Berapa ramai pemandu dari kalangan kita yang kalih dahulu pandang arah belakang kenderaan atau persekitarannya sebelum membuka pintu kereta. Rata-ratanya pemandu buka pintu dengan tangan kanan terus keluar dari kenderaannya. Tahu tak kalau pemandu amalkan buka pintu dengan tangan kiri ia boleh selamatkan nyawanya sendiri.
Sebenarnya cara buka pintu pemandu dengan tangan kini ini adalah satu teknik yang dinamakan ‘Dutch Reach’. Teknik inilah yang dikesan dapat selamatkan nyawa pemandu dari dilanggar kenderaan lain dari arah belakang.
Sebab itulah pentingnya untuk pemandu melihat dahulu apakah halangan yang mungkin melintasi sebelum membuka pintu kenderaan.
Ianya habit selamat yang diajar di sekolah memandu di negara Belanda.Sebabnya jika pemandu buka pintu dengan tangan kiri secara automatik tubuh badannya akan bergerak untuk memandang ke arah belakang. Dengan ini pemandu akan dapat melihat halangan yang bakal datang ke arahnya.
Kaedah ini menjelaskan semakin jauh tangan anda mencapai tombol pintu kereta, semakin selamat untuk anda.
Ditegaskan sekali lagi, sekiranya anda di tempat duduk pemandu dan mahu keluar, gunakan tangan kiri untuk membuka pintu berbanding tangan kanan.
Dengan itu, secara automatik kepala anda akan perpusing ke arah pintu dan mata anda akan terarah melihat halangan bergerak yang menuju ke kenderaan anda.
Cara ini juga membolehkan anda melihat sama ada kenderaan lain atau pejalan kaki mendekati kenderaan anda dari arah belakang.
Mengguna pakai kaedah ini dan menjadikannya amalan boleh mengelak dari kemalangan yang diakibatkan oleh kecuaian.
Mudah saja kan caranya wahai pemandu Malaysia. Cuma perlu set dekat kepala yang selepas ini bukalah pintu kenderaan dengan tangan kiri anda. Taklah anda keluar tergesa-gesa tanpa sedar rupanya ada bahaya sedang menanti di belakang anda.
Jadikanlah tindakan ini satu habit.