Pembentukan kendiri anak bermula daripada kecil lagi. Cita-cita dan impian ibu ayah kepada anak-anak ini harus ditanam sejak daripada itu. Hal ini kerana, pemikirannya, tasawur kehidupan dan persepsi tentang diri, semuanya adalah bermula awal dan tidak menanti dewasa.
Sering kita tanyakan kepada anak-anak tentang cita-citanya apabila dewasa. Persoalan dan pertanyaan ini hakikatnya telah memberikan cetusan idea kepada anak-anak tentang kehidupan dan masa hadapannya. Penumpuan terhadap cita-cita terfokus pekerjaan adalah salah satu daripada cabang yang perlu difikirkan. Malah yang lebih penting lagi tentang makna yang ingin diberikan tentang dirinya dan kehidupan.
Kehidupan Kerana Allah
Bagi meneliti makna itu, sebagai ibu bapa kita haruslah terlebih dahulu faham akan makna dan hakikat sebenar kehidupan ini. Jika kita sekarang dalam satu konteks kehidupan yang kita maknakan sebagai bahagia maka konteks yang sama malah lebih baik lagi hasrat kita untuk kehidupan anak-anak kita.
Namun, pandangan itu harus dilihat dalam konteks hakikat sebenar kehidupan yang diberikan oleh Allah. Mengapakah ia begitu penting? Ini kerana, tujuan asal kehidupan kita ini adalah kerana-Nya dan untuk-Nya sebagai khalifah dan hamba-Nya. Jadi tujuan kehidupan dan hakikatnya harus dapat diberikan makna yang sedemikian.
Daripada pemahaman itu, barulah kita sampaikan hasrat dan impian yang harus wujud dalam pemikiran anak tentang dirinya dan kehidupannya. Bantulah anak-anak kita untuk melihat kehidupan dan dirinya dalam penglihatan yang sebenar agar kehidupannya benar-benar menuju keredaan Allah.
Ia boleh dilakukan menerusi persekitaran kehidupan yang kita tonjolkan dalam kehidupannya. Jadikan diri kita contoh yang terbaik untuk diikuti dan persekitaran yang kita bina di sekitarnya adalah persekitaran yang terbaik untuk pembentukan jati diri dan keperibadiannya.
Rakan penjaga yang dihormati, anak-anak kita dianugerahkan Allah dalam keadaan fitrah yang amat bersih. Tulus hatinya dan kecenderungannya. Berusahalah untuk mengekalkan ketulusan itu menerusi persekitaran yang membantu pembentukan dirinya ke arah yang baik. Mereka tidak menolak kebaikan kerana itu adalah fitrah dirinya. Mereka tidak menolak kecantikan kerana itu adalah kecenderungannya.
Maka tunjukkan akhlak yang baik untuk dicontohi, persekitaran yang baik untuk didiami. Potensi kendirinya amat besar untuk dibangunkan ke arah kebaikan. Usah patahkan semangat fitrahnya dengan perkara-perkara yang memudarkannya. Benamkanlah perilaku negatif kita demi pembentukan generasi yang lebih baik. Ini adalah pengorbanan berbaloi yang harus dan mesti kita lakukan.
Ads
Berakhlak
Rakan penjaga yang dihormati, jika direnungkan Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik”; menunjukkan bahawa matlamat asas kehidupan seorang insan adalah menjadi orang yang berakhlak dan mempunyai adab kerana perkara ini amat dianjurkan oleh Islam.
Jadi di sini, kita dapat memahami pekerti yang baik adalah keutamaan melebihi pekerjaan dan pangkat yang tinggi. Hal ini kerana, jika mempunyai kedudukan yang tinggi sekalipun namun pekerti kurang baik maka tiada maknanya yang tepat di sisi Allah SWT.
Maka inilah antara perkara utama yang harus dipasakkan dalam pemikiran anak agar cara pandangnya tentang kehidupan dan dirinya berada pada landasan yang sebenar iaitu dengan meletakkan keutamaan yang betul dalam kehidupannya.
Pekerti budiman harus bermula dengan ilmu yang tepat mengenai diri dan tanggungjawab kehidupan. Memahami dengan penghayatan yang sebenar akan memberikan persepsi yang tepat tentang diri dan kehidupan seterusnya mempengaruhi pembentukan nilai dan ciri budiman dalam diri anak.
