Bayangkan dunia ini tanpa kehadiran wanita! Maka hilanglah seri dunia dan kekuatan untuk lelaki. Jangan perkecilkan pengaruh dan peranan wanita dalam kehidupan kita selama ini. Mereka memainkan peranan yang besar dalam rumahtangga iaitu sebagai isteri, ibu, guru, tukang masak, pekerja, sahabat, jiran dan tidak terkecuali sebagai penasihat kewangan keluarga juga.
Selalu kita dengar, wanita digelar sebagai ‘Menteri Kewangan’ keluarga. Jelas gelaran ini satu pengiktirafan dan bukti betapa wanita cukup bijak menyusun perancangan kewangan keluarga! Justeru itu, perancangan kewangan yang betul sepatutnya menjadi perkara penting dalam senarai keutamaan komitmen wanita. Sikap ini sebenarnya menunjukkan wanita cukup mengambil berat dalam perancangan kewangan yang kukuh demi masa hadapan keluarga.
Sebagaimana gahnya KLCC setinggi 88 tingkat dibina atas asas tanah yang kuat, begitu jugalah dengan perancangan kewangan kita. Semua maklum bahawa perancangan kewangan melibatkan satu proses yang panjang dan bersistematik. Sememangnya perancangan yang kukuh diperlukan untuk mengurus kewangan secara menyeluruh.
Tidak dinafikan adakalanya wanita dilihat suka berbelanja, namun anda masih boleh mencapai apa sahaja matlamat atau impian sekiranya status kewangan dianalisis dengan baik dan seawal mungkin.
Sebagai permulaan untuk satu perancangan kewangan yang tersusun, segala data akan dianalisis. Proses ini sangat penting untuk mengenal pasti apa yang utama dan sebaliknya.
Sebenarnya analisis ini mampu membantu anda mengelak masalah kewangan yang boleh berlaku di setiap fasa kehidupan. Cabaran di setiap fasa kehidupan kita berbeza-beza, tidak mengenal sama ada kita bujang, telah berkahwin, berkeluarga, tua, muda atau apa sahaja status kita dalam masyarakat.
Elakkan apabila tersepit baharu nak bertindak. Oleh itu, pemantauan secara berterusan adalah sangat penting untuk mencapai matlamat kewangan secara lebih efektif.
Disamping itu, perancangan kewangan boleh dilakukan secara bebas mahupun dengan bantuan perancang kewangan yang bertauliah.
Tetapi perlu diingat ya, perancangan kewangan adalah satu proses jangka masa panjang, ia bukanlah satu produk!
Adakalanya kita dalam dilema sama ada ingin memilih perancangan kewangan konvensional atau Islam. Namun jika kita bercakap dari segi objektif, kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk membantu masyarakat mengumpul, melindungi dan mengagihkan kekayaan mereka.
Seperkara yang jelas, perancangan kewangan Islam adalah patuh Syariah; elemen yang sangat penting bagi kita sebagai orang Islam. Selain itu, perancangan kewangan Islam juga perlu selaras dengan prinsip Syariah iaitu tiada unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan maysir (perjudian).
Terdapat beberapa komponen penting dalam perancangan kewangan Islam antaranya pengurusan kredit dan aliran tunai, pengurusan risiko dan perancangan Takaful, perancangan pelaburan Islam, zakat dan cukai, persaraan serta harta pusaka dan wakaf.
Tidak perlu lagi ragu-ragu, buat para wanita yang ingin merancang masa depan berlandaskan nilai-nilai Islam, inilah jalan terbaik untuk anda.
Sebenarnya dengan memilih perancangan kewangan Islam, ia bukanlah semata-mata untuk mendidik kita menjadi kaya. Berbanding perancangan kewangan konvensional, perancangan kewangan Islam sangat menitikberatkan keseimbangan antara dunia dan akhirat.
Kita mengambil kira perkara seperti ibadah, sedekah, wakaf , menginfakkan (memanfaatkan) harta dan melaksanakan rukun-rukun Islam (seperti menunaikan haji dan membayar zakat) dalam perancangan kewangan Islam.
Persoalan ini mungkin benar untuk sebahagian wanita berikutan isu perancangan kewangan agak jarang diketengahkan. Soal gaji kecil, komitmen terhadap keluarga, masalah rumahtangga dan pengurusan kewangan lemah seharusnya tidak menghalang kita memahami kepentingan perancangan kewangan. Ia amat penting agar kita bersedia hadapi cabaran kewangan pada hari ini.
Terdapat beberapa faktor mengapa masih ada wanita sukar merancang kewangan mereka. Antaranya ialah wanita lebih cenderung untuk berhenti kerja atau bekerja sambilan demi menjaga anak.
Selain itu kebanyakan wanita bergantung kepada wang pemberian suami untuk simpanan akaun peribadi mahupun akaun persaraan.
Bukan itu sahaja, purata pendapatan atau gaji wanita biasanya lebih rendah dari lelaki. Kewangan dan pelaburan sering dilihat ‘sinonim’ untuk lelaki dan kurangnya pengetahuan dan kesedaran tentang isu kewangan.
Perkara ini sangat membimbangkan kerana kita sering rasa kita sudah cukup bersedia untuk masa depan tetapi bencana mahupun kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa, malah sekecil-kecil bencana pun boleh menjejaskan situasi kewangan kita. Pada waktu itu sudah tentu kita tidak mahu sentuh wang persaraan!
Berdasarkan kajian*, wanita lebih cenderung untuk hidup lebih lama berbanding lelaki. Maka wanita perlu memastikan mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup sekiranya sesuatu terjadi kepada pasangan.
Tambahan pula, statistik* menunjukkan bahawa purata pendapatan atau gaji wanita biasanya lebih rendah dari lelaki. Sama ada bujang mahupun sudah berumah tangga, kebebasan kewangan merupakan perkara paling penting kerana ia mampu mempersiapkan wanita untuk masa hadapan yang belum pasti.
Oleh yang demikian, penting bagi semua orang untuk merancang kewangan masing-masing, terutamanya wanita.
Apa juga yang perlukan komitmen kewangan, sebaiknya kita fikir untuk jangka panjang. Perancangan kewangan mengajar kita untuk selalu beringat tentang kemampuan kewangan. Jika dahulu boros berbelanja, namun kini kita akan kaji terlebih dahulu perbelanjaan dan simpanan.
Percayalah dengan adanya perancangan kewangan yang baik, ia dapat membantu kita mencapai financial freedom apatah lagi jika ia tercapai di usia muda. Siapa yang tak suka kan?
Semestinya ia memerlukan disiplin dan usaha yang berterusan. Pilihlah perancangan kewangan Islam agar kita mendapat keberkatan harta walaupun sedikit, tapi besar impaknya dalam kehidupan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kenangainvestors.com.my
________________________________________________________________________
*Penafian:
Artikel ini disiarkan bertujuan untuk mendidik dan memberikan kesedaran dan tidak harus ditafsirkan sebagai tawaran atau memujuk untuk menerima tawaran atau melanggan produk Kenanga Investors Berhad (“KIB”). Tiada wakil atau jaminan dari KIB, atau sebarang penerimaan tanggungjawab atau liabiliti untuk ketepatan, kesempurnaan atau kebenaran ke atas maklumat yang terkandung.
*Kredit Sumber: