Penceraian Bukanlah Lesen Untuk Burukkan Pasangan, Fikirkan Emosi Anak Dan Kesannya

Share

Sejauh mana kita ingin jauhi penceraian, namun jika ianya telah tertulis, tiada daya upaya mak, ayah menolaknya. Meskipun begitu, setelah bercerai, jangan pula mencipta jurang dan sengketa dengan bekas pasangan.

Walaupun tak mudah, jangan pentingkan diri sendiri. Penceraian bukanlah lesen untuk burukkan pasangan, sebaliknya fikirkan emosi anak dan kesannya dalam jangka panjang.

Penceraian bukan hanya memberi kesan kepada mak, ayah sahaja sebaliknya anak-anak adalah paling terkesan.

Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami mengapa mak,ayah tak digalakkan untuk memburukkan bekas pasangan sewenang-wenangnya.

Penceraian Bukanlah Lesen Untuk Burukkan Pasangan

Dalam kehidupan, ada banyak perkara yang kita tak mahu, tapi tetap berlaku. Contohnya bercerai.

Iya, kita berpisah hidup dengan pasangan kita. Yang pernah bercinta, hidup dan segalanya dengan kita.

Sebab berlaku perselisihan yang kita tak dapat nak berlapang dada, kita pilih jalan akhir untuk tidak lagi hidup sebumbung.

Benar kawan-kawan, semua ini dibenarkan oleh Tuhan. Sekali pun ini yang Tuhan paling tak suka.

Baca Juga Di sini:

Wanita Ini Kongsi Detik Sukar Saat Talak Dijatuhkan & Situasi Sebenar Semasa Penceraian Berlaku Di Mahkamah

Wanita Ini Kongsi Kisah Hidup Tragis Pesakitnya Akibat Mangsa Penceraian Ibu Bapa.Sebak!

Bercerai Dengan Suami, Zarina Anjoulie Akui “Ini Adalah Yang Terbaik Buat Anju Sekarang”

Jangan Ajar Anak Membenci Ayahnya

Namun, setelah semua itu berlaku, bukanlah kita punya lesen atau kebenaran untuk memburukkan bekas pasangan kita. Kita mengajar anak-anak untuk mengata ayah dia. Kita ajar anak berperasaan tak betul kepada mak dia.

Cerita pula segala lemah dan kurang bekas pasangan ke kawan- kawan, keluarga dan siapa sahaja yang kenal kita. Sebolehnya nak letak salah berpisah itu pada sebelah pihak.

Fikirkan Emosi Anak & Kesannya

Kawan kawan sekalian,

1. Sekali pun jodoh tak panjang, kita masih boleh hidup seperti biasa. Bertegur dan berbincang. Terutama tentang zuriat yang lahir daripada diri kita dan pasangan kita dahulu. Itu benih cinta kita. Jadi masih perlu kepada aturan bersama.

2. Anak-anak yang lahir ini ada ikatan darah daripada mak ayah dia. Maka macam mana jauh terpisah pun, tetap menjadi tanggungjawab mak ayah kandung dia untuk membesarkan mereka.

3. Jangan sampai kerana marah kita kepada bekas pasangan kita, anak-anak jadi mangsa. Mereka diabai dan tidak dipedulikan. Terutama nasib akhirat mereka.

Rumah Tangga Retak, Anak Bermasalah

4. Ramai sangat anak-anak hasil rumah tangga yang retak jadi anak-anak bermasalah. Sekolah terganggu, pelajaran entah ke mana dan yang paling kita takut mereka ini akan ada masalah emosi. Tak ada kasih sayang.

5. Yang tak ada kasih sayang seorang ayah akan mencari lelaki di luar rumah. Anak lelaki pula tiada kawalan seorang ayah akan jadi anak yang keras, kuat melawan dan tak lekat di rumah. Hilang selalu. Bebas dengan kawan kawan.

6. Kawan-kawan, kalau pun hubungan kita tak berjaya di dunia. Moga dengan perceraian itu kita tidak semakin jauh dengan Tuhan.
Begitulah.

Firdaus Mokhtar,
Pesan buat semua.

MW: Semoga mak,ayah dijauhkan dengan sikap sebegini setelah menjalani penceraian. Walaupun tak mudah, apa yang berlaku adalah ujian dari Allah SWT. Semoga mak,ayah yang bercerai terus cekal menghadapi ujian yang mendatang.

Sumber: Ustaz Firdaus Mokhtar

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Nur Syazwani Mehat