Pencarian ibu keluar mencari anak bertukar duka, mayat hafiz Al-Quran ditemui dalam parit. Pencarian seorang ibu berakhir dengan berita duka apabila mendapati anaknya sudah meninggal dunia. Lebih menyedihkan mayatnya anaknya ditemui dalam parit, berseluar pendek dan ada kesan luka di tangan.
Sedangkan anaknya tidak pernah memakai seluar pendek sementelah diri arwah merupakan hafiz Al-Quran.
Pencarian Ibu Keluar Mencari Anak Bertukar Duka
Memetik laporan Kosmo Online, seorang lelaki yang dilaporkan hilang selama beberapa jam selepas keluar dari rumahnya dijumpai mati di dalam parit di Jalan Pondok Terusan, Pasir Tumboh di sini tengah malam tadi.
Mayat Wan Harun Wan Hassan, 34, ditemui dalam keadaan terbaring di dalam parit itu oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Adik mangsa, Norhapizah Rosli 27, berkata, abangnya, Wan Harun Wan Hassan, 34, tidak pulang ke rumah selepas azan magrib semalam selepas pergi beriadah di kawasan sebuah pondok pengajian di kampung ini.
Mayat Hafiz Al-Quran Ditemui Dalam Parit
Menurutnya, bimbang dengan keadaan tersebut, ibunya, Ahsan Pie Che Mohd. Hussin, 63, keluar mencari mangsa, namun pulang hampa apabila tidak dapat menjejaki abangnya itu.
“Abang saya tiada masalah kesihatan, namun hanya menghidap gastrik. Pada awal pagi tadi, saya dihubungi oleh seorang penduduk kampung yang menghantar gambar mayat abang melalui aplikasi WhatsApp.
Ads
“Kami sekeluarga terus bergegas ke kawasan parit itu. Semasa anggota bomba mengeluarkan mayat abang, saya lihat ada kesan luka pada tangannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Pondok Terusan, Limbat di sini hari ini.
Norhapizah memberitahu, bagaimanapun, dia dan keluarga tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan mayat abangnya dan menyerahkan segala siasatan kepada pihak polis.
Menurutnya, arwah juga merupakan seorang yang hafiz al-Quran dan tidak pernah tinggal solat.
“Ibu saya sebenarnya hairan kerana arwah tidak pernah memakai seluar pendek semasa keluar rumah sebelum pergi ke kawasan pondok. Semasa mayatnya ditemui, dia memakai seluar pendek,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Juhari Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di dalam parit kira-kira pukul 2.27 pagi tadi.
Ads
Katanya, lapan anggota bomba termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mayat dari kawasan terbabit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Perjuangan anak syurga terbela di dunia, peguam ulas kes Bella & ucap terima kasih kerana satukan ramai insan hebat.
Semalam ramai mengucapkan syukur di atas kemenangan yang berpihak kepada remaja down sindrom, Bella yang didera dan dianiaya. Mahkamah juga telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun dan dirinya sudah dihantar ke Penjara Kajang mulai semalam.
Siti Bainun didapati bersalah dan sudah dihantar ke Penjara Kajang semalam
Kes ini mendapat liputan meluas kerana ramai yang ternanti-nantikan apa pengakhirannya kerana bukan saja rakyat biasa tetapi juga Tengku Mahkota Johor dan isteri turut memberikan perhatian ke atas kes ini hingga menghantar peguam pemerhati.
Perjuangan Anak Syurga Terbela Di Dunia
Peguam terkenal, Nor Zabetha turut mengulas kes ini dari sudut perundangan dan mengucapkan terima kasih kepada adik Bella kerana menyatukan banyak pihak untuk melihat dirinya terbela di dunia. Ya, perjuangan anak syurga ini sudah meraih kemenangan di dunia dan pastinya di syurga, dirinya kembali bersenang lenang.
Ikuti perkongsian dari Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna @ Co.
Pagi tadi saya ke mahkamah untuk menghadiri keputusan kes Bella, sebagai tanda sokongan kepada Bella dan kesemua orang yang memperjuangkan keadilan bagi Bella.
