Susahnya mendengar kata penghargaan apatah lagi pujian daripada suami. Mungkin juga sesetengah suami ‘berat mulut’ untuk memberi kata-kata pujian. Cukup dengan tindak tanduk sahaja.
“Sayang masak apa tu? Sedapnya bau semerbak sampai ke luar ni”
Bagaimana agaknya hati si suami ini tatkala meluahkan rasa penuh penghargaan ini kepada isterinya? Mungkin berbunga-bunga menghargai nilai pengorbanan isterinya yang berkesempatan meluangkan waktu masak hidangan kegemaran biarpun dalam kekangan waktu sibuk.
Bagaimana pula perasaan si isteri yang sedang memasak di dapur tatkala mendengar pujian penuh pengharapan si suaminya. Ini jawapan daripada Mohd Shariman Che Deris, Professional Learning Fasilitator (mastery) @ Ketua Pembelajaran Excite Learning Consultancy tentang kupasan ini.
Seorang isteri yang bekerjaya, mungkin bangun seawal jam 5.30 pagi, menyiapkan tidak hanya dirinya malah juga anak-anaknya, setelah selesai dan siap semuanya isteri akan mula ke pejabat sambil mungkin singgah dulu di sekolah, hantar anak-anaknya. Bagaimana dengan si suami? Berkemungkinan akan buat perkara yang sama atau mungkin juga hanya bersiap untuk dirinya.
Berpenatan di pejabat dengan segala macam karenah manusia dan dokumen yang bersusun di pejabat, si isteri akan kembali ke rumah. Mungkin juga ambil anak-anak di rumah pengasuh, mungkin juga singgah ambil di sekolah. Usai sampai di rumah, rehat seketika melepaskan penat seharian bekerja kemudian akan menari berirama di dapur menyiapkan hidangan kegemaran keluarga, mungkin juga perlu bersingsing lengan mengemas rumah sekadarnya sahaja beriringan dengan membasuh baju.
Membacanya sahaja sudah membuatkan kita terasa penat apatah lagi apabila benar-benar mengalaminya. Di kala hampir maghrib, mungkin akan kedengaran enjin kereta atau motosikal si suami, masuk dengan tenangnya menegur dan bertanya khabar isteri dan anak-anak langsung terus ke bilik berehat kepenatan. Apa tidaknya seharian di pejabat dan bekerja tentu saja penat dengan segala macam ragam renyah kerjanya.
Si isteri? Tidakkah dia juga bekerja seharian? Tidakkah sama saja nilai penatnya tu?
Ini yang kadang-kadang suami lupa dan terabai tanpa sedar.
Jawapan:
Seringkali dek kerana tiada rungutan dan keluhan daripada isteri, suami akan semudahnya menganggap bahawa isterinya dengan rela hati melakukan kerana Allah S.W.T kerana berkorban dan cintakan suami serta keluarganya.
Isteri berkorban hati bermakna dia melakukan atas rasa tanggungjawab, atas sebab dia adalah seorang isteri maka inilah rutin kerja sebagai seorang isteri yang mesti dilakukannya. Tidak salah nilai ini namun yang perlu ditimbang oleh suami adalah di mana cinta dalam pengorbanan ini? Apakah boleh ditranformasikan istilah isteri berkorban hati ini kepada seikhlas hati?
1.Isteri yang kepenatan akibat sentiasa perlu berkorban untuk keluarga hingga dirasakan tidak ada waktu privasi untuk dirinya.
2.Isteri yang merasakan hanya dirinya yang lebih berkorban untuk keluarga, hingga dia tidak nampak peranan suami.
3.Isteri yang waktunya hanya terikat dalam lingkungan kerja rutin suri rumah dan menikmati suasana luar hanya di medsos.
4.Isteri yang berkerjaya apatah lagi jika berpendapatan lebih daripada suami dan perlu berkorban lagi menguruskan keluarga.
5.Isteri yang tidak hanya perlu menguruskan suami dan anak-anak malah juga perlu menguruskan mertua dan ipar duai tinggal serumah.
1.Hadirkan rasa empati dalam setiap pengorbanan isteri melalui kata pujian dan penghargaan, bantu ringankan kerja isteri. Bila isteri lipat baju, datang dan bantulah melipat baju sama.
2.Berikan penghormatan kepada isteri. Bawa berjalan, cuti sekeluarga, bawa keluar makan, adakan hari cuti isteri dan seumpamanya. ebut kepada isteri depan anak-anak kenapa penghormatan ini diberikan kepada isteri. Isteri akan rasa terharu.
3.Berikan kejutan hadiah daripada masa ke semasa untuk isteri sebagai tanda menghargai pengorbanannya. Tentu saja berbunga setaman harum semerbak hati isteri jadinya.
4.Senyum, berbicara dan berikan masa serta ruang sebanyaknya kepada isteri untuk bermanja dengan anda, suaminya.
5.Penuhkan hati dengan perasaan cinta kepada isteri dan tentu sahaja setiap pengorbanan isteri walau sekecil mana sekali pun akan sentiasa dipandang tinggi.
6.Bertanya khabar isteri. Sudah tentu, isteri akan rasa suami sangat concern dan ambil tahu kesusahan dirinya.
Ini adalah nilai pengorbanan yang priceless dan perlu jadi sandaran untuk setiap suami dan isteri dalam rumah tangga. Isteri tidak berkorban hati sebaliknya berkorban kerana cinta dan keikhlasan. Bila suami faham nilai pengorbanan isterinya, dia akan lebih tahu dan faham bagaimana untuk menghargainya kerana cinta.