Bagi suami isteri bekerja dan mempunyai anak-anak yang ramai, memiliki pembantu rumah bagaikan satu ‘keperluan’ bagi memudahkan urusan di rumah. Untuk mendapatkan pembantu rumah terutamanya warga asing bukanlah murah, banyak kos yang perlu dilaburkan.
Namun demikian untuk mendapat pembantu rumah yang setia berniat ikhlas untuk bekerja bukan mudah. Dilema yang sering dihadapi majikan setelah duit ‘berhabis’ berbelas ribu, pembantu rumah melarikan diri beserta barang-barang berharga hanya beberapa bulan bekerja.
Rupanya ia adalah antara modus operandi, taktik komplot yang digunakan oleh ejen dan ‘pembantu rumah’ ini.
Kelas Khas ‘Lakonan’ Menjiwai Watak
Bukan itu sahaja, ‘pembantu rumah’ in turut diberikan kelas bimbingan khas ‘lakonan’ supaya dapat menjiwai watak sebagai pembantu rumah atau amah profesional sepanjang pura-pura berkhidmat dengan majikan.
Golongan wanita warga asing ini yang direkrut menjadi penjenayah oleh ejen penipuan amah berlakon memberikan khidmat cemerlang sekali gus meraih kepercayaan majikan yang menggaji mereka.
Namun mangsa yang mula jatuh kasih dengan sifat rajin ditunjukkan pembantu rumah itu hanya menyedari ditipu apabila amah terbabit melarikan diri kurang sebulan selepas bekerja.
Dalam ratusan kes dilaporkan, pembantu rumah terbabit menggunakan ruang dan kesempatan bagi mengenal pasti lokasi sulit majikan menyembunyikan pasport mereka, barang kemas dan wang di dalam rumah sebelum mencurinya.
Komplot Dirancang Ejen & Wanita Warga Asing
Mendedahkan perkara itu, Ketua Biro Pengaduan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima ratusan aduan daripada majikan sejak beberapa tahun lalu membabitkan kes seumpama itu.
Menurutnya, majikan bukan hanya kerugian wang dibayar kepada ejen, malah barang kemas, wang dan harta berharga lain turut dilarikan pembantu rumah.
“Apabila diteliti aduan diterima, kejadian ini adalah komplot dirancang membabitkan ejen tempatan dan wanita warga asing yang menyamar sebagai pembantu rumah.
“Ejen bertindak sebagai pihak menguruskan kemasukan pembantu rumah ke negara ini serta mencari majikan melalui media sosial.
“Ejen kemudian menetapkan harga bagi kos pembantu rumah sebelum menghantar wanita itu ke kediaman majikan. Biasanya harga ditetapkan jauh lebih rendah berbanding pasaran bertujuan memerangkap mangsa,” katanya.
Pura-Pura Baik Sebelum Larikan Diri
Menurutnya, pembantu rumah dihantar itu kemudian berpura-pura berkhidmat dengan baik sebelum melarikan diri bersama barang kemas milik majikan.
“Ini adalah game ( permainan) sindiket apabila mereka memperoleh dua keuntungan iaitu melalui caj pembantu rumah dibayar mangsa serta barang berharga mangsa yang dilarikan suspek.
“Saya nasihatkan orang ramai berwaspada dan hanya menggunakan ejen berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia bagi mengelak ditipu.
Terdesak Ingin Pembantu Rumah
Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa) Datuk Foo Yong Hooi berkata, agensi haram seumpama itu menyasarkan mereka yang terdesak untuk mendapatkan pembantu rumah.
Ads
“Memandangkan syarikat tidak berlesen, kebanyakan pekerja pembantu rumah ditawarkan mungkin tiada dokumen sah.
“Ada lebih 600 syarikat layak menyediakan pekerja domestik. Mereka berminat boleh menyemak senarai di laman web Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya.
Menurutnya, tawaran pembantu rumah warga asing dengan kadar segera oleh ejen meragukan adalah tidak masuk akal.
“Biasanya proses pengambilan pekerja asing mengambil masa bagi memenuhi syarat dokumentasi dan pelbagai urusan lain,” katanya.
Terbaharu lima individu kerugian hampir RM100,000 selepas terpedaya dengan sindiket agensi menawarkan perkhidmatan pembantu rumah yang beroperasi secara haram.
Rata-rata mangsa mendakwa orang gaji mereka melarikan diri selepas dua atau tiga bulan bekerja.