Ads
Inilah kehidupan yang kita harapkan terbentuk menjadi peribadi dan dijelmakan menjadi akhlak dirinya. Ilmu ini boleh dititipkan melalui pemahaman terhadap ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis malah turut juga dapat difahami menerusi perenungan alam dan kehidupan.
Oleh yang demikian, selaku ibu ayah yang amat mengambil berat tentang diri anak, keperluan memenuhi dan mendukung fitrah diri anak ini harus diberikan. Caranya dengan melengkapkan anak dengan ilmu terutama ilmu agama dan kehidupan. Ia harus didatangkan secara beriringan dengan meletakkan keutamaan terhadap ilmu fardu ain berbantukan ilmu fardu kifayah. Insya-Allah generasi budiman dapat kita lahirkan. Wallahualam..
Artikel: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selepas suami meninggal, anak kecilnya langsung tak boleh berenggang dengannya. Tak boleh langsung hilang dari pandangan anak. Nanti anaknya akan menangis ketakutan. Awalnya, ibu ini sangka itu perasaan biasa yang anak lalui selepas kehilangan ayah tercinta.
Tapi anaknya mula menunjukkan 5 perubahan sikap ini. Setiap perubahan itu menunjukkan tanda-tanda ke arah ‘separation anxiety’ . Sudahnya ibu ini, Zureiny Zulkafly sukar untuk membuat rutin harian disebabkan anak yang tak boleh berenggang.
Perubahan Sikap Anak Dan Tanda ‘Separation Anxiety’
“Ibu”. Telinga saya menangkap laungan Aina. Nyaring dari dalam bilik tidur.
Berkerut juga dahi. Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun. Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.
Saya diam sahaja. Tidak menyahut walau sepatah. Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.
“Ibu!” Laungannya semakin kuat. Darah saya mula menyirap. Hati saya mula hendak marah. Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik. Mulut saya mula membebel.
Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik. Saya terkedu. Wajah Aina basah dengan air mata. Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh. Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.
“Kenapa ni dik?” tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.
“Adik nak ibu,” balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus. Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.
“Ibu ada. Ibu tak ke mana pun.” Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat. Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat. Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.
Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby. Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.
Sejak itu, saya mula memahami tentang ‘separation anxiety’ ataupun perpisahan sementara. Saya sangkakan ia perkara biasa. Fikir saya, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya. Malah saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa.
Salah saya. Saya ambil mudah perkara ini. Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina. Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.
‘Separation anxiety’ ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun. Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.
Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina. Pada saya simptomnya seperti ‘separation anxiety’ tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.
SUKAR BERENGGANG
Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Anak saya cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan. Seterusnya, dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya. Si kecil saya ini takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang.
Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya. Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya. Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.
Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.
RASA TIDAK PERCAYA
Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya. Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya. Pergerakan saya seperti diawasi. Tindak tanduk saya diperhati. Mujurnya, saya bekerja di rumah. Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.
Dia sentiasa curiga dengan sikap saya. Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu. Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.
TAKUT PADA ORANG LAIN
Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka. Namun, ketakutan Aina sangat ketara. Sukar untuk sesiapa mendekatinya.
Aina bersikap pemerhati. Dia tidak akan memulakan perbualan. Jauh sekali menegur orang di sekeliling. Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.
KERAP MENJERIT
Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya. Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun. Dia sukar memahami apa yang terjadi. Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya.
Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti. Aina menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa. Malah dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik. Anak kecil saya ini pernah minta saya ‘bertukar’ tempat dengan hubby. Ini kerana, dia mahukan ayahnya kembali.
Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak. Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya. Allahu Akbar. Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.
SUKA MENANGIS DAN MERAJUK
Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena. Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk. Tidak tentu arah saya dibuatnya.
Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga. Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby. Saya pun masih di dalam ‘iddah dan berkabung. Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu. Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.
Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal. Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia. Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil. Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman. Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.
Setiap ujian ada hikmah. Setiap yang payah ada yang mudah. Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.
Dengan 5 Cara Ini Ibunya Atasi ‘Separation Anxiety’ Anak
‘Separation anxiety’ yang dialami oleh Aina sebenarnya normal. Setiap anak kecil akan merasa cemas atau takut jika dia terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaganya. Cuma keadaan Aina agak keterlaluan sehingga dia seperti tidak mampu berdikari.
Aktiviti seharian saya agak kacau bilau kerana saya terpaksa memberi tumpuan padanya bila dia mencari saya. Kalau tidak, dia akan menjerit dan merajuk. Rajuk yang sukar dipujuk. Aina juga tidak dapat menikmati masa dia bermain kerana dia terlalu risau saya tinggalkan dia.
Jadi, saya luangkan masa membaca ilmu ‘parenting’ berkenaan isu ini. Banyak saya perolehi di blog dan artikel juga daripada pengalaman orang lain. Sedikit sebanyak membuatkan saya faham keadaan Aina.
VISUAL DIRI SEBAIK MUNGKIN
Anak kecil belajar daripada pemerhatian dan dia akan mengikut apa yang orang dewasa lakukan. Setiap perkara yang dilihat akan disimpan dalam memori. Jadi, saya visualkan diri saya sebaik mungkin. Bukan berlakon atau berpura-pura tetapi saya menjadi seorang ibu yang baik di matanya.
Setiap kali dia panggil, saya akan muncul di hadapannya. Saya ketawa dan mengacah Aina. Itulah yang membuatkan dia gembira. Saya tidak sekali-kali menyakat Aina dengan menyorok atau melarikan diri kerana sikap itu menakutkan Aina.
Sekiranya saya di dalam bilik air, saya akan mengetuk pintu dari dalam. Fahamlah Aina saya memang ada di sekitarnya. Visual-visual diri yang baik dan positif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Aina terhadap saya.
TIDAK BERBOHONG
Saya tidak akan menyelinap untuk keluar rumah. Kalau mampu saya bawa, saya akan bawa sekali. Jika tidak, saya akan minta ibu atau adik perempuan saya menjaganya. Saya akan jelaskan tujuan saya keluar sama ada dia faham atau tidak.
Saya tidak berbohong tentang ayahnya. Dari awal memang saya memberitahu bahawa ayahnya telah tiada. Ayahnya tidak akan pulang ke rumah. Walaupun sedih melihat anak berduka dan memberontak tetapi itulah jalan terbaik. Kejujuran penting dalam membentuk peribadi anak yang positif.
Cara saya ini banyak membantu Aina memahami apa yang sedang dilalui kerana semua perkara adalah nyata. Dia harus belajar tentang reality kehidupan meskipun dia masih kecil.
Saya tidak menipu. Saya tidak berbohong. Lama-kelamaan Aina belajar bagaimana untuk mempercayai orang sekelilingnya. Lebih-lebih lagi mempercayai dirinya sendiri.
PENGGANTI YANG BAIK
Maksud pengganti ialah seseorang yang boleh mengambilalih sementara tugas saya untuk menjaga Aina sekiranya saya perlu keluar atas satu-satu urusan penting. ‘Yang baik’ bukan bermaksud sentiasa beralah dan mengikut kehendak Aina tetapi lebih kepada memahami situasi Aina .
Setakat ini, pengganti terbaik adalah ibu dan adik perempuan saya. Sikap mereka yang seakan-akan sikap saya membuatkan Aina rasa selamat dan dilindungi. Walaupun cemas juga sewaktu ditinggalkan tetapi Aina boleh sesuaikan diri.
TIDAK MEMAKSA
Untuk anak yang berhadapan dengan ‘separation anxiety’ ini selalunya sukar untuk menerima dan berinteraksi dengan orang lain. Kelihatan seperti pemalu atau takut-takut tetapi sebenarnya mereka tidak yakin dengan orang sekeliling.
Salah satu cara saya ialah tidak mendesak atau memaksa Aina untuk memulakan kontek dengan orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang asing baginya. Aina selalu anggap orang lain akan mengambilnya daripada saya. Itu sebab dia mengelak. Rasa tidak percaya itu yang membuatkan Aina menolak untuk dihampiri.
Pada awal-awal dulu, saya akan maklumkan juga situasi Aina agar tiada yang terasa hati dengan sikap Aina. Namun, seiring dengan masa, saya tetap mendidik Aina agar menghormati orang sekeliling terutamanya orang tua. Saya tidak mahu anak saya dianggap kurang adab kerana takut untuk bersalam.
KUKUHKAN HUBUNGAN
Antara semua usaha yang saya lakukan, inilah yang paling utama. Saya kukuhkan hubungan saya dengan Allah kerana hati anak tetap bukan milik saya. Hidayah milik Allah. Saya ikhtiar mengikut batas kemampuan dan ilmu yang saya ada.
Bersama Afrina dan Aina, saya kukuhkan lagi hubungan ibu-anak. Afrina yang sudah berusia 14 tahun saya jadikan sahabat baik saya. Dialah tempat saya bercerita pelbagai kisah. Saya ambil tahu minatnya dan berkongsi apa yang dia suka.
Saya manjakan Aina kerana dia masih kecil. Pelukan dan ciuman dari seorang ibu akan mengalirkan aura positif dan selamat dalam diri si anak. Kata-kata yang baik dan gurau senda sentiasa melingkari hidup kami.
Setiap perkara yang sukar selalunya ada hikmah di sebaliknya. Saya pun banyak belajar daripada perubahan emosi dan sikap anak-anak selepas pemergian hubby. Dalam usaha saya memberi kehidupan yang baik buat mereka, Allah berikan saya kekuatan dan ketenangan untuk melalui takdir hidup saya.
Percayalah anak kecil lebih suka tengok rumah bersepah dan lambakkan permainan-permainan mereka. Lagi nampak bersepah, lagi mereka gembira.
Eh, tapi ada orang kata itu jenis mak ayah yang tak pandai ajar anak! Tolong ya, jangan sampai berfikir dan keluarkan pandangan yang agak negatif itu.
Sebenarnya ada anak kecil ini seronok, tengok si kecil gelak pun boleh buat hati bahagia. Tambah pula apabila anak-anak sudah pandai berjalan, memang letih nak melayan karenahnya, tetapi merekalah sebenarnya individu yang mampu ‘merawat’ keletihan kita dikala baru pulang kerja.
Setiap ibu bapa impikan anak yang soleh solehah dan mendengar kata. Kanak-kanak seawal usia 5 hingga 6 tahun agak sukar untuk dikawal. Ya, ramai mak ayah yang tidak dapat menahan sabar apabila anak sepahkan rumah.
Tapi selepas membaca perkongsian ini, pasti ramai ibu bapa akan rasa kecewa dengan diri sendiri kerana merosakkan zaman kanak-kanak mereka.
Tak perlu hairan, memang inilah perkataan para ahli pendidikan anak. Jika anda ada anak-anak, tapi rumah selalu kemas, tersusun, bersih, dan segala sesuatunya di tempatnya, maka itu petanda bahawa anda adalah mak ayah yang agak pelik.
Kenapa? Haaa… rumah sangat kemas padahal ada anak-anak, itu bererti ada tindakan melarang, memaksa, dan ‘tangan besi’ yang diterapkan kepada anak-anak.
Kehidupan Sebenar Anak Dirampas
Percayalah rumah yang selalu kemas itu menunjukkan masa kanak-kanak yang dirampas, daya imaginasi yang terpenjara, dan jiwa yang disekat-sekat.
Anak-anak kita itu lebih penting daripada kerusi, meja, bunga, hiasan dinding, dan karpet yang ada di rumah kita.
Jadi tak payah rasa sakit hati kenapa kalau rumah menjadi kotor, pensil-pensil warna disana sini, dan kertas-kertas bertaburan. Kalau mak ayah melarang bermain, itu seperti anda menyekat mereka daripada terus berkarya. Atau kata mudah bertindak lebih kreatif.
Alaaahh… tak susah pun, kalau nampak anak-anak dah penat dan tak main… ajarlah anak kemas balik. Mudah kan?
Rumah Bersepah Itu Tanda Anak Seronok Dalam Dunia Kanak-kanak
Kertas-kertas yang bertaburan dan terkoyak bersepah adalah petanda hidup anak kita sangat bebas. Jadi anak-anak akan bahagia untuk berimaginasi dan itu petanda bahawa anda adalah mak ayah yang baik dan hebat!
Rumah yang tidak ada anak-anaknya adalah umpama rumah yang tak hidup. Seperti duduk di taman permainan tetapi tak ada kanak-kanak bermain. Nampak?
Maka kalau ada anak-anak yang tengah seronok bermain, ajarilah mereka tentang aturan dan didiklah mereka untuk tertib dengan aturan itu. Jangan jadi mak ayah yang terlalu garang dan lagi teruk sampai anak takut nak bertindak lebih kreatif, tapi biarkan anak terus berani berkarya dan in shaa Allah anak membentuk jadi confident bila disuruh buat sesuatu.
Tip Didik Anak Kecil Suka Sepahkan Mainan
Bukan tak boleh nak ajar anak disiplin tetapi tengok umur, kalau anak yang kecil dalm 2-3 tahun biarkan sampai mereka bermain dan mak ayah boleh guna dua pilihan ini…
1. Biarkan anak bermain dalam dunianya, tengok mereka beralih arah tengok tv, terus suruh anak kemas barang yang dia dah main tadi.
2. Atau pilihan kedua, biar anak bermain sampai penat. Bila anak dah tidur kemas barang mainan yang sudah disepah. Agak penat, tetapi ini yang terbaik daripada anda sekat anak bahagia dalam dunianya.
Tolong ya mak ayah, fahamilah corak pemikiran si kecil. Jangan kita jadikan alasan nak ajar anak pandai kemas untuk menangkan keputusan kita. Ya, memang perlu diajar. Tapi kena tepat masanya.
Pegang kata-kata ini, kita adalah orang yang berpengalaman tapi anak-anak tak pernah lagi melihat dunia. Jadi kenapa harus kita harapkan anak-anak kita faham dan selari dengan pandangan kita? Moga mak ayah di luar sana mampu mendidik dan membesarkan anak-anak dengan cara terbaik pada zaman segalanya di hujung jari.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Betapa pentingnya hubungan mak ayah dengan Allah, andai terbabas ‘ke tepi’ yang jadi mangsanya mestilah anak-anak.
Inilah yang cuba disampaikan oleh Puan Farhana Muhammad dalam perkongsian ilmunya tentang hubungan dengan Allah. Andai tersasar, cepat-cepat berbalik kepada amalan harian. Muhasabah diri dan baiki apa yang dirasakan masih ‘bocor’.
Semak Hubungan Mak Ayah Dengan Allah
Jika dilihat kehidupan kebanyakan orang yang hebat dan tetap taat kepada Allah walau di mana sahaja posisi mereka, lihatlah pada sosok tubuh ibu dan ayahnya.
Lihatlah sejauh mana hubungan ibu dan ayah kepada Pencipta. Sungguhlah, jika betul-betul diperhati, hubungan ibu ayah dengan Allah berkait rapat dengan pendidikan anak-anak.
Sebagai contoh, Imam As-Syafie. Ibu Imam As-Syafie akan memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan berwuduk sebelum menyusukan anaknya.
Salah satu penceramah yang digemari ialah Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa. Sejak dulu lagi suka betul dengan penyampaian ustazah. Apatah lagi sekarang ini diri sendiri mencari-cari pendidikan terbaik buat anak-anak amanah Illahi.
Mak Ayah Kena Banyak Muhasabah Diri
Jika diikuti kuliah-kuliah ustazah, pasti ada serba-sedikit perkongsian ustazah pengalamannya sendiri dalam mendidik anak-anak, hubungan suami antara suami isteri, walaupun tajuk kuliah bukanlah berkisar hal ehwal kekeluargaan.
Pengalaman yang diceritakan ustazah dalam mendidik anak-anak dan atmosfera rumah tangga bukanlah seperti kisah fairy tale, segalanya indah dari awal sehingga akhirnya. Ada masanya tertekan, ada masanya gelisah, ada masanya marah, ada masanya kecewa, yang mana segala perasaan yang dilalui bukanlah indah-indah belaka.
Tetapi apa yang dapat diperhati, ustazah cukup menekankan kita sebagai ibu bapa banyakkan bermusabah diri sendiri dan berdoa kepada Illahi.
Sejauh mana hubungan ibu ayah dengan Allah, berkait rapat juga dengan pendidikan anak-anak.
Tak Melepaskan Anak Ke Sekolah Selagi…
Pernah ustazah bercerita perihal ibunya, sewaktu kecil ustazah masih di bangku sekolah. Cerita ustazah, ibunya usai solat Subuh pun masih bertelekung. Telekung solatnya ditarik ke atas bahu supaya senang untuk ke sana ke mari dalam mengurus anak-anak sebelum ke sekolah.
