Berita

Penghargaan Buat Wanita Di Malam Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & NONA. 12 Wanita Bukti Kuasa Wanita Dalam Pelbagai Aspek Kehidupan

Share

Wanita memainkan peranan yang penting dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk keluarga, pendidikan, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, dan seni budaya. Mereka adalah tunjang keluarga, pendidik, dan penjaga nilai moral serta penyumbang besar kepada ekonomi melalui pelbagai sektor pekerjaan.

Menurut  Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, kerajaan amat menggalakkan lebih banyak program penganugerahan kepada golongan berkenaan dianjurkan pada masa akan datang.

“Kementerian amat mengalu-alukan semua pihak termasuk kerajaan dan juga NGO (badan bukan kerajaan) untuk menganjurkan program bagi menghargai pengorbanan wanita sebab mereka menjadi sumber inspirasi terutamanya generasi muda dan jasa mereka adalah sangat tinggi,” katanya.

Semalam telah berlangsung Malam Gala Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan Majalah NONA yang bertujuan memartabatkan figura ibu hebat yang berjasa dan menjadi inspirasi kepada masyarakat itu.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan anakanda baginda Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Dato’ Seri Fatimatuz Zahra Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Seramai 12 wanita hebat telah diiktiraf sebagai penerima anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan Majalah NONA pada majlis yang diadakan di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Majlis yang dihadiri kira-kira 300 wanita itu dianjurkan secara bersama oleh Majalah Mingguan Wanita dan NONA serta Al Kauthar Eduqids (AKE) sebagai penaja utama program menghargai golongan wanita itu, manakala ia turut diserikan oleh Sabihah Gold.

Kuasa Wanita

12 wanita yang menerima anugerah istimewa tersebut ialah Datin Dr Nor Fadilah Alias, Tana Letchumy Muthoo, Hajjah Rosemunainah Noor Assmuni, Datuk Hajah Fauziah Nawi, Rozita Ibrahim, Kamariah Md Yatim, Zeeda Aziz, Bella Astillah, Rozita Shaari, Zarina Zainuddin,Eko Ting Siew Boon dan Raihana Rosdan.

Setiap penerima yang menerima anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA mewakili wanita dalam pelbagai aspek antaranya termasuklah ibu yang berjaya mendidik anak-anak menjadi hafiz & hafizah, ibu tunggal yang cekal berjuang kanser tulang serta wanita-wanita yang berjaya meletakkan diri mereka sebagai wanita berkerjaya dan ibu yang cemerlang. Kisah kejayaan 12 wanita ini

Penaja utama Malam Gala Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & NONA, Al Kauthar Eduqids menyerahkan cenderahati istimewa buat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah

Antara penerima anugerah berkenaan, Tana Letchumy Muthoo berkata beliau amat bersyukur tanggungjawabnya sebagai seorang suri rumah membesarkan empat anak perempuan dihargai.

“Saya rasa tersentuh program ini dapat menghargai nilai para suri rumah tangga seperti saya kerana menjadi seorang suri rumah bukanlah suatu perkara yang mudah, malah ia memerlukan tahap pengorbanan dan kesabaran amat tinggi,” katanya yang merupakan ibu kepada doktor terkenal di media sosial Dr Santhi Santherasegapan.

Majlis istimewa itu telah mendapat kerjasama dari palbagai penaja hadiah cabutan ebrtuah antaranya termasuklah Hotel Royale Chulan Seremban, Habib Jewels, Pandora Malaysia, Nutox, Arombay, Diet Monsta, The Fleur Art, Lancel, Bifesta, Hanasui dan Telekung Haliza Maysuri.

Majlis turut dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi veteran Salamiah Hassan bersama anaknya Atilia Haron dan juga Mila Jirin. Pada sebelah paginya telah berlangsung Majlis Forum Anak Syurga Al Kauthar Eduqids yang dianjurkan untuk memberikan pendedahan dan bimbingan kepada ibu bapa mengenai anak syurga.

Forum Anak Syurga

Program tersebut telah mengundang beberapa panel yang pakar dalam bidang masing- masing antaranya termasuklah Dr Norzila Zakaria, Zarina Zainuddin, Datin Dr Nor Fadilah Alias, Norhaidda Hassan, Fynn Jamal dan Dr Robiah K Hamzah.

Program tersebut  merangkumi sesi soal jawab, perkongsian pengalaman daripada ibu bapa yang berjaya serta aktiviti interaktif yang dapat membantu peserta mengaplikasikan ilmu yang diperolehi dalam kehidupan seharian.

Selain itu, majlis ini bertujuan untuk memperkukuhkan komuniti dengan menyediakan platform untuk ibu bapa dan pendidik berkongsi pengetahuan dan strategi dalam mendidik anak-anak  syurga menjadi individu yang cemerlang dan berakhlak mulia.

 

Published by
Rosmah Idayu