Lebih menyakitkan hati, orang gaji yang melarikan diri itu turut mencuri barangan berharga milik mereka sebelum laporan polis dibuat terhadap suspek.
Pura-Pura Penyayang Sebelum Hilang
Berpura-pura penyayang dan mampu menjaga warga emas sebelum melarikan diri.Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 38, berkata, dia antara mangsa yang terperdaya dengan lakonan pembantu rumah yang diambil bekerja sejak awal Jun lalu.
“Saya guna khidmat ejen yang melalui laman sosial Facebook. Ejen itu menawarkan harga agak rendah berbanding caj dikenakan ejen berdaftar lain melebihi RM7,000.
“Saya terdesak menggunakan khidmat pembantu rumah warga asing bagi menjaga bapa saya yang uzur dan baru keluar dari hospital. Pada masa sama, saya harap pembantu rumah itu menguruskan anak perempuan saya berusia tujuh tahun,” katanya yang bertugas di agensi kerajaan di ibu kota.
Menurutnya, ketika awal diambil bekerja, wanita bernama Suminah berasal dari Malang, Indonesia itu mempamerkan sikap rajin dan berupaya melakukan semua urusan rumah tangga.
Ads
“Tidak hanya urus makan minum warga emas yang uzur, malah dia melayan anak saya dengan baik dan manja. Anak perempuan saya cukup selesa dan gembira apabila ada kawan bermain.
“Namun kemesraan ditunjukkan itu hanya lakonan apabila Suminah yang berusia awal 40-an tiba-tiba hilang mendadak dari rumah. Perkara itu disedari ketika saya pulang bekerja dan mendapati pintu pagar rumah terbuka,” katanya.
Menurutnya, pembantu rumah itu turut melarikan pasport dan wang miliknya.
“Saya yakin semua ini dirancang awal dan ada pihak ketiga membantunya melarikan diri,” katanya.
Tawar Orang Sama, Nama Berbeza
Orang sama, tapi nama berbeza. Itu antara taktik sindiket penipuan pembantu rumah atau amah yang menggunakan individu sama, namun memiliki nama berlainan setiap kali diserah kepada majikan baharu.
Taktik itu amat popular digunakan rangkaian sindiket penipuan amah, malah dianggarkan satu daripada 50 majikan terjerat dengan modus operandi sindiket itu.
Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim yang mendapati kes penipuan amah oleh ejen atau sindiket semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Mohd Afiq berkata, banyak kes dirujuk kepada persatuannya untuk memohon khidmat nasihat daripada aspek perundangan membabitkan kes seumpama itu.
“Terdapat kes dua majikan berbeza ditawarkan khidmat amah sama, namun menggunakan nama berlainan.
“Ini bukan kes terpencil, kita ada beberapa kes yang dirujuk sebelum ini kepada kita (majikan) berdepan dengan situasi sama.
Ads
“Antara kes dilaporkan adalah ejen sindiket menawarkan amah bernama Norlea berusia 40-an. Namun individu sama turut ditawarkan kepada majikan lain menggunakan nama Laila pula.
“Apabila kita bandingkan kedua-dua foto mereka, ternyata ia orang sama, namun menggunakan identiti berbeza. Ini taktik paling popular dalam kalangan sindiket yang dikesan mengenakan bayaran mahal kepada majikan,” katanya.
Beliau berkata, majikan tempatan biasa menjadi mangsa apabila diminta membayar sehingga RM16,000 bagi mendapatkan khidmat pembantu rumah warga asing ini.
“Bagi setiap majikan, ejen mendakwa perlu menampung kos RM6,000 bagi urusan membawa masuk ke negara ini selain perlu membayar RM2,000 bagi kos pengurusan.
“Ini belum termasuk kos bayaran levi pekerja, kos logistik dan latihan sebelum dihantar kepada majikan. Ini semua skrip popular ejen bertujuan memperdayakan majikan sekali gus mengaut keuntungan dengan cara mudah,” katanya.
Menurutnya, pembantu rumah yang diambil dengan bayaran tinggi ini bagaimanapun melarikan diri sebelum diserahkan ejen kepada majikan lain.
“Taktik ini membolehkan ejen berkomplot dengan ‘pembantu rumah’ ini memperolehi keuntungan besar hasil penipuan terancang.
“Terbaharu, kami turut mengesan penggunaan platform media sosial untuk menawarkan khidmat amah. Berwaspadalah kerana ini taktik ejen mencari mangsa baharu,” katanya.
Katanya, majikan biasanya ditimpa bala berganda apabila pembantu rumah yang melarikan diri ini turut mencuri barangan berharga seperti emas, telefon bimbit dan sebagainya.
Menurutnya, kebanyakan kes dirujuk kepada PPMM, pihak persatuan mencadangkan kes berkenaan dilaporkan terlebih dahulu kepada pihak polis supaya kertas siasatan dibuka.
Mingguan Wanita: Memang ‘letih’ hadap isu pembantu rumah ni, macam-macam perangai dan kerenah. Meskipun bukan semua, namun banyak kes yang tak ikhlas bekerja dan memang pasang niat larikan diri walaupun majikan cukup baik dan bertimbangrasa.
Bersua wajah dengan personaliti kali ini hati penulis cukup sayu. Berbisik sendirian bagaimana insan ini berjaya menakluk Gunung Everest dengan keterbatasan keupayaan yang dimiliknya.
Sememangnya semangat yang ada pada Azzrulkhan Hasrullah Matsah, 27 atau lebih mesra dipanggil Adam Khan merupakan graduan yang memiliki Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini boleh dijadikan sumber inspirasi. Adam Khan juga turut membuktikan kekurangan fizikal tidak menghalang kita mencapai impian.
Perjalanan hidup insan OKU ini yang kehilangan kakinya sejak kecil akibat demam panas bukanlah sesuatu yang mudah. Adam membesar dalam persekitaran yang sukar di Sarawak dengan pandangan serong dan persepsi negatif orang ramai terhadap ketidak upayaannya.
“Saya menghidap polio sejak kecil, mula-mula saya kena demam panas sewaktu masih bayi ketika itu berusia lapan bulan. Penyakit polio atau penyakit saraf menyebabkan kelumpuhan kekal sejak saya bayi lagi. Saya tidak mampu berjalan dan berlari seperti orang lain. Kehidupan saya tidak sama seperti mereka yang normal,” ungkap Adam Khan yang cukup peramah.
Teroka Dunia Yang Lebih Luas
Anak keempat daripada sembilan beradik berasal dari Kuching, Sarawak pada hari ini bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam, Centre of Living Independently Program and Services. Menurutnya, peluang melanjutkan pelajaran di UIA telah membuka peluang untuk dirinya meneroka dunia yang lebih luas.
Dari pendakian pertama mendaki Bukit Broga, minatnya mula bercambah dalam aktiviti pendakian. Beberapa puncak gunung dan bukit berjaya ditawan termasuklah puncak Kinabalu. Tahun lalu dirinya telah mencipta rekod apabila sudah berjaya menakluk Gunung Everest.
“Alhamdulillah saya bersyukur dengan kejayaan membanggakan iaitu merangkak dan mengesot untuk menawan Everest,” ujarnya.
Mengimbas kembali sebelum menerima tawaran, Adam Khan menerima panggilan telefon yang menawarkan pendakian ke kem induk Everest. Tawaran tersebut tidak dapat ditolak begitu sahaja.
“Selepas menerima panggilan Bang Qobin dari Kelab Tujuh Benua untuk menjalankan misi cabaran ke Everest saya berasa cukup teruja dan menerima ajakannya dengan hati terbuka,” sambung Adam Khan.
Walaupun tidak sampai ke puncak Everest, namun kejayaannya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp (EBC) wajar diberi pujian kerana semangat juang yang ada pada dirinya sedikit pun tidak menjadikan kekurangannya itu sebagai satu alasan untuk melakukan apa saja yang dia mahukan.
Minta Kawan Ajak Bawa Mendaki
Lupakan tentang kekurangan yang ada pada diri, Adam Khan yang memiliki semangat waja, mula terlintas untuk aktif melakukan aktiviti mendaki selepas melihat seorang rakan memuat naik di laman sosial.
“Semuanya bermula apabila saya terlihat posting seorang kawan di Facebook, gambar selfie di puncak dan dari situ saya rasa ingin tahu tentang aktiviti mendaki. Saya cuba menghubungi dan meminta sesiapa saja yang boleh membawa saya mendaki untuk melihat sejauh mana kemampuan diri saya,” ujar Adam.