Biasalah, adegan sebelum ke sekolah rata-ratanya kelam-kabut. Anak tudung tak tahu entah ke mana, stokin pula hilang pasangannya. Kelam-kabut ini akan menimbulkan emosi yang tidak baik kepada anak yang nak bersekolah. Kata ustazah, beliau pun tidak berkecuali.
Sebelum ke sekolah, ibu ustazah tidak akan lepaskan anak-anak ke sekolah kecuali selesai tiga perkara (ketika anak-anak bersalam dengan ibu):
1. Selawat kepada junjungan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. 2. Baca surah Al-Insyirah (ibu baca sama-sama dengan anak) 3. Maniskan wajah. Senyum tiga (selagi tidak senyum tiga, selagi itu ibu ustazah tidak lepaskan anak-anak ke sekolah).
Doa Didik Anak
Di bawah adalah koleksi doa-doa yang dikumpulkan daripada kuliah-kuliah ustazah. Kita, sebagai ibu tidak seharusnya lupa berdoa walaupun satu hari kepada anak-anak.
Paling mudah, boleh di mana-mana dan saat ketika, ucapkanlah:
“Allahumma faqihhu/faqqihha __________ (sebut nama anak) fiddeen.”
Waktu menyusukan, doakanlah dengan doa tersebut.
Waktu bermain atau melayan anak, ungkapkanlah doa tersebut.
Waktu sikat rambut anak, ucapkanlah doa tersebut.
Waktu marah pada anak, boleh ucapkan doa sedemikian daripada kita doakan yang bukan-bukan.
Ataupun jika dimuatnaik gambar anak-anak di media sosial, boleh juga taip doa sedemikian, mudah-mudahan sampai doa tersebut kepada anak yang dibaca oleh setiap orang.
Kita tidak tahu doa yang mana atau bila doa kita diangkat. Jadi jangan jemu untuk berdoa.
Doa Memohon Keturunan Yang Baik
Doa ini seharusnya diamalkan oleh mereka yang sedang menanti jodoh dan menanti kehadiran cahaya mata. Malahan, jika sudah berasa cukup dengan anak-anak yang ada, teruskan berdoa dengan doa ini supaya Allah mengurniakan keturunan yang baik buat anak cucu kita.
Doa Memohon Supaya Dikurniakan Akhlaq Yang Baik Kepada Kita dan Anak-Anak
Bacalah doa ini sambil membayangkan muka seorang anak. Kemudian baca lagi sambil membayangkan muka anak seterusnya. Jika ada lima orang anak, bacalah doa ini sebanyak lima kali sambil membayangkan muka setiap anak setiap kali berdoa.
Doa Memohon Segala Kebaikan Yang Pernah Diminta Oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Doa ini jika dihayati, cukup indah. Cukup merangkumi semua yang kita inginkan.
Doa Memohon Segala Kebaikan Yang Pernah Diminta Oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Doa Memohon Segala Kebaikan Yang Pernah Diminta Oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Doa Atabul Ghulam (Doa Rintihan Anak Muda) – Meransang Kecerdasan Anak
Doa Atabul Ghulam (Doa Rintihan Anak Muda) – Meransang Kecerdasan Anak
Pengalaman DDUNHM sendiri, ustazah menulis doa ini pada muka surat depan Al-Quran anak-anak. Jadi anak-anak akan baca doa ini sebelum membaca Al-Quran.
Doa yang diamalkan oleh DDUNHM sendiri.
Sesungguhnya, di mana posisi kita berada sekarang bukanlah kerana usaha kita, tetapi berkat doa seorang ibu buat anak-anaknya.
Semestinya kita mahukan sedemikian untuk anak-anak kita bukan?
Mulakan dari sekarang untuk membiasakan berdoa kepada anak-anak.
Nota:
Doa-doa yang panjang boleh ditulis dalam satu buku kecil dan dibaca sama ada usai solat atau usai membaca Al-Quran. Atau mana-mana situasi yang kita rasa selesa.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebak bila Achey dedah isteri serahkan wang gaji ketika bekerja. Terbaru menerusi program realiti TV, Achey memberitahu dirinya sangat kagum dengan pengorbanan suri hatinya...