Setelah beberapa lama kita semua menunggu keputusan Bella.
Dari pagi lagi, di antara kami berlegar-legar di kepala, jika disabitkan kesalahan. Berapa lama agaknya keputusan yang akan dijatuhkan? Atau berapa denda? Atau berapa lama khidmat masyarakat?
Maksimum penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak adalah 20 tahun. Masing-masing menanti.
Keputusan dibacakan oleh Tuan Hakim terang dan jelas dalam mahkamah terbuka. Alasan penghakiman yang dibaca turut merujuk kepada Seksyen dan Akta, rujukan kepada kes undang-undang terdahulu dan prinsip undang-undang.
Saya ringkaskan dan rumuskan berdasarkan apa yang dibaca oleh Tuan Hakim di mahkamah terbuka tadi.
Dalam kes Bainun ini, terdapat dua pertuduhan. Bermakna ada 2 perbuatan jenayah yang dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) oleh Bainun terhadap Bella.
Pertama dia dituduh mengabaikan Bella sehingga Bella mengalami kecederaan emosi dan fizikal.
Perlu faham maksud abai iaitu cuai atau tidak ambil tahu atau tidak peduli sehinggakan Bella cedera dan mengalami kecederaan emosi dan fizikal. Isunya bukan siapa yang pukul atau bagaimana cedera tetapi pengabaian sehingga Bella cedera.
Pertuduhan kedua, menganiaya sehingga Bella mengalami kecederaan emosi dan fizikal. Maksud aniaya adalah menyakiti atau menyeksa atau menindas atau menzalimi.
Bagi dua pertuduhan abaikan dan menganiaya Bella, mahkamah perlu menilai keterangan saksi-saksi dari kes pendakwaan dan pembelaan serta meneliti hujahan team pendakwaraya dan pembelaan Bainun.
Mahkamah mengupas satu demi satu isu.
Isu bahawa sama ada Bella mengalami kecederaan emosi?
Mahkamah mempertimbangkan saksi pembelaan Bainun dan juga pendakwaraya iaitu saksi pakar yang hadir bagi menerangkan berkenaan dengan kecederaan emosi.
Mahkamah berpendapat bahawa pembuktian pendakwaan bahawa Bella mengalami emosi adalah kukuh dan tidak disangkal oleh pembelaan Bainun. Maka, telah dibuktikan bahawa Bella mengalami kecederaan emosi.
Seterusnya, isu sama ada Bella mengalami kecederaan fizikal?
Dalam pembelaan Bainun, dia menafikan mendatangkan kecederaan kepada Bella. Malahan mengikut pembelaannya, kecederaan berlaku sewaktu dia di tempat kerja.
Namun demikian, isu berkaitan bahawa kononnya Bella terkena air panas disebabkan bergaduh dengan Balqis , hanya dibangkitkan kepada saksi pembelaan dan tidak pernah ditanyakan kepada saksi pendakwaan dari peringkat awal. Oleh yang demikian, ianya hanya satu pemikiran terkemudian.
Maksud pemikiran terkemudian bermakna sebelum ini tidak ada pun tapi baru direka-reka dan dibangkitkan. Maksudnya, kalau benar, kenapa soalan-soalan mencadangkan kejadian air panas oleh Balqis ini tidak ditanya pada peringkat awal oleh team pembelaan Bainun.
Malahan pendakwaraya ada tawarkan saksi Aida dan Balqis kepada team pembelaan untuk dipanggil. Namun demikian, tidak dipangil.
Isu alasan bahawa kecederaan akibat termos juga tidak boleh diterima kerana luka yang dialami adalah menyeluruh di tubuh badan Bella dan bukanlah kerana air tertumpah dari termos yang sepatutnya pada bahagian tertentu sahaja.
Mahkamah juga mengambil kira keterangan dari pakar-pakar perubatan berkaitan luka-luka yang dialami Bella.
Berdasarkan keterangan dari SP2 iaitu doktor di bahagian Kecemasan dan Trauma HKL bahawa terdapat banyak kecederaan dan parut lama di badan Bella sewaktu diperiksa. Keterangan ini disokong juga oleh saksi doktor lain bahawa terdapat banyak parut dan kecederaan terdahulu yang dialami Bella. Bermakna jelas bahawa Bella sering mengalami kecederaan sebelum kejadian air panas ini.
Mahkamah juga turut menyentuh bahawa Bainun memperolehi penjagaan Bella melalui perintah mahkamah. Hak penjagaan diperolehi oleh Bainun.
Oleh yang demikian, sekiranya terdapat sebarang kecederaan kepada Bella, Bainun perlu memaklumkan kepada SP12 iaitu Encik Imran, pegawai pelindung Bella.
Kejadian air panas itu berlaku pada 6 hingga 9 Mei 2021. Namun Encik Imran hanya dimaklumkan melalui whatsapp pada 24 Jun 2021 (hampir sebulan setengah) iaitu ketika Bella dibawa ke hospital.
Mahkamah berpendapat bahawa pembelaan Bainun tidak boleh dipercayai dan gagal menimbulkan keraguan kepada dakwaan.
Peguam Ulas Kes Bella & Ucap Terima Kasih Kerana Satukan Ramai Insan Hebat
Mahkamah menjatuhkan Bainun bagi pertuduhan pertama iaitu mengabaikan selama 10 tahun dan 12 tahun bagi menganiaya. Hukuman dijalankan secara serentak.
Bainun juga dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama 200 jam selepas 6 bulan dari pemenjaraan dan bon kelakuan baik sebanyak RM5,000 bagi tempoh 5 tahun. Permohonan bagi menangguhkan pemenjaraan Bainun juga ditolak oleh Mahkamah.
Tahniah team pendakwaan. Puan-puan pendakwaraya yang hebat, merangka strategi, menyoal saksi, melakukan penyelidikan undang-undang, membuat hujahan dan berhujah.
Insan-insan hebat yang sentiasa memperjuangkan nasib adik Bella
Terima kasih dan tahniah kepada saksi-saksi yang tabah memberikan keterangan-keterangan demi keadilan untuk Bella. Terima kasih dan tahniah mereka yang memperjuangkan Bella seperti Mommy Zurianty Sudin , Mona Din , Alif Ahmad, Peguam Mahmud Jumaat , Peguam Megat Syazlee, team peguam pemerhati Tengku Mahkota Johor, kesemua NGO yang terlibat dan kesemua yang sentiasa di belakang Bella. Kesemua warga net dan rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menyokong.
Buat Bella, terima kasih kerana menyatukan kami semua.
Penceraian tak bermakna boleh mengabaikan anak-anak. Suka tengok cara Sharnaaz dan juga bekas isterinya, Nabila dalam berganding bahu membesarkan anak walaupun sudah berpisah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nak dapatkan kehidupan yang sukses dunia dan akhirat, ada perkara-perkara penting yang perlu dijaga. Paling utama tentulah solat awal 5 waktu, seterusnya amalan solat sunat baik dhuha mahupun tahajjud.
Salah satu solat sunat yang paling nikmat tapi paling liat nak buat adalah solat sepertiga malam iaitu solat tahajjud. Dan inilah yang dikongsikan oleh Leya Sari Nazritentang dirinya yang pernah berdepan dengan situasi sukar bangun bertahajjud.
“Saya selalu motivasi diri sendiri. Bangun pukul 3 ke 4 pagi. Saya berjaya keluar dari selimut awal dari orang lain. Kira powerlah bangun beratus minit awal dari orang lain.”
“Dulukan saya selalu pelik, macam mana orang boleh bangun pukul 3 ke 4 pagi dan boleh buat solat sunat. So dalam nak ubah hidup, saya paksa diri. Alhamdulillah, kalau cuti pun tetap bangun, tetap 3/4 malam. Sebab dah biasa.”
“Walhal dulu punya liat bangun. Kunci jam tiap 5 minit. Kunci je lebih. Bangunnya tidak. Tak tipu memang susah masa awal nak mula. Tahu sebab apa?”
Kata Ustaz Ini Punca Liat Nak Bangun Solat Malam
Ustaz saya pernah cakap, beratnya orang bangun solat malam dan solat sunat kerana DOSA DOSANYA. Maka kita kena muhasabah. Seorang ustaz lagi pernah cakap, kasihan orang yang tak boleh bangun Tahajjud, sebab Allah tak pilih dia untuk berborak dengan Allah.
“Dulu saya tepat jam 9.30 dah landing atas katil. Jam 10 dah sampai Republic Chezh. Tapi sekarang paling lewat tidur pukul 11 ke atas.”
Saya Amal 4 Cara Nak Bagi Rasai Nikmat Bertahajjud
Ade few cara kalau nak boleh buat.
1. AZAM nak bangun tahajjud, InsyaAllah akan terjaga. Lock dalam kepala nak bangun pukul berapa.
2. Baca Ayat Kursi 3 kali sebelum tidur hembus kat tapak tangan sampai habis nafas and sapu kat muka, kepala, badan sampai hujung kaki, pastu niat nak bangun Tahajjud (ni Ustaz ajar) – ni juga cara untuk melindungi kita dari kena tempias SIHIR.
3. Tidur seawalnya, selepas Isyak.
4. Doa lepas solat minta Allah kejut kita untuk solat tahajjud (takut wei kalau Allah tak nak borak dengan kita)
Ok tu je lah, ni saya taip pun dah berapa kali terlelap. Baik habiskan ayat dulu. Ok saya nak lek lek dulu.
Kehilangan Nidza Afham Mokhtar, abang kepada penyanyi Aufahanie, telah mencetuskan satu misteri yang mendalam dan menjadi perhatian ramai. Nidza Afham, seorang pemuda yang disayangi oleh keluarganya, dilaporkan hilang tanpa sebarang petunjuk jelas, meninggalkan keluarganya dalam keadaan buntu dan penuh kebimbangan.
Nidza Afham yang juga seorang penyanyi keluar ke Stadium Sultan Suleiman, Klang sekitar jam 7.54 malam dengan menaiki e-hailing untuk berjogging.Bagaimanapun, dia gagal dihubungi selepas jam 9.13 malam.
Penemuan Mayat Lelaki Dewasa
Namun begitu, menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan satu mayat lelaki dewasa yang ditemukan di Sungai Klang semalam adalah Nidza Afham Mokhtar. Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses selanjutnya.
“Ya. Dipercayai adalah abang penyanyi yang dilaporkan hilang semalam,” katanya ketika dihubungi media.
Sebelum ini, dilaporkan kehilangan Nidza Afham didakwa berkaitan dengan kes samun.
Adiknya, Afrina Hanie Mokhtar berkata, polis mempercayai kehilangan Nidza Afham berkaitan dengan kes samun susulan kehilangan kad debit dan wang tunai manakala, kad pengenalan, kad pelajar dan gambar disimpan dalam dompet milik bekas peserta I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga itu tidak berusik.
Afrina berkata, penemuan dompet dan telefon bimbit Nidza Afham atas Jambatan Sungai Klang juga berada dalam keadaan pelik.
Mayat Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang ditemui di Sungai Klang petang semalam telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Shah Alam (HSA) untuk urusan bedah siasat. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata ia selepas proses pengecaman mayat selesai dilakukan oleh ahli keluarga mangsa di lokasi kejadian malam tadi.
Terdahulu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan penemuan satu mayat lelaki dewasa berhampiran jambatan Sungai Klang semalam. Mayat lelaki berkenaan memakai pakaian berwarna gelap bernombor 56.
Kehilangan Nidza Afham Mokhtar didakwa berkaitan dengan kes samun susulan kehilangan kad debit dan wang tunai. Manakala, kad pengenalan, kad pelajar dan gambar disimpan dalam dompet milik bekas peserta I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga itu tidak berusik.
“Siasatan lanjut dari segi klasifikasi kes akan dibuat selepas mendapat hasil bedah siasat,” katanya ketika dihubungi media.
Media melaporkan ahli keluarga penyanyi berusia 23 tahun itu telah berkumpul di HSA sebelum kenderaan yang membawa jenazah beliau tiba pada kira-kira 10.30 malam.