Banyak puncak gunung atau bukit yang telah ditawan dan antaranya adalah seperti Bukit Gasing, Saga, Kutu, Gunung Kinabalu dan banyak lagi. Penulis berasakan diri seolah-olah kecil berbanding dengan kemampuan Adam Khan yang telah menawan segala jenis bukit dan gunung yang pernah ditawan.
“Saya melakukan persediaan fizikal dan mental. Fizikal dengan mendaki bukit sebanyak mungkin dalam seminggu dan kerap ke gimnasium. Selain itu, aktiviti berenang dan menyelam juga membantu mencergaskan badan saya.
“Dari segi mental pula, saya mendengar penerangan dan nasihat daripada pakar serta membuat rujukan dan membaca tentang hal-hal yang berkaitan pendakian Gunung Everest,” jawabnya lagi.
Nama Tertulis Di Malaysia Book Of Record
Kejayaannya itu membuatkan namanya tertulis dalam Malaysia Book of Record sebagai pendaki OKU pertama merangkak ke puncak Kinabalu dan pendaki OKU pertama merangkak ke Kem Induk Everest.
Sudah tentu Adam Khan dan keluarganya berasa bangga serta gembira dengan pencapaian yang telah dia lakukan.
“Kaum keluarga dan rakan-rakan banyak memberi sokongan yang padu buat saya. Tanpa mereka, mungkin juga saya tidak berjaya sehingga ke tahap ini,” cerita Adam yang turut menambah isteri, keluarga dan keluarga mentua memberikan sokongan padu dalam kejayaan yang diraih pada hari ini.
Lebih membanggakan lagi, kisah pendakiannya ke Everest telah pun dibukukan. Ia adalah buku sulungnya yang diterbitkan oleh Pojok Karangkraf.
“Buku ini menceritakan keseluruhan kisah hidup saya dari kecil sehingga menjadi pendaki OKU pertama ke kem induk Everest. Menerusi buku ini juga saya kongsikan halangan dan cabaran yang dilalui sepanjang pendakian. Buku saya berjudul Kembara Merangkak Puncak,” akhirnya yang akui banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada pengalamannya untuk dijadikan inspirasi kepada mereka yang senasib dengan dirinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bilal akhirnya pergi jua, berlarilah di taman firdausi wahai anak syurga. Penderitaaan dan kesakitan yang ditanggung oleh Mohammad Bilal Yusra Mohammad Azhar, 3 tahun akibat kecacatan tempurung kepala atau Alobar Holoprosencaphly berakhir di dunia.
Anak syurga ini dijemput kembali menemui Sang Pencipta jam 4.50 pagi tadi sekaligus menamatkan penderitaan yang ditanggungnya sejak lahir.
Bilal Akhirnya Pergi Jua
Seakan tahu dirinya bakal pergi meninggalkan kedua ibu bapa yang menyayanginya, Bilal dilihat agak merengek berbanding perlakuan biasa.
Memetik laporan Harian Metro, Bilal meninggal dunia dalam pangkuan ibu bapanya di rumah mereka di Kampung Sungai Ular, Kulim.
Berlarilah Di Taman Firdausi Wahai Anak Syurga
Ibunya, Nurul Izzati Adawiyah Mohd Zaidi, 26, berkata, dia reda dengan pemergian anaknya yang turut mempunyai masalah jantung berlubang selain tidak dapat melihat dan sumbing sejak lahir.
“Walaupun sedih tapi saya reda dengan pemergiannya, beberapa hari sebelum ini, Bilal nampak seperti biasa cuma dia kerap merenget.
“Dia meninggal dunia ketika disamping saya dan suami pagi tadi,” katanya memaklumkan hal ini.
Nurul Izzati Adawiyah berkata, jenazah anak keduanya itu akan dikebumikan selepas solat Jumaat petang ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ular.
Sebelum ini media melaporkan penyakit Bilal semakin kronik selain kepalanya juga semakin membesar dengan kini mencapai berat 28 kilogram.
Bilal memerlukan penjagaan rapi yang menyebabkan kedua ibu bapanya Mohammad Azhar Arzemi, 31, mahupun isterinya, tidak dapat bekerja tetap walaupun kesempitan wang.
Seorang lagi anak mereka, Nur Khaulah Al-Azwar, 6, pula mempunyai masalah pendengaran serta tulang belakang. Sebelum ini wajah Bilal pernah dipergunakan oleh penipu untuk meraih wang segera dengan menularkan dirinya memerlukan bantuan dan sumbangan daripada orang ramai.
“Saya membesar menonton drama abang-abang dan kakak-kakak semua….”.
Sebak dengar perkongsian Zamarul Hisham yang akui membesar dengan menonton lakonan artis-artis veteran yang mana ada sebahagiannya tidak direzekikan memiliki kemewahan di usia tua.
Melancarkan program Dari Poket Artis Ke Poket Artis, dirinya bersama jiran setaman seperti Syatilla Melvin dan Sam serta Zizan Razak berkongsi rezeki dengan para artis lama berbagi rezeki. Artis veteran ini turut menerima rezeki dari pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri, Milla Jirin yang juga pemilik Bizmillah Catering serta lain lagi.
Program Selebriti Dengan Mufti dibuat dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sempat Pakaikan Baju Raya, Kenangan Terakhir Sebelum Anak Meninggal. Tiada yang lebih memilukan hati mak ayah apabila kehilangan anak tersayang. Anak yang dijaga sejak kecil kini telah tiada lagi. Sukar untuk menerima kenyataan namun harus reda dengan permergiaannya.Apatah lagi ketibaan syawal tidak lama lagi, perasaan rindu, sedih pasti terkesan dihati.
“Jujurnya memang sedih sampai hari ini kerana teringatkannya namun Allah lebih menyayangi Daffrel dan saya bersyukur sempat pakaikan baju raya untuknya.”
Begitu kata Muhamad Firdaus Ismail, 38, bapa kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) terlantar, Muhammad Daffrel, dua tahun empat bulan yang dijemput Ilahi pada pagi Khamis lalu.
Anak Bongsu Meninggal
Anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia selepas enam hari dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru paru.
Pemergian Muhammad Daffrel memberi kesan kepada seluruh keluarganya terutama Muhamad Firdaus dan isteri Norazimah Bunihan, 35, yang berharap dapat menyambut Aidilfitri tidak lama lagi dengan anak istimewa mereka itu.
“Kebetulan, saya dan isteri sudah beli baju raya untuk anak-anak termasuk Daffrel. Kami rancang nak pakai bersama pada pagi Syawal ini namun keadaan Daffrel kritikal pada malam Rabu lalu.
“Dia pun tidak sedar sejak hari kedua dimasukkan ke hospital, malah doktor juga sudah minta kami bersiap sedia dengan kemungkinan (meninggal dunia) dan kerana itu, saya pakaikan Daffrel baju Melayu berwarna hitam sebagai kenangan terakhir.
“Ditakdirkan, Daffrel meninggal dunia pagi esoknya (Khamis) tidak lama selepas bantuan pernafasan ditanggalkan,” katanya.
Anak Terlantar
Bercerita lanjut, Muhamad Firdaus berkata, Muhammad Daffrel disahkan menghidap Cacna1e (isu genetik), kelewatan pembangunan global (GDD), laryngomalacia (saluran pernafasan sempit) sejak berusia empat bulan.
Menyedari keperluan anaknya yang terlantar dan perlu dipantau setiap masa, Muhamad Firdaus berbincang dengan isteri sebelum ambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai cef di sebuah hotel di sini.
“Saya dan isteri buat keputusan yang sukar sebenarnya iaitu salah seorang perlu berkorban demi Daffrel.
“Selepas berbincang, saya yang berhenti kerja kerana jadual rawatan Daffrel yang padat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pada masa sama perlu menguruskan persekolahan abang serta kakaknya.
“Manakala isteri terus bekerja dan ikutkan, saya yang lebih banyak menghabiskan masa dengan Daffrel…jadi pemergiannya amat meninggalkan kesan mendalam hingga ke hari ini.
“Bagaimanapun, sudah takdirnya Daffrel pergi…jadi saya tiada pilihan melainkan reda dengan ketentuan-Nya,” katanya.
Muhamad Firdaus berkata, walaupun terlantar, Muhammad Daffrel tidak banyak meragam, malah sangat mudah dijaga.
@firdaus__ismail Terima kasih semua yang selalu ada dengan Daffrel selama 2 tahun 4 bulan ini, semoga Daffrel tarik kita semua ke dalam syurga bersama dengannya.. aminn ya mujib.. Al-fatihah . in memory Muhammad Daffrel Firdaus bin Muhamad Firdaus #Daffrel#anaksyurga#fyp♬ Sad and lonely – MoppySound