Pempengaruh Eyka hilang di hutan Indonesia, sah gimik demi view murahan. Bodoh tak perlu dijual beli. Dan tak perlu borong semua. Itu kata Caprice ketika mendedahkan tindakan pempengaruh Ammar Nzahan yang membuat konten menipu demi mengejar view.
Kisah kehilangan pempengaruh Eyka di sebuah hutan di Indonesia menjadi topik hangat di media sosial. Kononnya, dia hilang lebih 48 jam selepas menjalani penggambaran kandungan paranormal. Namun, segalanya terbongkar apabila pihak polis Indonesia mengesahkan bahawa ia hanyalah satu cerita palsu yang direka untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut.
Pempengaruh Eyka Hilang Di Hutan Indonesia
Menurut laporan awal, Eyka dikatakan “hilang” tanpa dikesan sewaktu menjalani penggambaran di sebuah kawasan hutan yang kononnya keras dan penuh misteri. Produksi Ammar dilihat memainkan elemen suspens dengan memuat naik video kru yang cemas mencari Eyka, malah ada yang bertindak seolah-olah kejadian ini benar-benar mengancam nyawa.
Polis Indonesia Dedah Kebenaran
Laporan KumparanNews pada Khamis mengesahkan bahawa siasatan polis mendapati kehilangan Eyka hanyalah rekaan semata-mata. Menurut Kapolsek Panyileukan, Kompol Kurnia, individu yang terlibat, termasuk Ammar dan Aras, mengaku bahawa mereka sengaja mencipta kandungan palsu ini tanpa menyedari akibat undang-undang.
“Keterangan Ammar dan Aras menjelaskan mereka membuat siaran langsung di Bukit Embah Garut RT 05, RW 09, Kelurahan Cisurupan, Kecamatan Cibiru, Kota Bandung pada Ahad lalu menerusi TikTok dengan cerita sensasi ‘pempengaruh Malaysia (Eykaa) hilang selama 48 jam selepas membuat kandungan paranormal’.”
“Kandungan sensasi itu dibuat semata-mata untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut. Mereka tidak sedar bahawa undang-undang Indonesia mengenakan hukuman tegas terhadap penyebar berita palsu,” jelasnya.
Tambahnya, kandungan tersebut juga tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa, meskipun pengurus wilayah setempat telah memberi kelulusan. Akibatnya, pempengaruh terlibat telah dipanggil pihak polis untuk memberikan keterangan, seterusnya memohon maaf secara terbuka dan menandatangani kenyataan bertulis serta video pengakuan bahawa mereka tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Bodoh Tak Boleh Dijual Beli
Penipuan sebegini bukan sahaja memperbodohkan penonton, malah menjejaskan kredibiliti industri hiburan digital. Gimik murahan seperti ini mungkin mampu meraih tontonan seketika, tetapi kesan jangka panjangnya lebih buruk – hilangnya kepercayaan penonton.