Pengorbanan Terakhir Mak, Disahkan Mati Otak Selamat Lahirkan Anak

Share

Pengorbanan seorang ibu itu tidak ternilai, biarlah nyawa dipertaruhkan dan sanggup bertahan demi anak kesayangan. Selain kecanggihan teknologi perubatan yang digunakan dan kuasa tuhan, sebenarnya ‘semangat juang’ seorang ibu yang telah disahkan mati otak selama empat bulan, yang mampu beri kehidupan dan menyelamatkan nyawa bayinya didalam kandungan.

Lahirkan Bayi Menerusi Pembedahan Caesarean

Seorang bayi sihat dan selamat dilahirkan di Prague, Republik Czech oleh wanita yang mati otak selama hampir empat bulan. Proses kelahiran bayi perempuan itu dibuat menerusi prosedur pembedahan caesarean pada usia kehamilan 34 minggu pada bulan lalu, 117 hari selepas ibunya disahkan mati otak.

Ketua pakar bius, Roman Gal di Hospital Universiti di bandar Brno memaklumkan bayi seberat 2.13 kilogram itu adalah salah seorang bayi paling berat dan paling matang dilahirkan wanita yang berada dalam keadaan sedemikian.

Mengalami Pendarahan Kandungan 16 Minggu

Ibu bayi berkenaan disahkan mati otak selepas mengalami pendarahan pada April lalu ketika kandungannya berusia 16 minggu.

Doktor memastikan jantung, paru-paru, buah pinggang dan organ lain wanita itu terus berfungsi sambil memantau janin.

“Jururawat turut ‘berkomunikasi’ dengan fetus tersebut manakala neneknya sering membacakan kisah dongeng. Ahli terapi turut membantu menggerakkan kaki wanita itu untuk simulasi berjalan,” ujar Gal.

Sistem Sokongan Hayat Dimatikan

Difahamkan, sistem sokongan hayat wanita itu dimatikan sejurus anaknya dilahirkan. Bayi tersebut diberi ‘susu ibu’ oleh ibu saudaranya yang juga mempunyai anak.

Pada 2016, seorang bayi lelaki dilahirkan di Portugal oleh ibu yang mengalami keadaan sama.

MW: Kasihnya ibu tiada tandingannya. Sanggup bertahan dan berkorban nyawa demi anak kesayangan kekal hidup.

Sumber: Sinar Harian, Channel news asia

Published by
Suhaidah Abd Wahab