Anggota kumpulan De Fam, Nurshazwani Shamsuddin, 31 atau lebih dikenali dengan nama pentas Cik Manggis, beberapa bulan lalu telah melakukan penghijrahan dan tampil dengan imej bertudung.
Wanita ini akui semakin selesa dengan apa yang dilalui kini. Walaupun tampil berhijab namun dia masih lagi aktif dalam kerjaya seninya seperti biasa, malah dalam masa sama memperoleh banyak peluang untuk mencuba perkara baharu.
Selebriti yang versatile dan berbakat dalam bidang nyanyian, lakonan dan tarian ini turut menyatakan penghijrahan dan imej bertudung tidak menggangu kerjaya seninya.
“Selepas bertudung, kerjaya seni berjalan seperti biasa dan saya tidak melihat perubahan imej itu mengganggu kerjaya seni saya.
“Saya dan De Fam masih lagi dengan aktiviti kami, cuma dari segi persembahan pentas mungkin ia tidak serancak dulu kerana keadaan semasa sekarang di mana kita semua sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Saya sekarang banyak bekerja dari rumah dan terikat dengan pelbagai komitmen bersama beberapa jenama untuk menjayakan kempen mereka di media sosial.
“Alhamdulillah rezeki semakin murah dan ia datang dalam pelbagai cara. Banyak benda dan peluang baharu yang saya dapat, sekali gus memberi pengalaman berbeza dalam kerjaya dan hidup saya sendiri,” ungkapnya seperti mana yang dipetik menerusi SinarPlus.
Tampil dengan imej bertudung wanita ini juga akui bukanlah satu halangan untuk dia bergaya seperti biasa.
“Selain mengenakan tudung, saya tak rasa banyak beza pun dengan penampilan sebelum ini kerana saya sejak dulu memang gemarkan pakaian yang longgar dan besar.
“Jujurnya kebanyakan pakaian dalam almari saya masih lagi boleh dipakai dan sesuai untuk digayakan dengan tudung.
“Jadi tiada rasa kekok atau terlalu mencuba nak menyesuaikan diri dan sebagainya. Semuanya dipermudahkan buat saya,” akuinya.
Manggis juga meneruskan minatnya dalam bidang tarian seperti biasa dan tidak pernah melihat imej terbaharunya itu sebagai satu kekangan.
“Sebelum ini mungkin ada yang fikir dah pakai tudung, tak boleh nak menari lagi. Tapi sebenarnya tiada masalah pun, cuma kenalah pandai sesuaikan diri dengan keadaan.
“Pertama kali berkongsi video menari dengan mengenakan tudung di Instagram, saya fikir ramai yang akan kecam. Tapi sebaliknya berlaku apabila hampir kesemua komen yang diterima adalah positif.
Baca Juga Disini:
Zara Zya Kini Berhijab, “Tak Mahu Hati Berbolak-Balik Dalam Melakukan Tuntutan Wajib Ini”
“Sebenarnya selepas bertudung, saya ada stail penampilan sendiri ketika menari iaitu dengan memakai topi bersama shawl labuh yang dijatuhkan di bahagian depan dan mengenakan pakaian longgar.
“Pendekatan sama saya terapkan kepada pelajar di kelas tarian sebelum ini, kalau kita mengenakan pakaian yang longgar, sebenarnya lebih mudah untuk melakukan gerakan-gerakan cantik dalam tarian dan ramai yang bersetuju dengan saya,” akhiri Manggis.
Sumber: SinarPlus
Sumber Foto: Instagram Cik Manggis
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita