Satu penghargaan buat banduan di penjara apabila mendapat tempahan kain tenunan khas daripada Raja Permaisuri Agong sendiri yang berkenan menyarungkan persalinan berkenaan pada hari yang penuh bersejarah nanti.
Kain Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai persalinan baginda pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.
Melibatkan 129 Banduan
Menariknya, kain tenun itu merupakan sentuhan rekaan yang diilhamkan baginda sendiri dan ia bertambah unik dan istimewa kerana tenunan khas tersebut adalah hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang.Kerja tenunan itu melibatkan 73 banduan dari Penjara Penor dan 56 orang dari Penjara Bentong.
Hasil upah menenun kain itu akan diagihkan kepada penghuni penjara berkenaan dan berharap kemahiran menenun akan dapat diperluaskan bagi memelihara warisan dan tradisi Melayu.
Penjara Penor dan Bentong telah dipilih dan diberi penghormatan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sendiri, selaku Penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenun Pahang Diraja Negeri Pahang.
Baginda turut berkongsi beberapa keping gambar hasil tenunan itu di laman Twitter rasmi, @cheminahsayang, malam tadi.
Penghormatan Buat Banduan
“Memang beta mahu penjara yang buat baju untuk beta pakai pada hari pertabalan. Beta sangat bangga untuk memakainya. Ini merupakan satu penghormatan kepada beta dan beta juga ingin memberi penghormatan kepada mereka.”
“Ada juga rekaan tenunan yang memasukkan lambang Negeri Pahang. Dua minggu sekali Beta akan ke Penjara Penor dan Bentong untuk melihat sendiri perkembangan kerja tenunan yang dilakukan,” titah Tunku Azizah.
Warisan Seni Tradisi Pahang
Baginda bertitah Tenun Pahang Diraja merupakan warisan seni tradisi yang dicipta rakyat Pahang sejak 300 tahun lalu.Tunku Azizah yang mengagumi hasil kerja tenunan yang dipersembahkan itu bertitah baginda memperoleh ilham bagi rekaan tenunan itu antaranya daripada alam semula jadi dan keadaan sekeliling seperti biji kopi dan bayang-bayang pagar.
MW: Daulat Tuanku. Ternyata Raja Permaisuri Agong ini sangat berjiwa rakyat, malah sangat menghargai kerja seni yang dihasilkan walaupun hasil tenunan daripada banduan di penjara.
Baca Disini: Raut Wajah Manis, Mesra & Berjiwa Rakyat, Kenali Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah
Sumber: Twitter @cheminahsayang, malaysia.royalfamily
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI