Bila tengok design rumah moden, hati mula terjentik-jentik mahu membeli. Laju saja suri membayangkan mahu hias dalaman kediaman ikut konsep idaman. Seronoklah hati bila rumah yang diinginkan sudah ada di tangan.
Sayangnya baru beberapa bulan duduk anda mula menanggung kos-kos yang tidak perlu. Seperti bil elektrik yang tinggi akibat penggunaan aircond. Sebabnya rumah idaman anda bersifat sauna. Walau pasang kipas, bahangnya tak mahu juga hilang.
Baca perkongsian Penulis Buku Hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad(PhD) merangkap Pensyarah Kanan di Jabatan Seni Bina Dalaman, Fakulti Senibina, Perancangan Dan Ukur, UiTM Perak
Pemaju banyak buat rumah rekabentuk baru hari ini. Rekabentuk baru ini menjadi kegilaan pembeli.
Bila bumbung direkabentuk pendek begini sebenarnya ia tidak menjadi pelindung cuaca yang baik buat rumah kita.
Fungsi bumbung selain beri ‘rasa’ cantik, ia sebagai pelindung matahari yang terik, hujan yang lebat, silau dan kesan tempias angin yang kuat.
Bila bumbung rumah pendek, cahaya matahari terus ke dinding rumah. Dinding akan menjadi seperti ‘span’ cuci, semua haba panas akan diserap dan disimpan rapi.
Bila malam hari, dinding ini akan lepaskan haba yang disimpan siang tadi. Rumah yang kita duduk akan rasa macam dikukus dalam ‘steamboat’ nanti.
Kita akan pasang penghawa dingin sepanjang masa, walau hujan haba panas tetap ada. Kos bil elektrik setahun buat hati kita cepat terluka.
Bumbung pendek ini juga bila hujan lebat akan masukkan air ke dalam bumbung atau siling rumah kita, lebih malang ada kala air masuk terus ke dalam rumah. Lepas hujan boleh bela ikan dalam rumah.
Pemaju jana keuntungan dari ‘design modern’ ini, mereka jimat kos bahan binaan sebab kepingan genting sikit digunakan. Bukaan binaan rumah hanya 25′ x 40′.
Bagaimana kita tahu bahawa ‘design hebat’ ini gagal? Bila banyak rumah lepas itu buat bumbung tambahan dan pasang aircond sepanjang malam.
Elakkan beli kediaman modern, canggih dan berwawasan ini. Selain ia semakin kecil rekabentuk begini akan rugikan pembeli nanti.
Rekabentuk baik tidak semestinya cantik, ia berfungsi dengan baik.
Saya sertakan beberapa gambar dan model rumah yang saya jumpa disini. Moga jelas dan makin faham.
Sumber/Foto: Azizul Azli Ahmad via Mingguan Wanita