“Pendidikan Sepatutnya Bermula Dari Rumah!” Surat Terbuka Ibu Anak Enam

Share

Nak luaskan ilmu pendidikan kepada anak-anak, mak ayah kena sepakat gali ilmu. Paling mudah boleh rujuk buku atau nak lagi dekat mungkin boleh sertai kelas parenting yang kadang kita sendiri baru sedar bahawa ilmu mendidik itu patutnya bermula dari rumah.

Perkara ini lebih jelas kalau mak ayah di luar sana boleh renungkan sekejap dengan perkongsian daripada Pengasas sekolah ShowmeKids, Puan Engku Nur Zakiah Syed Mohamed dalam surat terbukanya yang berniat supaya generasi akan datang tidak rosak kerana didikan yang tak betul.

 

Surat terbuka kepada:

1. Kementerian Wanita, Keluarga & Masyarakat
2. Kementerian Dalam Negeri
3. Kementerian Pelajaran
4. Kementerian Kesihatan

Assalamualaikum wbt…

Saya adalah salah seorang ibu yang prihatin dengan kualiti pendidikan di Malaysia sekarang. Bagi saya masyarakat kita yang amat menekankan keputusan peperiksaan adalah melampau dan keterlaluan. Ini adalah keadaan yang bukan tak boleh tapi sukar untuk diatasi.

Kerana pertamanya persepsi masyarakat dan ibu bapa yang membuatkan ianya menjadi kepercayaan yang kadangkala melebihi kepercayaan kepada Allah.

Bila anak tak mendapat keputusan yang cemerlang:
1. Hantar tuisyen
2. Minta cikgu bagi banyak homework
3. Suruh anak-anak study dan study kat rumah, tak payah tolong ibu bapa kat rumah
4. Beli lagi buku latihan

Sampai anak di”drill”kan dengan kepercayaan anak yang pandai adalah anak yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan. Kalau tak, anak anda adalah BO***.

Bagi pendapat saya yang mempunyai 6 orang anak, saya berpendapat, ini berlaku kerana kita sebagai ibu bapa yang mendidik anak-anak kita untuk berfikiran sebegitu. Jadi kesimpulan saya, kesalahan besar adalah jatuh kepada IBU BAPA.

So saya mencadangkan di sini.

1. Dianjurkan KURSUS PARENTING kepada bakal ibu bapa.

Setiap bakal ibu yang mengandung akan membuka buku rawatan kesihatan untuk ibu-ibu mengandung untuk mendapatkan rawatan.

Ini adalah peluang terbaik untuk mewajibkan kedua ibu bapa untuk menghadiri kursus parenting yang dianjurkan oleh kerajaan.

Kalau nak kahwin, kita diwajibkan untuk ambik kursus kahwin. Saya masih ingat semasa saya hadir kursus ini dahulu, ustazah ajar doa sebelum bersama yang saya praktikkan sehingga sekarang. Ianya ilmu yang anat bernilai kepada mereka yang ingin menuntut ilmu.

 

Begitu juga menjadi ibu bapa. Kita tidak dibekalkan dengan handbook bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang baik. Sebahagian dari kita hanya meniru apa yang ibu bapa mereka ajar dan buat semasa mereka membesar. Dan kalau ajaran itu salah, maka mereka telah menjurus kepada didikan yang salah, dan sebaliknya.

Sepanjang 9 bulan proses mengandung, kursus parenting ini boleh dianjurkan secara berperingkat; series 1, series 2 atau 3. Detail saya serahkan pada pihak yang berwajib untuk menggariskannya secara terperinci.

2. Di wajibkan untuk ibu bapa kepada bakal Darjah 1 pelajar utk hadir Kursus Apa itu Sekolah.

Sebelum anak 7 tahun dibenarkan memasuki alam persekolahan darjah 1, ibu bapa patut diwajibkan menghadiri kursus memahami apa itu sekolah.

Apa itu sekolah
1. Bukan sub con untuk tugas ibu bapa mendidik anak-anak mereka
2. Bukan pusat day care
3. Bukan tempat ajar adab sopan, manners dan sifat
4. Bukan tempat perbandingan anak siapa lebih pandai

 

Pendidikan sepatutnya bermula dari rumah. Ibu bapalah sepatutnya mendidik anak-anak mereka supaya menjadi anak-anak yang baik, beradab, cenderung kepada perkara-perkara baik, solat dan sebagainya.

* Untuk menjadikan anak-anak pandai, ibu bapa sepatutnya menyediakan suasana supaya anak menjadi lebih pandai.
* Untuk membuat anak-anak pandai membaca, ibu bapa sepatutnya menyediakan suasana membaca di rumah.

 

Itu bukan tugas sekolah, itu tugas IBU BAPA.

Jangan jadikan alasan sibuk sebagai halangan.
* Sesibuk Nabi Sulaiman as memerintah manusia, haiwan dan jin, masih ada masa beribadah kepada Allah
* Sesibuk Tun Mahathir memerintah negara, masih sempat membaca ratusan buku setiap tahun
* Sesibuk Datuk Nicole berlatih squash berbelas jam sehari, sempat juga belajar utk SPM dan mendapat keputusan yg cemerlang

Cuba anda tanya diri anda, dan tanya kawan-kawan anda, berapa kali anda ke Kursus Parenting?

Sepanjang proses pembesaran anak anda, bila anda mencari peluang untuk meng upgrade kan ilmu parenting anda?

Apakah ianya tidak penting, atau anda sudah memang dilahirkan sebagai perfect parents atau anda tidak cakna?

Pesan wanita ini lagi, untuk melahirkan anak-anak yang bijak dan cemerlang, kita harus membijakkan dan mencemerlangkan ibu bapa terlebih dahulu.

Beliau dan suaminya yang juga ada membuat ShowmeKids Playschool & Kindergarten, Sri Showme Primary School dan Sri Showme Secondary School di seluruh Kuala Terengganu mengucapkan terima kasih kepada anda yang sudi membaca celoteh dan cadangannya. Ibu ini yakin, pembaca di luar sana  adalah ibu bapa yang prihatin jadi sebab itulah ada yang sudi membaca tulisan ini sampai akhir.

Semoga bermanfaat buat mak ayah yang masih mencari ilmu untuk mendidik anak-anak.

 

Published by
Nadia