Ibu lima orang anak, Sabariyah Abdullah, 38 bimbang mengenangkan kesihatan anak-anak lelakinya. Penyakit berkaitan saraf menyerang kesemua anak-anak lelakinya. Yang sulung, Muhammad Zulhelmi telah dipanggil Ilahi akibat penyakit berkaitan saraf yang menyerangnya pada umur 9 tahun.
Anak keduanya, Muhammad Amar, 15 sedang menderita penyakit yang sama. Juga mengalaminya ketika usia 9 tahun. Dan anak lelaki terakhirnya, Muhammad Nasharudin, 11 menunjukkan simptom yang sama ketika usia 9 tahun.
Sabariyah (Bariyah) pasrah menerima ketentuan yang anak keduanya itu takkan mampu membesar sebagai seorang remaja yang aktif.
“Amar dilahirkan sihat dan normal. Sampailah usianya 9 tahun. Waktu itu, dia masih bersekolah. Tak lama, dia mula jalan berjengket-jengket. Bentuk badannya juga alami perubahan.
“Tubuhnya semakin susut dan mengecil. Lama kelamaan, Amar tak boleh bergerak. Dia cuma berbaring. Boleh duduk tapi dengan bantuan orang lain dan perlu ditahan belakang badannya
.”Dalam keadaan yang tidak mampu bergerak, Amar masih mampu menulis dan bermain game di telefon. Kadangkala dia ambil buku adiknya, kalau tiba-tiba dia teringin nak menulis.
Amar pernah juga dibawa ke rawatan tradisional. Penyakitnya masih belum sembuh juga. Ibu ini bersyukur kerana setakat ini Amar jarang demam, batuk mahupun selesema.
“InsyaAllah tak sukar menjaganya. Tapi saya perlu uruskan dia memandang dia pun tak mampu nak uruskan diri sendiri. Makan, alhamdullah tiada masalah. Dia boleh makan tiga ke empat kali sehari.
“Tapi banyak manapun dia makan, badannya tetap rupa itu. Tak gemuk.. makin mengecil. Pernah saya belikan dia susu khas nak bagi berat badannya bertambah. Tak juga berjaya.” Bariyah memulakan bicaranya dengan tenang.
“Anak saya 5 orang. Yang sulung meninggal disebabkan penyakit yang sama macam adiknya, Amar. Keadaan Amar ini memang sama keadaannya macam arwah anak sulung saya.
“Dulu waktu rawat anak yang sulung di hospital, ramai pakar dah kami temui. Tapi penyakitnya tak dapat dikesan. Kata doktor ia ada kaitan dengan saraf
.“Kes anak sulung saya itu kalau ikutkan nak dibawa lanjut ke hospital di Pulau Pinang. Tapi fikirkan risiko yang mungkin jadi, saya dan suami menolak.
Kemungkinan itu adalah jangkitan yang mungkin akan anaknya alami. Sedangkan ketika itu, arwah anaknya dalam keadaan yang stabil.
Jadi setiap bulan, ibu dan ayah ini membawa si sulung jalani fisioterapi. Sayangnya tiada juga perubahan. Mereka juga perlu berulang dari rumah ke hospital.
Setiap kali rawatan, suami terpaksa mengambil cuti bekerja. Akhirnya tertekan dengan kesukaran itu, rawatan fisioterapi untuk arwah anak sulungnya terpaksa dihentikan.
“Ketika itu arwah sihat, tiada sebarang penyakit serius yang dihadapinya. Arwah meninggal akibat penyakit asma. Kalau nak diikutkan, penyakit asmanya tidak begitu teruk. Kata orang, mungkin nak dijadikan sebab saja.”
Akui Bariyah sambil memaklumkan penyakit berkaitan sarah ini cuma menyerang anak-anak lelakinya saja. Anak perempuannya, Nur Afifah, 11, dan Robiatul Adawiyah, 6, tiada sebarang masalah dan sihat.
Arwah anak sulungnya meninggal semasa usia 15 tahun. Bariyah risau sekiranya Amar mengalami nasib yang sama dengan arwah abangnya. Memandangkan usia Amar kini mencecah 15 tahun.
“Sebab itu saya dan suami sentiasa berdoa yang terbaik untuk Amar. Setakat ini kesihatannya baik. Apa pun hanya Allah yang menentukan segala-galanya.
“Saya juga risau dengan keadaan seorang lagi anak lelaki saya, Muhammad Nasharudin, 11, yang mula menunjukkan simptom yang sama.
“Dia mula berjalan berjengket-jengket dan tidak boleh berlari. Nak bawa beg sekolah pun perlu saya bantu.”
Ketika ini suami Bariyah, Mohd Yusuf, bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah rendah dan mereka sekeluarga tinggal di rumah ibu bapa mereka.
Anda yang mahu menghulurkan sumbangan, boleh langsung menghubungi Puan Sabariyah di talian : 011 2413 5718
Foto: Nurul Niza Suhaimi