Kalau mahu ke tandas buang air, sudah pasti perlu bayar paling kurang 30 sen. Di Malaysia, bayaran 30 sen itu kira murah kalau hendak dibandingkan dengan sesetengah tandas awam di luar Negara.
Tidak ada istilah percuma sekarang ini. Segala-galanya perlu dibayar. Takkan mahu buang air di merata tempat. Anggap sahajalah duit itu digunakan untuk membayar air yang kita gunakan untuk mencuci bahagian ‘yang tersorok’ itu.
Siapa yang pernah pergi ke luar Negara sudah pasti betapa mahalnya untuk membayar harga air yang kita buang itu. Saya pernah bayar 1 Euro hanya untuk membuang air kecil. Kalau ditukarkan nilai 1 Euro itu kepada RM, sudah pasti ada yang sanggup menahan kencing!
Kena Beli Kopi
Di luar Negara, saya hanya dapat buang air secara percuma di kafe hanya setelah saya membeli kopi di sana. Pelanggan yang makan atau minum di kafe itu diberikan tiket yang boleh digunakan untuk masuk ke tandas. Tidak ada tiket tidak boleh masuk.
Pada mulanya kami tidak tahu kalau minum di situ dapat tiket masuk tandas secara percuma. Apabila pelayan memberinya, kami terima dengan hati terbuka. Berbarislah kami ke tandas.
Rupanya…
Sebelum masuk ke tandas, kami perlu ‘swipe’ tiket itu pada mesin yang disediakan di ‘gate’ yang terletak di hadapan tandas terlebih dahulu. Wah! Kagum seketika.
Cerita pasal tandas moden ini, hari itu saya ada terlihat di Facebook ada kisah viral seorang lelaki hendak buang air di Jepun kena guna kod untuk masuk tandas. Saya dan rakan saya Khairun Nisa pernah juga mengalaminya. Tetapi kami merasanya di Starbucks Korea Selatan.
Selepas beli air, kami diberi tiket yang mempunyai kod untuk masuk ke tandas. Terkial-kial juga pada mulanya. Nasib baik boleh saya boleh tahan kencing. Kalau tidak tak tahulah apa jadi.
Itu di luar Negara. Bagaimana di Negara kesayangan kita pula?
Di Malaysia, jika mahu menggunakan tandas percuma hanya di sesetengah pusat membeli-belah, hotel, stesen pengangkutan awam seperti LRT dan MRT. Tetapi kalau hendak menggunakan tandas di KTM, perlu pula membayar 30 sen. Itu yang hairannya. Sudahlah perlu bayar tiket yang mahal, perlu pula bayar lagi wang untuk membuang air.
Nasib baik tidak perlu bayar duit untuk membuang air di stesen minyak mahupun di tandas yang disediakan di Kawasan R&R di Lebuhraya.
Bercerita mengenai bayaran masuk ke tandas ini, saya masih teringat lagi ketika mengikuti rombongan media di Sabah.
Saya tidak sangka ada sesetengah kawasan di negeri tersebut mempunyai masalah kekurangan air. Bayangkan sahaja, kami dalam bas ini sudah tidak tahan untuk membuang air. Pemandu bas telah berhenti di sebuah pasar besar yang agak terkenal di situ.
Bergegas kami turun mencari tandas awam di situ. Sebaik sampai, kami perlu bayar 50 sen untuk membuang air. Saya tidak kisah untuk membayar 50 sen. Tetapi apa yang buat saya rasa kecewa adalah saya hanya bayar untuk buang air sahaja.
Sebabnya di dalam tandas itu tidak ada air. Kalau ada pun air yang keluar daripada paip di sinki itu boleh di ibaratkan air kencing lagi laju. Bayangkan air yang keluar hanya titisan kecil sahaja.
Saya ambil keputusan membuang air menggunakan air mineral yang kebetulan ada dibawa dalam beg. Rasa sayang hendak guna tetapi jika sudah tidak ada pilihan, apa boleh buat.
Sudahlah tidak ada air, keadaan dalam tandas itu kalau yang jenis tidak tahan sudah pasti akan termuntah berada di sana. Kebanyakan kami hanya pejam mata dan tahan nafas. Buang air dengan segera dan terus keluar.
Mungkin selepas ini saya tidak akan berhenti membuang air di pasar itu. Harap-harap saya tidak perlu lagi pergi ke sana.
Saya juga pernah menggunakan tandas di sebuah kawasan pantai awam di negeri Perak. Di sini saya hairan kenapalah tandas awam yang dibuat agak kecil. Di situlah hendak membuang air dan di situlah tempat mandi. Tandas pun bukannya bersih sangat.
Kalau itu tandas percuma , saya tidak akan berasa hairan jika ia penuh dan sesak dengan pengunjung. Tetapi untuk masuk perlu bayar. Bukan murah. Kalau buang air harga lain. Mandi harga lain.
Jika ikut hati sudah pasti ramai yang tidak mahu masuk ke dalam tandas itu. Tetapi di mana mahu menukar baju yang basah? Di mana mahu mandi? Dan takkan hendak buang air di dalam laut.
Sebenarnya banyak lagi cerita tandas yang boleh saya cerita. Tetapi cukuplah beberapa contoh yang diberikan itu sahaja.
Di harapkan ada perubahan selepas ini. Bagaimana kita hendak menarik pelancong dalam mahu pun luar datang berkunjung jika kemudahan awam seperti tandas tidak dijaga dengan baik.
Buatlah seperti negera jiran yang maju itu. Mereka ada Persatuan Tandas yang ditubuhkan bagi memberi kesedaran betapa pentingnya penjagaan kebersihan tandas awam.
Sebelum mengakhiri ‘bebel’ saya ini, saya hendak bertanya pada semua. Tahukan anda semua bilakah Hari Tandas Sedunia?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI