Penantian Berakhir, Berkecai Harapan Ibu, Anak Yang Diharap Selamat Ditemui Meninggal

Share

Sesungguhnya cukup sedih apabila penantian seorang ibu yang menanti kepulangan anaknya berakhir dengan tragedi pilu apabila anaknya ditemui meninggal dunia.

Sejak awal lagi sang ibu meletak harapan tinggi yang anaknya ditemui selamat kerana anaknya berpengalaman luas di laut, namun kuasa Allah mengatasi segalanya.

Penantian seorang ibu berakhir dan sesungguhnya berkecai harapan ibu, anak yang diharap selamat ditemui meninggal dunia.

Pihak MW merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa lemas dan mengharapkan mereka tabah berdepan ujian.

Penantian Ibu Berakhir

Penantian ibu kepada mangsa bot karam yang hilang berakhir apabila mayat anaknya ditemui petang hari ini.

Hurani Awang, 73, dilihat menangis sebaik mayat Asaari Leh, 46, tiba di jeti Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (APMM Tok Bali di sini, pada 10 malam.

Dia terpaksa dipapah ahli keluarga untuk ke kereta untuk ke hospital bagi pengecaman identiti mangsa.

Kakak tiri mangsa, Rohana Mohd, 52 berkata, sejak kehilangan Asaari, ibu mereka setia menanti berita adiknya di jeti APMM.

Menurutnya, ibunya menaruh harapan agar Asaari ditemui selamat kerana arwah seorang yang handal berenang dan sudah biasa turun ke laut sejak usia 15 tahun.

Baca Juga Di sini:

Lelaki Dijadual Bernikah Hari Ini, Dikhuatiri Lemas Mandi Pantai

4 Sahabat Ditemui Tidak Sedarkan Diri Dalam Kereta, Dipercayai Lemas Karbon Monoksida!

Mak Ayah Ingat Hilang, Rupanya Lemas Motosikal Terbabas Dalam Sungai

Untuk info lebih menarik, klik saja di sini. 

Berkecai Harapan Ibu

“Namun, sebaliknya apabila kami dapat berita mayatnya ditemui pada 6.40 petang tadi.

“Kami dapat sahkan mayat itu (Asaari) kerana ada ahli keluarga di sana (Pulau Perhentian) yang sudah melihat mayat adik,” katanya ketika ditemui di jeti APMM.

Rohana berkata, mangsa tinggal bersama ibunya di Gong Keding, Sungai Petai dan hubungan mereka memang rapat.

“Kami ucapkan terima kasih kepada semua anggota bertugas yang mencari mangsa dan orang awam yang menemui mayatnya,” katanya.

Anak Yang Diharap Selamat Ditemui Meninggal

Mayat Asaari dibawa oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali sebelum diserahkan kepada bot Penyelamat 7 untuk dibawa ke jeti APMM dan dihantar ke Hospital Besut oleh pihak polis bagi proses bedah siasat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mayat nelayan itu ditemui kira-kira 8.3 batu nautika dari lokasi botnya dilaporkan karam.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung pada 5.30 petang.

“Sebaik menerima berita penemuan mayat berkenaan yang disyaki berkaitan dengan kehilangan seorang mangsa bot karam pada 31 Disember lalu, KM Tok Bali diarahkan ke jeti Pulau Perhentian untuk bawa pulang jenazah ke Kelantan.

“Kita mengambil masa dua jam untuk tiba di jeti APMM kerana berdepan cuaca mencabar dan ombak besar,” katanya.

Beliau berkata, APMM bersama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Taman Laut Negara dan lain- lain anggota mencari dan menyelamat (SAR) menggerakkan enam aset laut dan tiga aset udara bagi mencari mangsa.

Katanya, SAR membabitkan 93 pegawai dan anggota dengan operasi pencarian seluas 3,397 batu nautika bagi empat hari operasi.

Sentiasa Beritahu Maklumat Lokasi

“Kami nasihatkan kepada komuniti maritim dan nelayan memberikan maklumat seperti lokasi dan berapa tempoh masa jika mereka turun ke laut kerana cuaca ketika ini agak berbahaya untuk aktiviti laut.

“Maklumat ini penting supaya jika berlaku kecemasan atau perkara tidak diingini seperti kejadian bot karam ini, pihak penyelamat dapat membuat tindakan lebih pantas bagi usaha menyelamat, namun jika boleh elakkan seketika aktiviti di laut buat masa ini,” katanya.

Khamis lalu, empat nelayan selamat, manakala seorang dilaporkan hilang apabila bot yang dinaiki karam ketika mereka sedang menangkap ikan di perairan Pulau Perhentian.

Mangsa yang terselamat adalah tekong bot, Tuan Azhar Tengku Long, 47, dan anaknya, Tuan Azrizal, 19, dan awak-awak, Norizan Yusof, 45, serta Mohd Azri Mohd Rasdi, 28.

MW: Bukan mudah seorang ibu menerima kehilangan seorang anak, apatah lagi hubungan mereka memang rapat. Al-fatihah. 

Sumber: myMetro

 

Published by
Team MW