Kalau ikutkan pengorbanan mak, tak seorang anak pun mampu membalas 100% apa yang dia pernah terima daripada wanita bergelar ibu. Yang sanggup berjaga malam demi anak, rela tahan lapar demi kenyangkan perut anak dulu, gadai harta demi sekolahkan anak, malah sanggup buat apa sahaja demi melihat anak senang. Untuk ingatkan anda pada pengorbanan mak, baca perkongsian daripada saudara Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad ini…
“Dulu dulu adik selalu tanya mana Abah, mana Abah”. Mak tak tahu nak buat apa, adik selalu tanya, Mak pun gantung gambar Abah dihujung kepala adik masa nak tidur, tapi adik kata “tak mau yang tu, mau yang ada kaki, ada tangan, boleh berjalan mai kat adik, boleh dukung adik, boleh peluk adik”.
ALLAHUAKBAR! Baru semalam Mak cerita kisah berpuluh puluh tahun dahulu, ketika Mak membesarkan aku keseorangan setelah suaminya meninggalkan dunia ini ketika baru 15 hari melahirkan aku kedunia ini.
Sungguh! Rupa paras dan tubuh badan ku tidak pernah dilihat dan disentuh oleh seorang lelaki yang dipanggil Abah, Mak melahirkan aku tanpa suaminya disisi kerana berkhidmat di Sarawak pada ketika itu.
Abah meninggal dunia di Serian Camp, Sarawak, hanya jasadnya dibawa pulang ke Kodiang Lama, Kedah, kampung halaman kelahirannya. Bermula dari saat itu lah Mak berkorban segalanya membesarkan kami 4 adik beradik.
ALLAHUAKBAR! Pengorbanan Mak yang diketika itu baru mencecah 30 an usianya adalah sesuatu yang sangat menakjubkan bagi aku dan adik beradik yang lain, Mak kerja apa saja termasuk menyemat atap daun nipah yang dijadikan bumbung rumah pada ketika itu di kampung kampung, upahnya dalam 50 sen sekeping atap, sehinggalah akhirnya Mak kerja kilang MMI dan membesarkan kami semua dengan sempurna.
Sebagai anak bongsu yang dipanggil adik, memang sungguh sangat sangat aku ini menjadi anak Mak, itulah Mak dan itulah Abah. Aku hanya dikenalkan kepada Abah dengan beberapa keping gambar yang ada, namun sebenarnya aku tidak pernah merindui seorang Abah kerana ya lah, langsung tidak pernah disentuh, apatah lagi dibelai, didukung, dipeluk dan dimanjakan. Sehinggalah semalam Mak menceritakan saat saat aku membesar dan sering mencari cari Abah.
ALLAHUAKBAR! Tak dapat aku bayangkan bagaimana kekuatan hati Mak ketika menjawab dan menggantungkan gambar Abah dihujung kepala ketika aku nak tidur itu. Kata Mak, Abah selalu kesana sini sebagai tentera dan biasa sangat kena tinggal, hanya satu saat saja Mak pasti mengalirkan air mata iaitu ketika kali pertama bergema takbir raya disetiap kali hari raya.
Selain dari tu, Mak gagah dan tunjuk gagah kepada kami adik beradik. Aku pernah diminta seseorang untuk diambil sebagai anak angkat tetapi dengan tegas dan semangat padu Mak menyatakan selama ia bernyawa dia akan pastikan dia melaksanakan amanah dari suami tercintanya.
Tulisan Abah meminta Mak jaga anak anak baik baik selamanya, aku baca didalam surat bertulis tangan itu Abah melahirkan rasa rindunya kepada Mak dan anak anak khasnya aku yang belum ditatap dan disentuhnya.
Surat itu bertarikh 24-Sep sehari sebelum Abah meninggal pada 25-Sep, kata Mak, Abah juga mengirimkan lagu di radio dan ianya disiarkan setelah Abah meninggal dunia, bayangkan ketika masih didalam pantang itu, Mak dengar radio kiriman lagu dari suami yang telah tiada.
Sungguh kuat dan tabah Mak aku ini! Ramai yang menggilai Mak, bukan calang calang yang cuba hampirinya, namun Mak nyatakan “Abah hampa tak ada ganti selamanya”, lagi pun sangat dibimbangi anak anaknya tidak diterima baik oleh ‘Pak Tiri’.
Mak sekarang dah nampak banyak uzur, mata dan pendengaran sedikit bermasalah, badan pun sedikit mengecil, kerdutan kulitnya jelas dilihat, namun masih tetap menggagah menyantuni anak menantu dan cucu cicitnya, sentiasa akan berusaha menyediakan makan minum untuk anak menantu, cucu dan cicitnya. Sentuhan dapur Mak memang tiada tandingannya, setiap kali balik kerumah Mak mesti akan masak makanan kegemaranku dan anak anak yang lainnya. Tidak lepas juga Mak akan menarik ku kedalam pelukannya dan mengucup dahi dan pipi ku dengan katanya “anak Mak dah besaq tua ni” sambil melirik senyum manisnya ketika aku bersalam untuk balik ke Kuala Lumpur.
Teringat ketika aku selesai aqad nikah, kata Mak “dah ada Pak Mentua, buatlah macam Abah sendiri, dulu kan tak dak Abah”. Mak juga sangat menyayangi isteriku Sharifah Mazrah menantu bongsunya, setiap kali bersalin Mak lah yang bertungkus lumus memasak makanan berpantang, membawanya ketingkat atas, memandikan cucu cucunya walaupun dengan kudratnya yang semakin terhakis setelah tenaganya diperah untuk membesarkan anak anak.
ALLAHUAKBAR! Beberapa minggu kebelakangan ini aku banyak menemui Pakcik Pakcik tua yang masih terpaksa bekerja, didalam FB aku menaikkan cerita seorang Pakcik tua berumur 82 tahun beranak 11 yang masih memandu teksi mencari duit belanja untuk menyara anak bongsunya yang terlantar di pembaringan sejak beberapa tahun yang lalu, aku juga menemui seorang Pakcik berusia melebihi 90 tahun yang dijaga oleh anak perempuan dan menantu, 3 anak lelakinya ada yang dah 10 tahun langsung tidak pernah menjenguknya sehinggakan ketika aku menziarahinya dia genggam erat tanganku tak dilepasnya ketika aku nak pulang, juga tiba tiba katanya ” …… ada ke tu” katanya dengar macam bunyi suara anak nya, mata Pakcik tu dah tak dapat melihat lagi.
Mak kata “baguslah walaupun tak boleh buat baik pada Abah sendiri, buat baik dan bantulah Abah Abah orang pun, nanti dapat pahala kat Abah kita juga”. Sungguh! Dalam hidup ku ini, aku sangat menyantuni bapa bapa saudara ku dari kedua belah pihak Mak dan Abah, dalam masa yang sama aku ada lelaki lelaki yang seolah Abah bagiku disudut hubungan kasih sayang yang terjalin, mereka banyak menasihati ku, membantu dan menjiwai ku. Aku ada Paksu Ali@ Haji Ali Bin Bakar, Pakcik Mat@Mohamad Bin Mahmud, Tuan Haji Hussain Bin Saat dan aku ada Paksu Duan@Haji Ridwan Bin Mat Som, mereka ini sentiasa bersama ku ketika susah dan senang, sekarang yang tinggal hanyalah Tuan Haji Hussain Bin Saat. Semoga ALLAH sentiasa merahmati mereka hendaknya.
ALLAHUAKBAR! Sungguh! Air mata ku laju membasahi baju ketika menulis ini kerana terbayang keadaan Mak ketika aku mencari Abah dan terbayangkan Ayah Ayah tua yang masih terpaksa mencari sesuap nasi walaupun beranak 11 dan bermacam macam lagi. Air mata ku juga semakin laju kerana ketika menulis ini, anak ku Syed Muhammad Abu Bakr Zuhdi sedang lena diribaan ku, sesuatu yang tidak pernah ku rasakan dari Abah ku.
Ya ALLAH, Kau rahmatilah Mak Abah aku dan semua Ibu Bapa didunia ini. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kami masih kecil, kurniakanlah kebaikan dunia dan akhirat untuk mereka. Bagi yang mempunyai Ibu Ayah, janganlah sesekali mengabaikan mereka, tumpahkanlah sepenuh kasih sayang kepada mereka. Seandainya mereka telah meninggalkan dunia ini, jadilah kalian semua anak anak yang soleh yang sentiasa mendoa’kan mereka.
Ingatlah, siapa kita tanpa Ibu dan Ayah. Jangan lah kita abaikan peringatan dari ALLAH – Dan Tuhan mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik pada kedua Ibu Bapa kamu dengan sebaik baiknya,jika salah seorang diantara keduanya atau kedua duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya “ah”, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia,dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh rasa sayang dan ucapkanlah “Wahai Tuhanku kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidikku di waktu aku masih kecil” Al-Isra’ 23-24.