“Bila ibu meninggal, saya rasa hidup ini sudah tiada arah…”

Itulah ungkapan jujur yang terbit dari hati pelakon dan pengacara tersayang, Scha Alyahya, apabila mengenang pemergian ibu tercinta, Allahyarham Junainah Hashim, pada 7 Disember tahun lalu.

“Pemergian Ibu, Separuh Jiwa Saya Pergi Bersama. Tapi Saya Belajar Reda” – Scha Alyahya

Bagi Scha, kehilangan insan yang paling banyak memberi kasih, doa dan semangat dalam hidupnya bukan sekadar satu detik yang menyedihkan. Ia seperti separuh daripada jiwanya turut pergi bersama.

Tak Mampu Tahan Sebak

Dalam podcast Wardah Heart to Heart bersama Dayah Bakar, Scha yang tidak mampu menahan sebak, berkongsi betapa peritnya perjalanan yang sedang dilaluinya.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/kami-berkongsi-minat-yang-sama-scha-al-yahya-dedikasikan-koleksi-beg-tangan-pertama-untuk-arwah-ibu/

Ads

“Pemergian Ibu, Separuh Jiwa Saya Pergi Bersama. Tapi Saya Belajar Reda” – Scha Alyahya

“Ibu saya adalah segalanya. Dialah suri teladan saya – seorang wanita yang sangat kuat. Sampai sekarang, saya masih belajar untuk menerima kenyataan. Saya bukan cuba untuk ‘move on’, tapi saya cuba untuk ‘move forward’. Itu pun perlahan-lahan.”-Scha Al Yahya.

“Pemergian Ibu, Separuh Jiwa Saya Pergi Bersama. Tapi Saya Belajar Reda” – Scha Alyahya

Scha yang merupakan anak kedua daripada adik-beradik, cukup rapat dengan ibunya. Hubungan yang terjalin bukan sekadar ibu dan anak, tetapi sahabat jiwa yang saling melengkapi.

“Rumah kami cuma sepuluh minit saja. Tiap hari saya akan hubungi dia. Bila saya ke luar negara pun, mesti video call dua, tiga kali. Malah, setiap kali dapat skrip lakonan, ibu yang pertama akan baca. Hari ini bila dia tiada, rasa kosong itu terlalu nyata.”

Selama hampir dua dekad dalam dunia seni, Scha jarang menunjukkan emosinya kepada umum. Tetapi kali ini, luka di hati terlalu dalam untuk disembunyikan.

Ads

Ibu Pembuka Jalan

Menyingkap kembali permulaan perjalanan seni, Scha tidak pernah lupa bahawa ibunya jugalah yang membuka laluan itu.

“Dulu saya pernah bertugas sebagai pramugari. Bila berhenti, saya tak tahu nak buat apa. Ibu yang diam-diam isikan borang Dewi Remaja. Saya masuk, dan saya menang. Dari situlah semuanya bermula. Tapi saya tahu, semuanya berkat doa ibu.

Rezeki tertulis dalam bidang ini, saya teruskan mencuba juga. Dan 19 tahun masih di sini, saya rasa itu berkat doa ibu saya,” ujar pelakon drama bersiri Awan Dania.

Ads

Kini dalam rutin baru selepas kehilangan itu, pemilik nama Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya memberitahu dia akan meluangkan masa berdua bersama Allah SWT. Mencari kekuatan dengan mendekatkan diri kepada Tuhan apatah lagi tahun ini merupakan kali pertama menyambut Aidilfitri tanpa kelibat ibu tersayang. Saat bersendirian, dia meluahkan segalanya kepada Allah.

“Saya duduk, renung diri, dan bercakap dengan Tuhan. Sakit ini terlalu dalam untuk ditanggung sendiri. Kadang-kadang kita rasa tak kuat, tapi bila ingat Allah, kita jadi reda.”

Scha turut menitipkan nasihat buat semua, terutamanya yang masih punya ibu atau ayah, agar jangan berlengah dalam menghargai mereka. Isteri kepada Awal Ashaari turut mengingatkan individu yang masih mempunyai ibu bapa untuk menghargai dan berbakti sepanjang hayat mereka.

“Kadang-kadang kita ada selisih faham, terasa hati. Tapi semua itu kecil saja. Jangan tunggu kehilangan baru nak hargai. Cakaplah yang kita sayang, walau hanya dengan mesej, panggilan, atau pulang ke kampung. Supaya bila tiba waktunya, kita tidak menyesal, ujarnya penuh rasa sayu.

Pesan yang meresap jauh ke dasar hati, terutama buat para wanita yang kini bergelar ibu – agar tidak lupa, kasih seorang ibu adalah anugerah paling agung yang tak mampu diganti dengan apa pun.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI