“Saya banyak berlatih sendirian di rumah dan berdisiplin. Saya tidak buka TV dan tidak pegang telefon bimbit ketika berlatih,” katanya pada sidang media virtual mempromosikan drama bersiri Gadis Kretek baru-baru ini.
Dian mengaku bukan mudah memasukkan karakter Dasiyah dalam diri, di mana banyak kesabaran dan persiapan perlu dilakukannya.
“Saya dapat banyak arahan daripada sutradara yang merancang karakter Dasiyah dengan teliti. Karakternya sangat jauh daripada diri saya hingga merasa sangat tercabar.
“Namun, saya cuba tengok bagaimana boleh teroka karakter ini, biarpun bicara, gerak tubuh dan ekspresi Dasiyah sangat berbeza.
“Saya pernah bawa watak patriotik tetapi kali ini karakter dilakonkan sangat berbeza dengan diri saya,” katanya yang mendapat bimbingan daripada pengarah merangkap jurulatih lakonan, Kamila Andini.
Disebabkan watak Dasiyah yang tidak banyak berinteraksi dengan ramai orang, Dian mengaku tertekan menjiwainya.
“Pada mulanya, saya sangat tertekan. Saya belajar bahawa seorang pelakon perlu pasrah, berserah dan ikhlas kerana tugasnya adalah menyerahkan diri kepada karakter. Kalau watak perlukan dia lakukan semua itu, kita harus jalani dengan baik,” katanya.
Drama bersiri Gadis Kretek arahan Kamila dan Ifa Isfansyah diadaptasikan daripada novel tulisan Ratih Kumala terbitan 2012 oleh Gramedia Pustaka Utama. Drama bersiri itu juga mengambil masa empat tahun untuk disiapkan dan mengumpul fakta mengenai industri kretek di Indonesia. Selain itu, secara keseluruhannya, terdapat lebih 100 set di 20 lokasi digunakan untuk penggambaran drama bersiri itu!
Gadis Kretek berkisar percintaan epik berlatarkan industri tembakau pada era 1960-an di Indonesia. Siri TV itu turut menampilkan pelakon Ario Bayu, Arya Saloka, Putri Marino, Tissa Biani, Ine Febriyanti, Winky Wiryawan, Sheila Dara, Ibnu Jamil, Rukman Rosadi, Nungki Kusumastuti, Dimas Aditya, Pritt Timothy dan Tutie Kirana.