rupanya 7 penderaan mak ayah lakukan tanpa sedar sebabkan anak gagal

Tanpa sedar penderaan mak ayah lakukan ini akan menyebabkan anak alami kegagalan. Tak semestinya dera fizikal, penderaan emosi pada anak kecil sebenarnya beri kesan lebih parah lagi. Elok anak nak berjaya, disebabkan penderaan mak ayah tanpa sedar anak temui jalan kesukaran pada masa depannya kelak.

Selalu kalau kita sebut, dera mesti dalam kepala terbayangkan kena pukul. Memang kita tak dera fizikal tapi sebenarnya ramai di kalangan mak ayah yang tidak sedar mereka selalu mendera emosi anak. Semak 7 penderaan ini, kalau anda memang pernah lakukan pada anak. Segera berubah kerana dalam jangka masa panjang, ia boleh rosakkan masa depan anak.

Semak 7 Penderaan Mak Ayah Lakukan Tanpa Sedar

1.    Bila Mak Ayah Tak ikhlas

Salah satu daripada 7 penderaan mak ayah adalah tiada keikhlasan dalam mendidik. Anak memang sentiasa mahukan perhatian, itu memang fitrah mereka. Ada anak-anak yang suka bertanya dan banyak cakap. Memang ada kalanya kita rasa rimas tapi jangan kita abaikan anak-anak. Beri reaksi agar anak tahu kita mendengar dan menghargai mereka.

Contoh: Mak ayah selalu layan anak tak ikhlas, bila dia bercerita kita tak fokus pada dia. Sebaliknya kita sibuk layan telefon atau tengok TV. Cuba kalau orang buat macam tu pada kita. Tak sedih ke? Silap-silap sentap. Anak pun ada perasaan, dia sangat sedih bila mak dan ayah tak endahkan dia.

Kesan: Anak yang selalu diabaikan akan rasa sedih, emosinya tidak stabil dan anak selalu rasa rendah diri. Mereka cenderung buat keputusan yang salah dalam hidup.

2.    Tiada Reaksi Seolah-olah Buat Anak Tak Wujud

Anak beriya-iya bercerita tapi kita tak bagi reaksi langsung. Umpama anak bercerita dengan dinding. Anak-anak excited mahu mendengar komen kita tapi kita buat anak rasa seperti dia tidak wujud.

Contoh: Anak tanya tentang iklan billboard di tepi jalan. Tapi kita drive buat tak tahu je, langsung tak jawab soalan anak. Sedangkan anak ternanti-nanti jawapan kita.

Kesan: Anak rasa dirinya tak guna dan tak disayangi. Dia juga mungkin akan menjadi seorang yang pendiam.

Ads

3.    Mengejek, Merendahkan Anak Depan Orang Lain

Seterusnya penderaan mak ayah tanpa sedar adalah dengan selalu mengejek anak tanpa sedar, misalnya menjadikan anak sebagai bahan lawak. Kita juga Kita juga suka bandingkan anak kita dengan orang lain, yang baik semua anak orang tapi anak kita semua kita cakap  tak bagus.

Contoh: Bila anak kita pelat atau kencing malam, sampai dia besar kita dok ejek dia.

Kesan: Anak akan menjadi rendah diri, malu dan cenderung berdendam dengan kita.

4.    Rasa Tak Percaya Dengan anak

Kita lebih percaya cakap orang luar berbanding anak kita. Kita selalu anggap anak kita buat cerita. Penderaan mak ayah ini yang paling membuatkan hati anak terluka.

Contoh: Bila anak cakap tak sedap badan macam nak demam, kita anggap anak buat alasan malas ke sekolah.

Ads

Kesan: Hubungan dengan anak akan jadi renggang. Anak akan mencari orang luar untuk meluahkan perasaan. Tu yang ramai budak-budak bawah umur ikut orang dengan rela hati. Orang luar amik kesempatan bila anak-anak kurang kasih sayang kita.

5.    Terlalu Cerewet/ Perfectionist

Mak ayah dalam kategori ini sangat cerewet, ada saja yang tak kena tentang anak di mata mereka. Semua benda tak puas hati tentang anak. Jangan sampai mak ayah lakukan penderaan sebegini pada anak.

Contoh: Anak makan tumpah marah sedangkan anak masih kecil dan sedang belajar.

Kesan: Anak akan takut mencuba perkara baru, mereka jadi skema dan tidak kreatif. Anak jadi sangat stress, silap-silap anak boleh sakit jiwa dan jadi liar sebagai tanda protes.

Ads

6.    Tak Tunjuk sayang Dan  Tak Bagi Sokongan

Sayang anak mesti zahirkan dengan perbuatan dan percakapan supaya anak tahu kita sayang anak. Ramai yang tak ucap sayang anak dan tidak menyentuh anak seperti memeluk dan memberi ciuman. Usah lakukan penderaan sebegini ya mak ayah.

Contoh: Tak ucap tahniah walaupun anak dapat nombor 1.

Kesan: Anak jadi insan yang pentingkan diri dan ego sama seperti mak dan ayahnya. Nanti kalau anak pun tak peduli kita jangan kecil hati ye. Sebab kita yang ajar mereka macam tu.

7.    Sorok Atau Diamkan Kesilapan Anak

Ini satu contoh penderaan mak ayah yang tak boleh dibiarkan terjadi ketika membesarkan anak-anak. Kita anggap salah anak adalah perkara remeh, kita diamkan sahaja kerana malas nak fikir. Kita lepas tangan, kita harap anak berubah sendiri jadi insan yang baik.

Contoh: Bila cikgu cakap anak suka gaduh, kita tidak ambil tindakan walaupun kita tahu. Kita anggap ia perkara biasa kerana anak masih kecil.

Kesan: Anak jadi besar kepala dan keliru. Dia tidak tahu kesilapan dan menjadi orang yang suka membuli.

Penulis : Intan Rohaizat Zakariya

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI