PERAS UGUT EMOSI Dalam Keluarga,”SYURGA Bukan Untuk Diugut-Ugut”

Share

PERAS UGUT EMOSI Dalam Keluarga,”SYURGA Bukan Untuk Diugut-Ugut”. Drama bersiri ‘Rindu Kasih’ baru sahaja berakhir. Ramai yang terkesan dengan plot cerita dan lakonan hebat para pelakonnya terutamanya watak Salina yang dibawa oleh Pelakon versatil Ummi Nazeera. Disamping watak-watak lain seperti Halijah, Amir dan Zamani.

Penceritaan mendalam dari segi psikologi menggambarkan wujudnya peras ugut emosi dalam keluarga mahupun sesuatu perhubungan. Situasi ini sering digunakan untuk mengawal seseorang kerana individu yang mengugut tidak tahu cara lain yang berkesan untuk menguruskan konflik.

Untuk faham lebih lanjut, baca perkongsian pandangan dan ulasan oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar ini daripada Parent Connect Consultancy ini sebagai rujukan.

PERAS UGUT EMOSI DALAM KELUARGA.

Peras ugut emosi atau ’emotional blackmail’ berlaku apabila orang yang rapat dengan kita menggunakan ketakutan kita, rahsia kita, tanggungjawab kita ataupun kelemahan kita sebagai hukuman bagi memenuhi kemahuannya.

Amir sangkakan Ina sebagai seorang isteri dan ibu, akan takut sekiranya diceraikan. Maka diugutnya dengan talak.

Halijah tahu sebagai anak yang bertanggungjawab dan anak yang sering solat berjemaah di masjid, Amir tentu dambakan kebaikan.Maka diugutnya dengan Syurga.

Peras Ugut Untuk Mengawal Seseorang

Dalam keluarga ataupun dalam sesebuah perhubungan, peras ugut emosi ini sering digunakan untuk mengawal seseorang kerana individu yang mengugut tidak tahu cara lain yang berkesan untuk menguruskan konflik.

PERAS UGUT EMOSI 3 – AMIR

“Salina bt Khalid. Selangkah Ina keluar dari kawasan ini maka jatuh talak satu pada Ina.”.

Begitulah ugutan Amir pada isterinya dalam babak di episod akhir drama Rindu Kasih.
Dialog tersebut seakan pernah diucapkan pada episod-episod terdahulu, maka saya kembali ke episod awal untuk mencari dialog itu.
Ternyata benar.
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

PERAS UGUT EMOSI 2 – HALIJAH

“Selangkah Amir keluar dari rumah ini….”, begitulah yang diucapkan oleh Halijah kepada Amir, di episod 5.

Bagaimanapun belum pun sempat Halijah menghabiskan ugutannya, Amir tetap juga melangkah keluar dari rumah untuk mencari isteri yang kecewa setelah ditampar oleh Halijah.

Kerana tidak menurut permintaan ibunya, maka itulah pertama kali kita mendengar Halijah ‘menunggang’ Syurga untuk mengawal Amir supaya tunduk pada kemahuannya.

Peras ugut emosi boleh menjadi ikutan dan budaya dalam keluarga sekiranya ugutan itu berkesan untuk menundukkan ahli keluarga untuk memenuhi permintaan yang bukan-bukan.

Dalam keluarga Halijah ini, peras ugut emosi bukan hanya menjadi zikir Halijah sahaja, malah Zamani suaminya juga menggunakan kaedah peras ugut emosi agar Khalid memenuhi permintaannya.

Zamani menggunakan rasa terhutang budi Khalid sebagai modal untuk mengugut emosinya.

Peras ugut Zamani lebih lembut (subtle) berbanding kaedah Halijah, namun ia cukup untuk menimbulkan rasa bersalah dalam diri Khalid dan juga Halijah pada ketika itu.

PERAS UGUT EMOSI 1 – ZAMANI

“Dulu aku pernah selamatkan maruah keluarga isteri aku sebab kau”.

Begitulah mukaddimah Zamani ketika terlantar sakit sebelum menyatakan permintaannya kepada Khalid.

Pada ketika itu Halijah merayu dengan nada yang merintih dan mengharap agar Zamani tidak meneruskan niatnya itu, tetapi Zamani tetap tidak mengendahkannya.

Halijah juga mangsa peras ugut emosi kerana terhutang budi. Walaupun Zamani seorang yang sangat baik, tetapi permintaannyalah yang telah mengorbankan banyak hati, malah juga menyebabkan korban nyawa dan dendam yang tidak berkesudahan dalam keluarga.

Peras ugut emosi ini tidak membawa apa-apa kebaikan dalam keluarga melainkan menjadikan orang yang diugut itu dungu dan bebal.

Mangsa tidak berupaya untuk berfikir dalam membuat keputusan. Mangsa tersepit dan tiada pilihan.Emosi mendahului akal.
Fight, Flight or Freeze.
Itulah yang berlaku pada Amir.
Tidak ramai yang berupaya untuk melangkah pergi dari peras ugut emosi seperti Salina.
Syurga bukan untuk diugut-ugut.
Syurga sepatutnya mendamaikan dan menenangkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Mesti Baca:Viral Drama ‘Rindu Kasih’, Banduan Boleh Jaga Anak Di Penjara Sampai Usia 3 Tahun
Baca Lagi Di Sini:Hanya Empat Syarat Isteri Ke Syurga, Mudah Atau Tidak Bergantung Siapa Suaminya
Artikel Menarik:RISAU Dalam Rumahtangga, Ramai Isteri Kian Hilang Rasa HORMAT Pada Suami!

Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sesuatu yang kita boleh pelajari daripada kisah sebegini bahawa elakkan peras ugut emosi di dalam keluarga mahupun sesuatu perhubungan, kerana ia hanyalah satu ‘hukuman’ bagi memenuhi kemahuan yang tidak berkesudahan.

Sumber: Parent Connect Consultancy

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab