Penularan Jangkitan Kluster Pasar Borong, KKM Mulakan Saringan, PKP Mungkin Dilaksana

Share

Dikatakan berlaku penularan jangkitan kluster pasar borong telah membabitkan tiga basar iaitu di Pasar Awam Bahau, Negeri Sembilan dan Taman Megah, Petaling Jaya dikesan mempunyai kaitan dengan kluster jangkitan di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Oleh itu KKM mengambil keputusan memulakan saringan kepada peniaga dan kontak rapat di pasar-pasar berkenaan. Manakala Menteri Kanan Keselamatan semalam juga turut akan membawa perkara ini ke Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Jangkitan Kluster Pasar Borong Menular

Kes positif koronavirus (Covid-19) membabitkan peniaga di Pasar Awam Bahau, Negeri Sembilan dan Taman Megah, Petaling Jaya dikesan mempunyai kaitan dengan kluster jangkitan di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memulakan saringan terhadap peniaga di kedua-dua pasar berkenaan termasuk kontak rapat.

Kita dapati peniaga ini dari pasar borong Kuala Lumpur dan kembali ke Bahau dan jalani perniagaan di situ. Kita anggap ia kluster pasar borong.

“Kita akan uji 60 peniaga ini dan saringan sudah pun bermula. Kita harap dapat kawal jangkitan dan kurangkan jangkitannya,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurut laporan Sinar Harian, Pasar Awam Bahau ditutup selama 14 hari bermula 27 April sehingga 10 Mei depan untuk kerja-kerja pembersihan selepas salah seorang peniaga di situ disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, peniaga berusia 44 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada Jumaat lalu merupakan kluster dari Pasar Borong Selayang, Selangor.

Baca ini:

Covid-19 Tak Kenal Dari Kayangan Atau Bumi, Kaya Raya Tak Terkecuali

Waktu PKP, Kluster-kluster Macam Ni Lah Buat Mak Jadi Hijau

Hikmah PKP, Mak, Ayah Banyak Masa Latih Anak Hadapi Ramadan

Kluster Pasar Borong Di Bawa Ke Mesyuarat

Kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di tiga pasar berbeza di negara ini disebabkan pengambilan bekalan barangan di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dijangka akan dibawa ke Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah memaklumkan tentang kes itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM pun sebenarnya tahu perkara ini dan saya percaya mungkin esok (HARI INI) KKM akan rujuk perkara ini dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan PKP,” katanya pada sidang media harian PKP di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan peniaga di tiga pasar berbeza termasuk Pasar Awam Bahau di Negeri Sembilan dan pasar pagi Taman Megah, Petaling Jaya dijangkiti Covid-19 kerana dipercayai mengambil bekalan di Pasar Borong Kuala Lumpur yang menjadi kluster jangkitan.

Bekalan Barangan Keperluan Mencukupi

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pemantauan yang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam mendapati bekalan barangan keperluan secara keseluruhannya mencukupi, mudah diperoleh dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian sepanjang bulan Ramadan kerana ianya dijamin mencukupi.

“Pemantauan harian itu dilakukan KPDNHEP ke atas 25 jenis bekalan di 1,015 premis perniagaan termasuk 812 peruncit, (168) pemborong dan (35) pengilang,” katanya.

Katanya, sehingga semalam juga, KPDNHEP menerima sejumlah 14,783 aduan dan pertanyaan melalui empat saluran utama iaitu aplikasi WhatsApp (6,229), Sistem E-Aduan (5,155) talian Hotline (2,453) dan talian melalui Enforcement Command Centre (ECC) (946).

Tambah beliau, sebanyak 2,291 aduan harga dan bekalan telah direkodkan untuk tindakan bahagian penguat kuasa melalui sistem E-Aduan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,845 aduan harga dan bekalan telah selesai dan 446 aduan masih dalam siasatan.

Sumber/ Foto : Sinar Harian

MW: Teruskan mematuhi arahan dan duduk diam di rumah, apa yang terjadi ini memberi impak kepada semua pihak. Satu-satunya perkara yang menyelamatkan kita adalah untuk terus duduk di rumah. 

Published by
Syazwani Mehat