang merah. Tapi itu persepsi yang digambarkan media massa. Hakikatnya, ada ibu tiri yang penuh sifat kasih. Yang ikhlas menjadi ibu pada anak-anak suaminya.
Seorang wanita yang mengahwini duda yang ada anak bukanlah satu hal yang mudah untuk mereka. Anak-anak tiri ini tak boleh disogok dengan kepura-puraan dan sikap ramah yang plastik. Keikhlasan dan luhurnya hati mendorong perasaan sayang dan suka dalam hati mereka.
Ini Cara Nak Dekat Dengan Anak Tiri
Belajar Menjadi Ikhlas
Satu hal yang paling sukar diduga adalah keikhlasan. Ia perasaan suci yang hanya mampu dinilai oleh Yang Maha Esa. Namun, hati-hati yang suci mampu melihat sejauh mana seorang itu ikhlas atau tidak terhadap mereka. Justeru, terimalah anak-anak suami anda dengan penuh rasa cinta.
Jujur Pada Diri Sendiri
Sebagaimana anda cinta dengan suami, salurkan rasa itu pada darah dagingnya. Berikan sepenuh jiwa dan layani makan minum mereka mengikut aturan yang sepatutnya. Anda juga perlu menjadi jujur pada diri sendiri. Agar keikhlasan itu boleh terpancar dari lubuk nurani yang ikhlas.
Dekatkan Jurang
Bagaimana mahu menjadi rapat dengan anak-anak, cinta hati suami ini? Salah satu caranya adalah merapatkan hubungan yang mula terasa hambar. Lakukan aktiviti bersama suami dan anak-anak tiri ketika waktu lapang. Bawa mereka bersiar atau melancong ke satu destinasi yang tenang.
Pupuk Rasa Kasih
Anda boleh juga pupuk jiwa kasih anak-anak tiri melalui solat berjemaah. Pinta suami lakukan bersama biarpun cuma dapat melakukannya ketika solat maghrib sahaja. Selesai solat, biarkan suami memberi tazkirah diikuti oleh harapan anda sebagai seorang ibu baru kepada anak-anak suami.
Belajar Terima Hakikat, Anda Ibu Tiri
1. Anak-anak merupakan permata yang paling berharga. Ibarat melentur buluh dari rebungnya, begitulah halnya dengan diri anda. Lenturlah diri agar dapat mengadaptasi suasana baru itu. Status seorang isteri sekali gus ibu tiri kadangkala memberi bebanan yang luar biasa.
2. Paling sukar apabila anak-anak tiri sudah masuk peringkat remaja. Pendekatan menawan hati mereka tidak sama dengan cara memujuk anak kecil dengan sebungkus gula-gula. Namun, kaedahnya masih sama iaitu sentuhan emosi memainkan peranan utama.
3. Perkara utama yang boleh anda praktikkan adalah jadikan diri anda buah hati pada anak-anak tiri anda. Jika mahu diri dianggap bagaikan sahabat, teman mahupun BFF, cubalah cipta diri anda jadi sebegitu. Anda perlu jadi pendengar yang baik dan bukannya pengarah yang dibenci. Anda juga perlu tahu bagaimana mahu menjadi pembantu mereka bukannya seorang yang mudah dibuli.
4. Menasihati mereka juga ibarat menarik rambut di dalam tepung. Ia tidak meninggalkan pesanan yang berbisa. Sebaliknya jika mereka mahu berubah, mereka lakukan dengan rela. Hubungan baik anda dan permata hati suami ini pasti menyenangkan hati suami.
Suami jadi lebih sayang malah suami sendiri pasti mahu tahu rahsia anda dapat berbaik dengan anak-anaknya. Justeru jadilah ibu tiri yang lembut jiwanya namun tegas dalam setiap tindak tanduk.
Perlu Kental & Sabar Melayan Emosi Seorang Duda
Berkahwin dengan seorang duda yang sudah beranak pinak membuatkan anda perlu bekerja lebih keras untuk memenangi hati mereka. Benarkah begitu? Atau ada cara lain yang lebih relaks dan tak perlu terkocoh-kocoh merebut cinta suami yang satu ini.
Bertenang, sebenarnya tak perlu bersusah payah. Biarpun mereka ada anak-anak, andai suami sudah melafazkan kata cinta bermakna andalah pilihan utama di hati. Jaga makan minumnya dan belajarlah santuni emosinya.
