Tak boleh bayangkan tahun ini, tak dapat pulang ke kampung halaman sambut Hari Raya dengan mak ayah.Tak dapat nak nyalakan pelita raya bersama-sama mak ayah macam tahun-tahun sebelumnya.
Rindu.. usah cerita lagi. Namun, inilah norma baru yang perlu dilalui hampir oleh setiap rakyat Malaysia. Segalanya demi menghalang wabak Covid-19 daripada terus tular. Tak terkecuali ibu bernama Normah Suhor berusia 77 tahun ini.
Selepas pemergian suami, dia tinggal di Kampung Kuala Talang, Tanjung Ipoh sendirian. Kebiasaannya apabila tiba cuti, anak-anak akan pulang ke kampung menjenguknya. Tetapi semua itu tak lagi terjadi selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bakal berakhir 9 Jun depan.
Hajat di hati ibu tua ini mahu meraikan Aidilfitri dengan empat orang anak-anak ditemani 10 cucu dan dua cicit, tak lagi kesampaian. PKPB menghalang anak-anak dan cucu-cicitnya yang kesemuanya menetap di Kuala Lumpur, merentas negeri.
Pasang Pelita Raya Tanda Pertengahan Ramadan
Biarpun bakal melalui Aidilfitri tanpa anak-anak, Normah tetap menyalakan pelita raya di rumahnya. Kerana itu, adalah tradisi yang diamalkan keluarga sejak dulu dan sebagai tanda Ramadan sudah sampai ke pertengahan bulan.
“Pelita raya tetap dipasang biarpun Aidilfitri ini saya keseoranggan di rumah tanpa anak dan cucu.” Selalunya jika anak cucu pulang, merekalah yang akan bergotong royong memasang pelita keliling rumah.
“Sejak dulu itulah tradisi keluarga kami. Apabila terpasangnya pelita raya, maksudnya sudah di pertengahan Ramadan dan ketika itu jugalah semua anak-anak serta cucu akan pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama sambil memasang pelita raya.
“Jiwa akan tenang dan gembira apabila melihat anak dan cucu berlari-lari bermain bunga api di halaman rumah.
“Namun, semua itu tiada tahun ini, kesemua anak-anak sudah maklumkan mereka tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri di kampung.”
Membakar lemang pun menjadi tradisi keluarganya. Malah sejak awal Mei lalu, dia sudah menyediakan kelapa untuk dijadikan santan lemang.
Bila PKP disambung, dia batalkan hasrat. “Biarlah tak membakar lemang, asalkan saya tak sayu kenangkan anak-anak, cucu dan cicit di perantauan.”
Baca sini : Ziarah Aidilfitri Hari Raya Pertama Saja, Rumah Sempit Perlu Kurangkan Tetamu
Ibu Bimbang Keselamatan Anak Jika Pulang Ke Kampung
Sejak lima tahun lalu, Normah terbiasa hidup sendiri, iaitu selepas arwah suami meninggal dunia. Anak-anak pula menetap di Kuala Lumpur bersama keluarga mereka.
Katanya, sejak PKP 18 Mac lalu, anak-anaknya tak dapat pulang ke kampung menjenguknya. Jika sebelumnya, asal hujung minggu atau cuti umum, anak-anak akan bergilir-gilir pulang ke kampung.
Ada juga anaknya meluahkan keinginan mahu pulang. Tapi sebagai ibu yang bimbang keselamatan dan faham akan bahaya wabak Covid-19, dia menasihatkan agar anak-anak tak berbuat demikian.
Kakak sulungnya yang bernama Noraini, 79 juga tinggal berdekatan dengan rumahnya. Kakaknya juga akan meraikan Aidilfitri sendirian tanpa anak-anak yang kesemuanya menetap di luar Negeri Sembilan. Dan mereka tak dapat pulang kerana PKP.
MW : Sememangnya Aidilfitri tahun ini terasa begitu berbeza sekali. Tak dapat nak peluk cium mak ayah, bermaafan pun dari kejauhan. Namun, jangan padamkan semangat sambut Syawal penuh kemeriahan.
Sumber/Foto : Berita Harian Online
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI