Pemain JDT Kemalangan, Anak Baru Berusia 22 Hari & Ibu Mentua Meninggal

Share

Sudah tiba ajalnya. Belum sempat ahli keluarga lain menatap wajah bayi yang baru berusia 22 hari ini, dia terlebih dahulu dijemput Ilahi.

Menurut perancangan, penyerang JDT, Muhammad Syafiq Ahmad ingin membawa keluarga pulang ke rumah mentuanya di Pendang, Kedah.

Pemain JDT kemalangan, ibu mentua dan anaknya yang baru berusia 22 hari turut meninggal dunia dalam tragedi ini.

Penyerang JDT Kemalangan

Penyerang pasukan bola sepak JDT, Muhammad Syafiq Ahmad, terbabit kemalangan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya terbabas di Kilometer 163 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

Ia menyebabkan bayi lelakinya berusia 22 hari dan dua wanita, Zainab Wahab, 45 tahun, dipercayai ibu mentuanya, dan Titik Sukamti, 30-an yang juga pembantu rumahnya, meninggal dunia.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq, 25; isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25; bersama anak perempuan sulung mereka, Aaira Nur Saffiyya, 2, hanya cedera ringan.

Anak Baru Berusia 22 Hari & Ibu Mentua Meninggal

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.36 pagi.

“Ketika tiba, didapati kenderaan MPV itu berada dalam keadaan remuk teruk dan terdapat tiga daripada enam mangsa yang tersepit.

“Anggota kemudian membuat kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.

Jelasnya, mangsa diserahkan kepada polis untuk urusan selanjutnya sebelum bomba menamatkan operasi jam 6.12 pagi.

Kredit foto: myMetro

Bapa Belum Sempat Cucu

Manakala bapa penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) ini belum sempat menemui cucunya yang maut dalam kemalangan. Menurut Ahmad Ibrahim, 56, keluarganya sudah merancang untuk mengunjungi Syafiq di Johor selepas dikurniakan anak keduanya pada 14 November lalu.

Menurutnya, keluarganya rancang untuk ke Johor pada 11 Disember ini tetapi terpaksa menangguhkan rancangan itu selepas tempat tinggalnya di Bayan Baru dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terkilan Dengan Kejadian Menimpa

Seluruh ahli keluarga terkilan kerana tidak sempat berbuat demikian selepas mereka terbabit dalam kemalangan ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap.

Ahmad berkata, dia menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 4 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, pada awalnya dia menganggap orang yang menghubunginya itu tersilap orang dan menjelaskan bahawa semua anaknya ada di rumah.

“Pada masa itu, saya tidak menyangka bahawa Syafiq yang terbabit dalam kemalangan kerana tidak tahu dia dalam perjalanan ke rumah mentuanya di Pendang, Kedah.

“Dia mungkin ada beritahu ibunya kerana selalu berkongsi apa saja dengan ibunya,”

katanya.

Baca Juga Di sini:

“Kepala Arwah Rapi Berjahit..” Remuk Hati Ustaz Uruskan Jenazah Mangsa Campak Datuk Tiri

Guru Meninggal Kemalangan Jatuh Gaung Dalam Perjalanan Mengajar, Baru Menikah 10 Hari Lalu

Isteri Meninggal Dalam Kemalangan, Suami Hanya Mampu Pangku Buat Kali Terakhir

Kenderaan Hilang Kawalan

Menurut Ahmad, dia yang ke tempat kejadian selepas yakin Syafiq terbabit dalam kemalangan itu mendapati kesemua mangsa sudah dihantar ke hospital.

Katanya, Syafiq beritahu dia cuba mengelak sesuatu sebelum kenderaannya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan.

“Dia masih dalam trauma,” katanya.

Ahmad berkata, isteri Syafiq, Nur Amalina Nur Ain, 25, dan anak sulung pasangan itu, Aaira Nur Saffiyya, 2, kini berada dalam keadaan stabil.

Tak Sangka Isteri Cucu Pulang Sebagai Jenazah

“Arwah isteri, Zainab Wahab, 46, ada hubungi saya dua hari lalu dan minta kemaskan rumah sebab nak bawa balik cucu baru.
“Tapi tak sangka pula dia dan cucu pulang sebagai jenazah,” kata Norain Shahadan, 50, bapa mentua kepada Syafiq.

Menurut Norain, dia menerima berita sedih itu melalui besannya, Ahmad Ibrahim, 56, yang menghubunginya sekitar 6 pagi tadi.

Katanya, dia ketika itu antara percaya atau tidak apabila dimaklumkan isterinya dan cucu mereka, Muhammad Aisy Saqeef, 22 hari, meninggal dunia dalam kemalangan.

Redha Hilang Isteri & Cucu

“Saya tidak menyangka, namun reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan isteri dan cucu kedua kami.

“Namun, saya bersyukur anak sulung, Nur Amalina, 25, menantu, Muhamad Syafiq Ahmad, 25, serta cucu sulung, Aaira Nur Saffiyya, 2, selamat,”

katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Padang Pusing, di sini, hari ini.

Menurut Norain, dia terkilan kerana tak sempat menatap wajah cucu barunya yang dilahirkan pada 14 November lalu dan hanya melihat melalui WhatsApp kumpulan keluarga di telefon bimbit.

Katanya, dia memang teruja mahu berjumpa cucu sulung lelaki, namun tidak kesampaian.

“Saya sempat berbual dengan isteri pun sekejap saja dan dia hanya beritahu nak balik apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat, hari ini.

“Sedih memang sedih, tapi apa nak buat, saya terima ketentuan Allah,” katanya.

Katanya, isterinya pergi ke rumah anak dan menantu mereka di Johor sejak perayaan Deepavali lalu.

MW: Semoga Syafiq dan isteri kuat menghadapi ujian ini. Ternyata bukan mudah untuk menerima apa yang berlaku. Apatah lagi kehilangan dua nyawa sekaligus. Al-fatihah.

Sumber: myMetro

Published by
Nur Syazwani Mehat