PENAT Suami Isteri Tak Sama, EMOSI Tidak Ditenangkan, Boleh Meletop!

Share

Memang ada benarnya, tak sama penat seorang suami dan penat seorang isteri terutamanya dalam menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Isteri lebih mudah rasa stres dan penat.Malah emosi juga tak menentu dalam menanganinya.

Maka suami lah yang perlu memainkan peranan menenangkan emosi isteri sebelum ia meletus! Semudah bawa isteri keluar berjalan-jalan dan mendengar luahannya sudah mampu membuatkan isteri kembali tenang dan bersemangat.

Hadamkan catatan yang dikongsikan oleh Zaim Zin ini;

Saya balik kerja, isteri cakap, “Abang, jom keluar jalan-jalan. Stress la”

Banyak kali macam tu. Pelik betul. Stress apa, duduk rumah jaga anak-anak tercinta yang comel-comel tu. Kalau ikutkan, keluar rumah, lagi la stress dan penat.

Bila fikir semula, saya bawa juga pusing-pusing naik kereta. Kadang-kadang, singgah pasaraya. Selalunya tak beli apa pun, window shopping je. Tapi dia punya teruja, macam anak kecil diajak pergi Disneyland.

“Terima kasih abang, bawa jalan-jalan!”, isteri saya akan ucap ini setiap kali dapat berjalan.

Emosi Perempuan

Saya teringat satu pesanan,

“Emosi perempuan ni macam belon kecil, tak boleh tampung banyak sangat tekanan. Nanti meletus. Beza dengan kita orang lelaki”

Dulu isteri saya lemah lembut je, sejak ada anak ni, kalau tak kena masa, kalah raja rimba. Macam nak makan orang. Pelik juga. Kemana perginya kelembutan dan kemanjaan beliau yang dulu?

Kita baru pegang handphone pun, tiba-tiba boleh kena serang. Mengejut je. Tiba-tiba meletus.

Penat Suami Isteri Tak Sama

Saya cuba untuk faham situasi ini. Ya, kami para suami susah nak faham.

Rupanya, tak sama penat seorang suami dan penat seorang isteri.

Anak menangis nak susu, anak yang lain berkelahi menjerit-jerit, sorang lagi mendesak nak tengok kartun, rumah dah macam tongkang pecah. Tak masuk lagi bab masak, bisnes, kurang tidur, lapar, basuh baju, kemas, layan perangai customer barang tak sampai. Ini berlaku setiap hari, hampir setiap masa.

Tengok la gambar ni, nak tidur pun, nak dengan mama dia sahaja. Tak ada ruang mama dia bersendiri. Terpaksa saya sarung tudung isteri untuk kelirukan budak ni.

Asakan-asakan ni mendesak isteri secara fizikal, mental dan emosi.

Siapa lagi tempat isteri nak mengadu dan harapkan? Kita la, partner dia. Sebab tu kalau emosi mereka tidak ditenangkan, boleh meletop!

Nasihat Buat Suami

Jadi, nasihat ini untuk diri saya dan suami-suami sekalian. Isteri adalah amanah Allah pada kita.

1. Dengar Cerita Dia

Jika isteri mahu bercerita, dengar dengan cara pandang muka dia, atau peluk dia. Tunjuk yang kita prihatin dan sokong dia. Apabila kita abaikan dia nak luah kepenatan dia, dia makan hati. Tau-tau dah merajuk acik tu. Lagi teruk kalau kita sinis dan rendah-rendahkan pula perasaan dia. Jangan pelik kalau isteri pandai melawan.

2. Urus Rumah Adalah Kerja Kita Juga

Tak ada istilah ‘tolong isteri buat kerja rumah’. Kalau ikutkan, itu memang kerja kita juga. Kita masak sebab nak makan, kita basuh baju dan pinggan sebab dah pakai. Itu rumah kita dan itu anak kita. Kita ada tanggungjawab. Ringankan tulang.

3. Bagi Isteri ‘Me Time’

Kerja isteri tiada office hour. Dia bukan robot, jadi, bagi masa untuk dia berehat dan ‘me time’. Dia pun memang kurang rehat, sejak mengandungkan anak pertama.

Pada saya, mengurus rumah tangga ni ada dua school of thought. Satu, isteri kena layan suami macam raja. Kedua, urus rumah bersama-sama. Dua-dua betul. Sesuaikan lah dengan cara kita.

Para isteri sekalian, maaf ya, jika tidak memahami kalian, bagi para suami peluang. Kita jaga kita. Benda boleh bincang. Mulakan dengan bercakap baik-baik dengan pasangan.

Maafkan, jika ada kesilapan dan kesalahan. Kita manusia biasa. Kenapa suami ada kekurangan? Sebab awak adalah pelengkap dia.

Kita bukan terbaik, tetapi izinkan kita berusaha jadi yang terbaik.

Baca Lagi Di Sini:
‘Me Time’ Yang Terbaik, Biar Isteri Ada ‘Quality Time’ Dengan TuhanNya
Isteri Jadi Wanita Paling Bahagia Bila Suami Rajin Layan Bersembang

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat pasangan suami isteri. Belajarlah memahami dan bertolak ansur dengan pasangan dalam memudahkan urusan dan membahagiakan rumahtangga.

Sumber: Zaim Zin

Published by
Suhaidah Abd Wahab