Bahagianya bila rumah tangga diserikan dengan anak-anak yang comel. Segala-galanya untuk dia. Masa kecil, apa yang dia mahu, mak ayah akan lakukan apa sahaja. Tak pernah dipersiakan apa yang anak minta.
Namun, jangan terlalu manjakan anak sehingga hilang batas hormat anak pada orang tua. Sementelah, tanggungjawab seorang anak ialah mentaati ibu bapanya. Inilah yang setiap mak ayah idamkan pada anak-anak agar menjadi seorang anak yang soleh dan solehah. Salah satu keistimweaan anak yang soleh ialah anak yang mendengar kata.
Kehadirannya di rumah menenangkan mak ayah. Wajahnya sejuk mata memandang. Saat anak bersuara, kata-katanya baik dan intonasi sederhana. Di sekolah, dia tekun menuntut ilmu, berdisiplin dan disenangi sekalian rakan dan gurunya
Berbeza dengan anak menjadi negatif sama ada di rumah mahu pun di luar kerana hatinya sudah rosak. Jiwanya penuh dengan keinginan untuk bermain, bersosial dan melepak. Ia boleh mengakibatkan pelbagai masalah sosial dan jenayah, jika tidak dibendung. Perkara ini boleh menyebabkan berlakunya masalah sosial di kalangan remaja. Inilah antara kupasan Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga yang perlu mak ayah tahu dalam mendidik anak-anak.
Dalam perkara mendidik anak-anak, ibu bapa wajar bersikap serius untuk membina karakter anak khususnya anak-anak perempuan. Anak perempuan berbeza dengan anak lelaki kerana anak perempuan sifatnya lemah, memerlukan perlindungan yang lebih dan cenderung untuk mudah dieksploitasi oleh lelaki diluar sana yang kebanyakan berniat negatif terhadapnya.
Pada hari ini, terlalu banyak isu dan cabaran anak-anak yang memerlukan mak ayah celik dan berpengetahuan futuristik agar tidak ketinggalan dengan teknologi komunikasi zaman baharu. Contohnya:
Jangan sesekali mak ayah bersikap berserah pada takdir Ilahi mahu pun oleh didikan guru di sekolah anak semata-mata. Sikap ini jelasnya disebut lepas tangan atau zon selesa atau ambil mudah untuk membiarkan sahaja tanpa ada ibu bapa mengambil inisiatif untuk mempelajari dan mengawal penggunaan komunikasi massa dalam kalangan anak-anak.
Beberapa kaedah yang mak ayah lakukan dalam usaha membina konsep kendiri unggul di kalangan anak-anak terutama anak-anak PEREMPUAN (Muslimah). Ia adalah merupakan satu kaedah komunikasi dalam institusi kekeluargaan Islam yang membudayakan nilai-nilai komunikasi terbaik seperti berikut:
Perintah mentaati mak ayah serta larangan meninggikan suara dan mengherdik anak-anak jelas dalam al-Quran. Mendidik anak-anak mentaati mak ayah bukan terletak di tangan guru sekolah semata-mata. Ibu bapa perlu menerapkan nilai ini semenjak mereka kecil dengan menunjukkan sikap dan contoh teladan yang boleh diikuti oleh anak-anak sendiri.
Gambaran kita sebagai mak ayah yang melayan baik datuk dan nenek mereka menjadi cermin dan ikutan untuk anak-anak mencontohinya.Ketegasan ibu bapa kepada perkara yang berkaitan agama, keselamatan dan kehormatan menjadi cermin untuk anak-anak lebih berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu yang merosakkan dirinya.
Islam amat menitik beratkan peraturan dan disiplin dalam kehidupan.Sebagai ibu bapa, kita perlu menjadikan amalan meminta izin sama ada mahu keluar rumah, jumpa kawan-kawan, pergi tuisyen, pasar, kedai untuk beli-belah sebagai satu budaya mahmudah (Islamik) dalam keluarga.
Para ibu bapa perlu menerapkan amalan meminta izin dalam diri anak-anak semenjak mereka masih kecil. Sekiranya ini telah menjadi amalan, lebih mudahlah ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak dan tingkah laku mereka.
Ibubapa perlu membudayakan amalan bermusyawarah dalam institusi keluarganya. Berbincang boleh dilaksanakan secara tidak formal, misalnya ketika makan tengah hari atau minum petang. Dengan sistem komunikasi yang bersifat terbuka, anak-anak akan berasa selamat untuk berkongsi masalah dan pengalaman, isu personal atau apa sahaja dengan ibubapa.
Adab pergaulan antara lelaki dan perempuan mesti diberi penekanan oleh ibubapa bagi mengelakkan isu maksiat, zina dan sumbang mahram. Menjaga adab pergaulan dalam kalangan anak-anak dan membatasi aktiviti sosial dalam kalangan anak perempuan adalah amat dititikberatkan demi menjada maruah dan keselamatan anak-anak perempuan kita. Jangan jadi ibarat pepatah Sudah terhantuk ditimpa tangga atau mencegah lebih baik daripada merawat.
Ibubapa mesti ambil berat tentang siapa rakan sebaya anak-anak. Diantara perkara yang mesti dilakukan ialah mengetahui siapa nama, ibubapa mereka, rumah mereka, nombor telefon dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk menimbulkan kemesraan dan kejeleketan hubungan perorangan yang merentasi sempadan hubungan komunikasi antara ibubapa dan rakan-rakan anak sendiri.Apa yang penting, semasa proses sapaan oleh ibubapa terhadap rakan atau sahabat anak-anak itu, ibubapa perlu bersikap rendah hati, bercakap dengan bahasa yang mudah dan nada yang rendah.
Undang-undang Islam telah menunjukkan konsep melindungi dan mencegah anak khususnya anak perempuan daripada gejala negatif ialah apabila seseorang anak perempuan itu keluar daripada rumah, hendaklah bersamanya ditemani seorang muhrim. Ini untuk menggelakkan gejala sosial, kecelaruan ummah dan krisis moral dalam kalangan generasi muda.
Proses mendidik anak agar berjiwa rabbani, celik belajar dan berperibadi mulia memerlukan kemahiran, pengetahuan dan penghayatan keagamaan yang tinggi. Hakikatnya mak ayah adalah role model kepada kalangan anak-anak. Jangan pernah berputus asa. Setiap kesulitan hidup pasti menjemput satu nikmat kejayaan pada masa depan.