Keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini, ternyata membawa pelbagai cerita tersendiri. Di sebalik kejayaan manis yang diperolehi, pasti ada usaha pahit getir yang perlu dilalui. Kekurangan diri dan masalah kesihatan yang dihadapi bukanlah satu halangan untuk memperolehi keputusan cemerlang dan dianugerahkan pelajar terbaik dalam peperiksaan ini.
Tepukan gemuruh hadirin mengiringi langkah seorang penghidap Skoliosis, Nabila Irdina Mat Yaacob, 18, naik ke pentas utama saat namanya diumumkan sebagai penerima Anugerah Kategori Pelajar Terbaik SPM Berkeperluan Khas sempena keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dengan pencapaian 12A.
Nabila Irdina adalah antara 60 calon cemerlang peperiksaan itu di Selangor tahun lalu dengan pencapaian 9A+ hingga 12A+ yang diraikan pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) di sini, hari ini.
Calon Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang itu berkata, penyakit fizikal kekal yang mula dikesan sejak lima tahun lalu itu menyebabkan tulang belakangnya membengkok yang mengakibatkan dia terpaksa menahan kesakitan apabila duduk dan menulis terlalu lama, selain mudah letih serta sukar bernafas.
“Pernah ketika minggu peperiksaan SPM November lalu, saya tidak dapat menggerakkan tangan kanan kerana banyak membuat latihan dan menulis nota semasa mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.
“Saya terpaksa menggunakan tangan kiri untuk belajar dan sangat sukar kerana bukannya kidal, namun saya bersyukur sahabat di asrama sangat membantu memudahkan urusan saya dengan sama-sama belajar, menyuap makanan, mengikat rambut serta memakaikan tudung.
“Alhamdulillah, apabila pada hari kertas peperiksaan tiba, tangan saya kembali sembuh dan boleh menjawab soalan dengan baik,”
katanya yang bergenang air mata tatkala mengimbau penderitaan itu.Anak ketiga daripada enam beradik itu mengakui tidak menyangka memperoleh keputusan itu memandangkan hanya mencatatkan 8A pada percubaan SPM lalu dan menganggap semuanya rezeki daripada Allah SWT, usaha berterusan dan sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan keluarga.
Beliau berkata, guru SBPI Rawang yang mempraktikkan budaya kekeluargaan turut memberi sumbangan besar terhadap pencapaiannya itu kerana sanggup meluangkan masa sehingga tengah malam bagi membantu pelajar mengulang kaji di asrama, memberikan kata-kata harapan setiap hari dan sering bertanya khabar di dalam kelas.
Diminta berkongsi tip kejayaan kepada pelajar lain, Nabila Irdina berkata, setiap orang boleh berjaya asalkan gigih berusaha dan memiliki semangat tinggi.
“Allah jadikan setiap manusia memiliki kelebihan masing-masing, jadi berusahalah sebaik mungkin, jangan jadikan kekurangan diri, contohnya masalah kesihatan sebagai alasan untuk tidak berjaya.
“Belajar menggunakan jadual tersusun, miliki azam, buat baik kepada ibu bapa dan orang keliling, hormat guru, jaga hubungan sesama manusia, lakukan amalan agama serta berdoa, kita pasti berjaya,” kata pelajar aliran Sains Tulen itu.
Baca Lagi Di Sini:
Anak Kembar Dapat Result Cemerlang SPM, Azhar Sulaiman Ucap Terima Kasih Pada Isteri
MW: Tahniah buat adik Nabila Irdina Mat Yaacob, ternyata walaupun mempunyai masalah kesihatan tidak menghalang untuk mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran. Selamat maju jaya dan semoga terus cemerlang dalam kehidupan di dunia dan akhirat.
Sumber: Bharian