Pengsan atau juga dikenali sebagai syncope berlaku apabila otak mengalami penurunan bekalan darah secara tiba-tiba ekoran tekanan darah atau degupan jantung merudum.
Seseseorang yang pengsan kemungkinan petanda dia menghidap penyakit serius seperti sakit dada, dispnea atau sukar bernafas, masalah jantung seperti palpitasi dan sakit kepala yang teruk.
Selain itu, mereka juga mungkin menderitai disartria (pertuturan yang kurang jelas), diplopia (penglihatan berganda), ataksia (hilang kawalan pada koordinasi tubuh) dan fokal neurologik (gejala kerosakan pada saraf tunjang atau fungsi otak yang menjejaskan sesetengah bahagian tubuh).
Menurut Dr Sathindren Santhirathelagan, Pakar Neurologi, dari Hospital Gleneagles Penang, pengsan atau syncope merujuk kepada keadaan di mana seseorang yang sebelum itu dalam keadaan normal secara tiba-tiba tidak sedar dan rebah.
Secara takrifan ia tidak diiringi dengan apa-apa gejala atau amaran dan berlaku secara mendadak. Ia adalah susulan kepada kekurangan darah dan oksigen yang sampai ke otak dan hasilnya otak gagal mengekalkan tahap kesedaran seseorang.
Kebiasaannya ia berlaku akibat tekanan darah yang menurun secara tiba-tiba. Ini boleh disebabkan oleh kurang kandungan sel merah darah (anemia) atau kurang air dalam darah seperti ternyahidrat (dehydration) seperti sekiranya cirit-birit, muntah atau berpeluh keterlaluan. Ada juga hubungan keadaan ini dengan kandungan garam (Sodium) yang terlalu kurang dalam badan.
Biasanya ia juga berikutan berdiri atau duduk untuk jangka panjang dalam posisi sama yang mengakibatkan darah bertakung di bahagian kaki justeru tiada darah yang cukup dalam jantung untuk dikitarkan ke otak lantas otak tidak dapat berfungsi dan sebagai tindakbalas pesakit hilang kesedaran dan rebah.
Sebaik saja rebah, darah dari kaki lebih mudah kembali ke jantung dan paru-paru. Berikutan itu darah beroksigen baru akan sampai ke otak dan pesakit akan sedar semula dengan kadar segera.
Kadang-kadang tekanan stress juga biasa memicu kepada gangguan ini seperti kalau perut kosong atau keadaan takut atau geli yang amat sangat seperti melihat keadaaan ngeri seperti kemalangan, penyembelihan haiwan atau melihat darah.
Biasanya tiada tanda sebelumnya. Walau bagaimanapun ada kalanya pesakit boleh merasa ganjil, seperti nak pitam atau terasa gelap-gelita dalam beberap detik sebelumnya.
Tiada gerakan sawan tetapi kadang-kadang beberapa pergerakan anggota yang mengejut (jerking) boleh dilihat untuk beberapa ketika.
Jarang sekali, pesakit dilihat terkencing atau terbuang air besar tanpa disedari tetapi gejala ini lebih menjurus kepada sawan (Epilepsy) dan bukan syncope (pengsan biasa).
Boleh Dicegah
Menurut Dr Sathindren Santhirathelagan, keadaan pengsan secara tiba-tiba boleh dicegah dengan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mereka yang cenderung terkena gangguan ini.