Layan suami dengan perasaan kasih, jadilah isteri yang mendengar kata dan bijaksana. Anda juga perlu tahu bilakah masanya perlu bertolak ansur. Yang mana suami boleh membahagikan ruang untuk anda dan juga anak-anaknya. Jangan terlalu tamak.
Ya, anda isterinya. Namun, anak-anak juga perlukan kasih seorang ayah. Dalam masa yang sama, mereka juga perlukan belaian mesra seorang ibu. Lengkapilah hidup keluarga baru anda itu dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak-anak yang tengah membesar, perangainya cukup mencabar kewibawaan mak ayah. Setiap peringkat umur anak ada peel masing-masing dan kita sebagai mak ayah sanggup lakukan apa sahaja untuk menjaga hati anak agar mereka tidak ‘buat hal’ yang boleh membuatkan kita lagi beremosi. Senang cerita, ‘tak kisahlah, asalkan anak suka’.
Dalam menjaga hati anak, tidaklah bermaksud mengikut apa sahaja kemahuan mereka. Jangan sampai mereka ‘naik lemak’ pula. Ada setengah mak ayah merasakan dengan memberi pilihan sebagai salah satu cara terbaik. Sekurang-kurang apa yang mak ayah minta atau suruh dilakukan dengan cepat. Contoh yang boleh kita katakan adalah dengan memberi kata dua, jika anak inginkan sesuatu.
Kadang-kadang, apa yang kita bagi pilihan itu tidak kena dengan ‘selera’ mereka sampaikan anak mula mengamuk. Ada juga mak ayah yang memaksa dengan memberi pilihan muktamad. Akhirnya, mak ayah sendiri yang mula ‘naik angin’.
Nak tahu apa yang dikatakan dalam memberi pilihan yang menyenangkan hati anak, Dr Redza Zainol, ada jawapan dan ulasannya.
“Kalau anas mandi sekarang, boleh bawa sekali 1 mainan. Nak bawa kereta ni atau nak bawa lego tu?”
Dulu saya selalu tertanya-tanya kenapa isteri suka tanya macam ni pada anak.
Saya fikir kalau nak minum, minum je la. Kalau nak mandi, mandi sajalah. Bila kita dah suruh, mesti anak akan faham.
Sampai satu hari saya tergerak hati nak bertanya pada isteri.
Dia pun tanya kat saya macam ni.
“Malam ni kita makan ikan goreng ya, atau malam ni abang nak makan ikan atau ayam?
Mana satu abang suka, ayat pertama atau yang kedua?”
Saya pun terus jawab saya suka kalau diberi pilihan.
Terus isteri saya tersenyum.
Macam itu juga dengan anak-anak. Walaupun anak itu tubuhnya kecil, mereka juga manusia yang ada perasaan. Bila diberi pilihan, mereka tak rasa seperti dipaksa sama macam orang dewasa.
Kuasa Menentukan Keputusan
Anak yang diberi pilihan akan terasa dia ada sedikit kuasa untuk menentukan keputusan. Bila dia rasa dia terlibat untuk buat keputusan, rasa untuk menentang semula akan jadi lebih rendah.
Saya pun terkebil-kebil. Isteri saya sambung lagi.
Kesilapan mak ayah ialah beri pilihan yang berbentuk ugutan. Contohnya,
“Papa bagi pilihan. Kalau tak mandi sekarang, papa buang semua toys tu.”
Lagilah anak tu akan protes sebab pilihan yang ada semuanya tak seronok pada mereka.
Aduh patutlah anak kurang meragam bila isteri yang jaga. Bila saya yang jaga, penatnya badan ni nak bersilat dengan si kecil tu.
Di hujung perbualan isteri saya kongsikan tips ni.
Bila beri pilihan, pastikan kedua-dua pilihan tu menyenangkan hati anak dan tak membebankan mak ayah.
Jadi, bila buat gini, memang ambil lebih banyak masa tapi emosi anak lebih terjaga. Bila emosi anak stabil, emosi mak ayah pun akan dapat tempiasnya sekali.
MW: Kalau nak anak dengar kata, mak-mak cubalah bagi pilihan macam ini. Rasanya mesti terus anak-anak buat kan!
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...