Pembelian Panik Peniaga & Orang Ramai Punca Beras Putih Berkurangan Di Pasaran, Bekalan Mencukupi Sebenarnya – Mat Sabu

Share

Dewan Rakyat pada Isnin diberitahu bahawa kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran terjadi kerana berlaku pembelian panik atau ‘panic buying’ oleh pengguna dan peniaga.

Keluhan orang ramai kesukaran untuk mendapatkan beras selain harga yang semakin mahal dijawab oleh menteri terlibat hari ini.

Pembelian Panik Peniaga & Orang Ramai Punca Beras Putih Berkurangan Di Pasaran

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, apabila beras import naik harga, permintaan terhadap beras putih tempatan melonjak.

“Bila berlaku kenaikan harga beras import begitu tinggi, yang selalu beli beras import berubah (pembelian) ke beras tempatan menyebabkan berlaku kekurangan (bekalan di pasaran).

“Sebelum ini beras tempatan tidak dipedulikan sangat termasuk oleh para peniaga,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Bagaimanapun, Mohamad memaklumkan kerajaan belum memutuskan untuk melarang warga asing daripada membeli beras putih tempatan.

“Warga asing pun perlu makan, jangan lupa mereka bekerja dan berkhidmat untuk membangunkan negara kita,” ujarnya.

Memetik laporan Sinar Harian, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sebelum itu mencelah dan meminta Mohamad menyatakan keputusan kerajaan terhadap cadangan larangan pembelian beras kepada warga asing.

Mohamad menegaskan, beliau yakin langkah-langkah intervensi yang dilakukan dalam isu kekurangan beras tempatan itu termasuk pelaksanaan Operasi Beras Putih Tempatan akan dapat menangani masalah itu.

Bekalan Mencukupi Sebenarnya – Mat Sabu

Dari segi kedudukan stok bekalan beras negara, menurutnya, sehingga kini stok bekalan beras negara adalah sebanyak 900,000 tan metrik membabitkan 250,000 tan metrik simpanan stok dan 650,000 tan metrik stok dagangan.

“Jumlah ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.

“Sehubungan itu kementerian berpandangan bahawa masih belum terdapat keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan simpanan stok yang berjumlah 250,000 tan metrik,” jelasnya.

Katanya, stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan metrik adalah mencukupi bagi menampung keperluan domestik.

BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Lemon, Tepung Beras & Kunyit Petua Mak Berkesan Hilangkan Jeragat, Tompok Hitam

Beras Pun Kau Tak Pernah Beli, Terima Kasih Beri Cacat Kekal Di Muka Aku – Shuhada

Bersedekah Tak Perlu Kaya, Akak Nasi Lemak Anak Ramai Bersyukur Terima Sumbangan Netizen Dan Beras Era

FORMULA Masak BERAS BASMATHI Nasi Lembut Peroi, Nisbah Sukatan Air Sangat PENTING!

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Seronok dan teruja! Pengalaman krew Mingguan Wanita menyertai kelas Eco Printing di Chalet Perkampungan Orang Asli, Beswoh, Sg Siput, Perak.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros