Sebelum ini tersebar rakaman CCTV seorang budak lelaki 4 tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik di sebuah taska. Ia merupakan tindakan kejam yang dilakukan oleh pengasuh wanita terhadap seorang kanak-kanak di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang.
Hukuman Penjara & Denda
Terkini dilaporkan, Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda ke atas pengasuh taska atas kesalahan memukul kanak-kanak lelaki baru-baru ini.
Tertuduh, Melona Eva Ezwa Musah, 27, yang mengaku bersalah atas perbuatannya itu turut dikenakan denda RM10,000 atau penjara tambahan selama 12 bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun ke atas tertuduh.
Mohon Pertimbang Hukuman Ringan
Hakim Amir Syah Amir Hassan membuat keputusan itu selepas mengambil kira pengakuan tertuduh selain hujahan mitigasi peguam Hairul Vaiyron Othman yang mewakili wanita itu.
Peguam Hairul Vaiyron Othman yang mewakili tertuduh sebelum itu memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan, dengan mengambil kira anak guamnya sudah ‘dihukum’ apabila berada dalam kemurungan dan menghadapi penghinaan selepas video perbuatannya tersebar di media sosial.
“Dengan mengaku bersalah juga, tertuduh telah menyelesaikan kes itu seterusnya boleh menjaga kedua ibu bapanya dan jika hukuman lebih berat dikenakan, ini telah ‘mengalahkan’ tujuan itu.
“Mitigasi ini bukan bermaksud yang tertuduh tidak bertanggungjawab atas kesalahannya, tetapi hanyalah untuk dia diberi peluang kedua,” katanya yang memberitahu kes itu juga sebagai pengajaran kepada semua pihak.
Berdasarkan fakta kes, Melona dituduh menganiayai kanak-kanak lelaki berumur empat tahun sehingga mengakibatkan mangsa cedera di sebuah taska di Penampang antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi, 8 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama mengikut Seksyen 31 (2) akta yang sama.
Terdahulu, sebelum ini seorang bapa tidak sanggup melihat video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memperlihatkan anak lelakinya ditendang, ditampar dan ditarik rambut didakwa dilakukan pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Penampang.
Malahan lebih memilukan apabila kanak-kanak berusia empat tahun itu ditampar dan dipukul guna pembaris di muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan.
Kejadian tersebut juga tular di media sosial apabila video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik oleh pengasuh di sebuah taska di Luyang.
Mesti Baca:Tak Sanggup Lihat Rakaman CCTV, Anak 4 Tahun Ditendang & Ditampar Pengasuh Taska!
Video penuh di sini:
Mingguan Wanita: Semoga menjadi pengajaran buat pengasuh taska yang lain supaya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu perkara. Kerja mengasuh anak orang adalah satu amanah, jangan mudah khianati amanah tersebut.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI