Pelukis Mural Gergasi Pemimpin KECEWA Karya Seni Tak DIHARGAI, Turut Diconteng Kata KESAT

Share

KECEWA. Bayangkan karya seni yang dihasilkan dengan penuh jiwa tidak dihargai. Lebih teruk mereka turut menconteng kata-kata kesat. Bukan mudah untuk menelan apa yang terjadi, lebih-lebih lagi karya seni menjadi tular.

Tiada yang lebih mengecewakan bagi pelukis melainkan karyanya bukan sahaja tidak dihargai tetapi turut diconteng dengan kata-kata kesat.

Pelukis mural gergasi pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di Shah Alam, Muhamad Firdaus Nordin, menjelaskan dia mengetahui mengenai mural yang dihasilkannya diconteng apabila dihubungi orang awam.

Sebaik sahaja mendapat berita itu, dia bergegas ke lokasi apabila dimaklumkan mengenainya apatah lagi sesudah melihat gambar dan video mengenai perbuatan vandalisme itu yang tular di media sosial.

“Sebaik sahaja dapat tahu, saya terus datang ke sini selepas tengok gambar dan video di ‘group whatsapp’, sampai sini sudah ada ramai orang dan lukisan sedang ditutup,” katanya.

Katanya, dia tidak mengesyaki ada pihak yang tidak berpuas hati mengenai karya seni itu susulan ia menjadi tular. Malah sebelum ini Yang Dipertuan Agong turut mencemar duli melawat mural berkenaan.

Pelukis Kecewa Karya Seni Tak Dihargai

“Kami syak, semalam petang selepas kedatangan pemimpin dan ahli politik. Malah terdapat beberapa komen berbaur politik yang saya baca di berita semalam,” katanya yang kelihatan kecewa memandang lukisan mereka diconteng.

Sementara itu, menurut seorang saksi dia terkejut dan kesal melihat karya seni anak muda itu diconteng.

“Jam 7 pagi tadi, ketika melalui kawasan ini, mural gergasi ini sudah diconteng, saya terkejut dan terus hubungi pelukis.

“Pelukis tiba setengah jam kemudian, begitu juga polis dan orang awam pun ada ambil gambar.

“Saya sebagai orang awam, kecewa dengan sikap tidak bertamadun orang yang mencontengnya. Ini kerugian yang besar, sepatutnya pandanglah lukisan itu sebagai karya seni bukan dari sudut lain,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Baca Juga Di sini:

Noorshila Amin Tumpang Hasil Karya Anak-Anak

‘Alhamdulillah, Karya Teme Dah Sampai Istana Negara..’ Luahan Jujur Pelukis Jalanan

Info lebih menarik, klik di sini. 

Lukisan Dicat Semula, Karya Seni Tak Dihargai

Tinjauan di lokasi kejadian kira-kira jam 10.50 pagi mendapati selain pelukis terbabit, polis dan pihak berkuasa tempatan mengawasi kawasan terbabit.

Lukisan itu juga sudah ditutup dengan kanvas dan polis turut melekatkan pita kuning DILARANG MASUK sebelum ia kesemua mural itu dicat semula dengan cat putih oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kawalan pihak polis sekitar 12 tengah hari.

Mural Gergasi Pemimpin Negara Tak Dihargai

Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika dihubungi kesal dengan tindakan vandalisme terhadap mural yang dihasilkan bagi menghargai usaha pemimpin negara menangani wabak COVID-19.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata tindakan menconteng lukisan mural di kawasan komersial, Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

“MBSA memandang serius terhadap perkara itu. Tindakan vandalisme seperti ini amat dikesali kerana mural tersebut diabadikan sebagai menghargai peranan dan sumbangan semua pihak khususnya pemimpin negara yang bekerja keras dan komited dalam menangani wabak COVID-19.

“Lanjutan daripada itu, MBSA mengambil langkah segera untuk mengecat semula dinding itu dengan cat berwarna putih.

“Pada masa yang sama satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Seksyen 6 berhubung contengan di mural terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Shahrin berkata, MBSA akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan vandalisme di tempat-tempat awam.

“Tindakan akan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 sekiranya didapati mana-mana pihak melakukan vandalisme.

“MBSA juga ingin menasihatkan kepada semua pihak merujuk terlebih dahulu kepada MBSA sebelum melakukan aktiviti mural di tempat awam di kawasan pentadbiran MBSA,” katanya.

MW: Tak mampu bayangkan perasaan pelukis, setelah berpenat-lelah dan karyanya diangkat, akhirnya lukisan yang mencuri tumpuan ramai dirosakkan sebegitu saja, Semoga pesalah dibawa ke muka pengadilan.

Sumber/ Foto: Berita Harian/ Facebook

Published by
Nur Syazwani Mehat