
Isi Kandungan
ToggleMacam pelik, tapi benar itulah kepercayaan mistik yang berlaku di sebuah kampung di Thailand baru-baru ini.Remaja dan lelaki muda di kampung tersebut sanggup bertindak mewarnakan kuku masing-masing dengan warna merah selepas kampung mereka kononnya diserang oleh ‘hantu janda’. Ia dipercayai sebagai satu usaha untuk kelihatan seperti ‘perempuan’ bagi mengelakkan ‘hantu janda’ yang mensasarkan kaum lelaki untuk menjadi ‘korban’.
5 Kematian Misteri
Penduduk kampung Pu Hong, kawasan luar bandar wilayah Kalasin, Thailand trauma selepas lima penduduk, dua lelaki dan tiga wanita meninggal dunia dalam tempoh tiga minggu.
Dua lelaki pertama yang meninggal dunia adalah daripada keluarga yang sama, yang mana laporan menyatakan mereka tiba-tiba pengsan dan mati tanpa menyebut punca kematian secara khusus.
Kematian kelima adalah seorang gadis berusia 16 tahun yang terbabit dalam kemalangan motosikal. Butiran untuk dua kematian lain belum didedahkan kepada media.
Percaya Kerja ‘Dua Hantu’
Menurut Timbalan Datuk Bandar, Pongpipat Pukrongtoong, orang ramai tidak percaya ia adalah satu kebetulan sebaliknya menyalahkan semangat atau roh jahat di sebalik kecelakaan yang berlaku di kampung mereka.
Ahli psikik Bussadee Malasee, 60, memberitahu pemberita bahawa dia yakin apa yang berlaku adalah ‘kerja dua hantu’ iaitu ‘roh janda yang dahaga’ dan satu lagi adalah ‘pop’.
Difahamkan, pop adalah sejenis hantu Thai yang berkeliaran merasuk manusia dan makan benda-benda kotor di rumah mereka.
Malasee menjelaskan bahawa ‘hantu janda’ itu mahu mengambil nyawa kaum lelaki dan pop merasuk orang tua dan lemah di kampungnya sebelum ‘memakannya’ dari dalam.
Pasang Papan Tanda
Jadi, penduduk kampung telah memasang beberapa papan tanda di atas pagar mereka dengan tujuan untuk menipu ‘hantu janda’ tersebut.
Pada papan tanda itu ditulis: “Tak ada lelaki tinggal di sini.”

Atas sebab ini, ramai lelaki telah mewarnakan kuku mereka untuk menyamar sebagai wanita dan sebagai cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ‘hantu janda’, lapor Amarin TV.
Seorang penduduk kampung, Kitti Saosri, 72, berkata penduduk tempatan telah pergi ke kuil untuk mendapatkan perlindungan selepas siri kematian dan ramai yang tidak meninggalkan rumah mereka pada waktu malam.
Macam-macam hal, tak sangka ada ‘hantu janda’ didunia ni.Kematian tersebut mungkin hanya satu kebetulan, namun terpulang kepada yang mempercayai kepercayaan mistik ni.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lima Tahun Tinggal Serumah Dengan Madu, KEBERSAMAAN Rahsia Harmoni

Isi Kandungan
ToggleIsteri pertama ini, Puan Hannan Alias berkongsi kisah. Hidup serumah di bawah satu bumbung dengan madunya untuk tempoh lima tahun.
Katanya, dalam bahagia ada juga selisih faham. Namun, tidak lama. Kerana akhirnya situasi yang keruh itu dapat dijernihkan kembali.
Dalam soal hidup bermadu ini, ada perkara yang perlu diteliti dan dijaga baik oleh suami dan isteri-isteri. Yang mana, kadangkala ada pasangan bermadu tergelincir dalam penelitian ini.
BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM,
Alhamdulillah. Malam ini Allah izin untuk saya tunaikan janji kepada kalian. Moga ia menjadi asbab buat semua yang membaca untuk lebih positif tentang poligami itu sendiri. Moga lebih jelas tentang kehidupan berpoligami itu sendiri.
Baca dengan perlahan dan hadam satu persatu. Moga Allah memberi kalian kefahaman. Dan moga tulisan ini mampu merawat hati-hati yang sedang parah. Mampu menyejukkan jiwa-jiwa yang sedang terbakar.
Tulisan ini juga adalah hasil soalan yang seringkali diaju oleh kawan-kawan buat kami.
Moga Allah lindungi saya dan tulisan ini dari segala sifat ujub riak sum’ah takabbur. Ingat, segala yang berlaku. Baik atau buruk adalah dari Allah. Dengan izin Allah. Tiada yang hebat pada manusia yang hina. Kehebatan itu hanya milik Allah.
Tenang itu asbab bantuan Allah. Kalau Allah tak bantu, tersungkur jua ke tanah!
Sudah Lima Tahun Kami Tinggal Bersama
Alhamdulillah. Sudah 5 tahun kami tinggal bersama. Dalam sebuah rumah. Dan dalam 5 tahun itu juga sejuta macam cerita dan drama yang berlaku antara kami. Namun takdir Allah masih menetapkan kami untuk tinggal bersama.
Keputusan untuk tinggal serumah adalah sesuatu yang diputuskan oleh saya dan dia. Hasil perbincangan, istikharah dan istisyarah, maka suami bersetuju untuk menempatkan kami serumah. Alhamdulillah.
Sebelum membawa masuk ahli baru ke dalam rumah, encik suami telah menerapkan satu fahaman dalam kepala isteri-isterinya ialah KEBERSAMAAN.
Rumah ini milik bersama. Barang dalam rumah juga milik bersama. Apa-apa yang berlaku dalam rumah ini juga adalah tanggungjawab bersama. Dan hanya suami, saya dan madu yang berhak total ke atas rumah ini. Alhamdulillah.
PENGGILIRAN
Penggiliran kami mungkin tidak sama dengan penggiliran pasangan poligami yang lain. Itu tidak bermakna suami tidak adil. Ini kerana pekerjaan sang madu tidak sama seperti kami.
Seperti saya dan suami siang kerja, malam dah ada di rumah. Tapi bagi madu saya, dia terkadang ada oncall. Ada postcall.. ada pasif call. Ada aktif call. Jadi soal berebut giliran itu tiada buat masa ini. Dan alhamdulillah, penggiliran bukan isu utama bagi kami.
BAHAGI TUGAS
Bila duduk serumah maka segalanya perlulah dibuat secara bersama. Jadi bagaimana?
Seperti kami bertiga, masing-masing sudah ada tugas dan peranan tersendiri.
Contoh ;
Suami : Basuh baju, sidai baju, angkat baju, iron baju, beli barang basah untuk masak.
Madu : Kemas rumah, lipat baju, sapu sampah.
Saya : BAHAGIAN DAPUR adalah tempat saya. Jadi segala urusan berkaitan dapur itu urusan saya.
Jadi tiada pihak yang akan dengki atau iri hati. Sebab masing-masing dah tahu tugas.
LAYANAN SUAMI BILA 2-2 ISTERI ADA DI RUMAH
Layanan masih seperti biasa. Tetap melayan saya sebagai isterinya. Begitu juga sang madu. Lelaki yang hebat akan nampak dia seakan sangat menjaga hati isteri-isterinya agar tidak terover di depan isterinya agar tiada pihak yang sakit hati dan menyakitkan hati.
PRIVACY
Bagi kami rumah kami privacy kami. Bilik saya adalah bilik madu. Dan bilik madu boleh juga menjadi bilik saya. Dan suami bebas nak masuk bilik mana yang dia suka. Soal beli barang itu barang ini, kami biasa sahaja. Sebab barang yang dibeli tetap diletakkan di ruang rumah kami.
Jadi tidak timbul soal madu ganggu privacy saya atau saya mengganggu privacy madu. Pernah suami bertanya kepada saya dan madu soal privacy ini, setakat hari ini, alhamdulillah. Semua ok dan lancar.
KEBAJIKAN SUAMI
Masing-masing ada bahagian dan kelebihan masing-masing dalam melayani suami. Jadi tidak timbul isu isteri ini begini isteri itu begitu. Jika ada sesuatu yang perlu saya ajar madu, suami akan minta saya ajarkan. Begitu juga dengan madu.
Madu hebat bab penjagaan kesihatan. Jadi kesihatan suami sangat terpantau dan terjaga. Saya pula menjaga bab pengurusan suami itu sendiri. Ia berkaitan jadual kuliahnya. Kelas pengajiannya. Dan mengurus segala temujanji dia dengan clientnya.
PENJAGAAN ANAK-ANAK
Tiada masalah sangat. Sebab mungkin anak-anak dah besar. Easmael di asrama. Iffah sentiasa dengan saya. Sebab sekolah dia dekat dengan sekolah saya. Jadi tiada isu kebajikan anak terabai.
Pun begitu, bila di rumah atau keluar berjalan bersama, Iffah sangat rapat dengan madu. Hinggakan ramai yang menyangka Iffah adalah anak kandung madu. Tapi semua itu ok sahaja. Dan tidak menjadi isu besar buat kami.
NAMPAK MACAM BAGUS. TAK PERNAH GADUH KE?
Gaduh itu selalu sangat. Kadang benda kecik boleh jadi isu besar. Namun alhamdulillah, semua itu tidak lama. Dan biasanya bila dua-dua isteri tegang, maka suami akan mengambil langkah untuk diam seketika.
Biasanya pergaduhan dan pertelingkahan itu berakhir bila salah seorang kendur dan mengalah. Dan biasanya selepas gaduh kami akan postmortem dan buat kesimpulan. Apa yang perlu diteruskan dan apa yang perlu ditinggalkan.
Biasanya pergaduhan itu terjadi bila mana kesibukan melanda kami bertiga. Jadi masa untuk bercakap bersama itu tiada. Maka tercetuslah sesuatu antara kami bertiga. Dan biasanya isu kecil sahaja yang menjadi tercetusnya gaduh itu.
Pernah je terjadi, kerana bergurau akhirnya kami bergaduh. Nampak bodoh kan. Tapi itulah nak bagitahu bahawa saya, dia dan dia adalah anak manusia sama seperti kamu. Ada masa ok. Ada masa gelora.
JIKA BERLAKU PERGADUHAN, APA YANG DIBUAT
Pertama sekali, cek diri. Tapi biasala.. tengah panas, memang tak jumpa salah sendiri. Asyik nampak salah madu dan suami. Dan waktu ini lah suami memainkan peranannya. Bertindak sebagai pemimpin.
Bila dua pihak mengadu begitu begini, dia hanya mendengar. Dan biasanya suami hanya sebut 1 perkataan kepada saya.
“Kalau nak syurga, bukan begini caranya. Ini dah perangai ahli neraka. Jangan menang hanya pada hujah. Tapi kalah pada amal perbuatan.”
Alhamdulillah.. secara tak langsung terus kendur. Tengah malam terus masuk bilik madu. Jumpa dan minta maaf. Dan dia pun sama. Kami menangis bersama. Ingat semula kenapa pernikahan ini terjadi. Refresh niat. Dan akhirnya akur yang kami sebenarnya saling memerlukan.
PERNAH TAK MENGADU KAT ORANG LUAR BILA BERGADUH
Bila keadaan dah tak terkawal. Perlu juga minta pandangan orang luar iaitu pandangan mereka yang ahli dalam bidang ini. Bukan mengadu sebarangan. Pun begitu, setakat ini penasihat-penasihat yang ada sangat memahami dan mereka sendiri tinggal serumah dan sangat harmoni.
Nasihat mereka biasanya tidak membuatkan saya semakin jauh dari madu. Malah membuatkan saya lebih nampak salah saya kepada madu dan suami. Terima kasih buat ustazah dan ustaz yang banyak membantu.
5 tahun masih baru. Mereka dah 15 tahun 35 tahun duduk serumah. Mesti lebih ahli dalam bab gaduh-gaduh manja ini.
AMALAN UNTUK KEKAL BERSAMA SEPERTI SEKARANG DAN TERUS POSITIF
- Solat berjemaah dan makan bersama. Lakukan aktiviti bersama.
- Berjalan juga bersama. Ke mana sahaja kami akan berlima.
TIDAK PERNAHKAH TINGGALKAN SESIAPA ANTARA DUA ITU KESEORANGAN?
Setakat ini tidak. Cuma baru-baru ini, madu oncall. Jadi kami ke Temerloh pagi dan terus pulang ke Dungun pada malam tersebut. Terus pulang supaya nanti bila madu pulang ke rumah, saya, suami dan anak-anak ada di rumah.
TIDAKKAH PERNAH RASA MASA UNTUK BER ME TIME?
Masa me time bagi saya ialah bila suami giliran dengan madu. Itu baru betul-betul me time saya. Saya bebas nak tidur jam berapa. Nak tengok you tube hingga larut malam. Atau nak bangun bila-bila masa. Dan madu juga sama.
Me time kami tak perlu berlama-lama. Cukup sekadar sepanjang malam giliran sang madu. Alhamdulillah.
KALAU SUAMI MENINGGAL, APAKAH MASIH AKAN TINGGAL SERUMAH?
Kita hanya merancang. Allah yang menentukan. Tak mampu nak cakap lebih. Sebab benda tak berlaku lagi. Dan tak tahu siapa yang pergi dulu. Entah-entah saya yang mati dulu.
KALAU SUAMI MATI, DAN ADA LELAKI LAIN NAK KAHWIN DENGAN MADU SAHAJA, APA TINDAKAN?
Soalan memang advance gila. Jika ditakdirkan begitu, dan madu masih berjodohan dengan orang lain, silakan. InsyaAllah. Tiada apa pun yang perlu dirisaukan. Kerana semuanya telah Allah tetapkan.

Boleh jadi suami barunya itu jodoh yang terbaik buat dia. Sebab Allah tak pernah aturkan sesuatu itu sia-sia.
SERONOK NAMPAK KEBAHAGIAAN KELUARGA POLIGAMI AWAK. TERASA NAK JADI MACAM AWAK
Tak perlu jadi macam saya. Cukuplah kalian menjadi diri sendiri. Build up kekuatan sendiri. Tanpa perlu meminta untuk jadi seperti orang lain.
Kalian hanya nampak apa yang kalian nampak. Tapi kalian tak pernah tahu apa yang kalian tak tahu. Jadi, lebih baik jadi diri sendiri. Hargai pasangan yang ada. Jangan sekali-kali menyakiti hati isteri yang sedia ada dengan mengejar isteri yang baru untuk kepuasan diri.
PESANAN BUAT PARA SUAMI
Buat yang dah ada isteri-isteri baru, jangan pernah sekali-kali memaksa isteri kalian untuk menerima kehadiran orang baru tersebut.
Sekiranya nak juga isteri terima orang baru yang hadir dalam hidup anda, didik dan ajar isteri untuk kenal tuhan mereka. Bila dia kenal tuhan, awak bawa balik serombongan wanita pun dia tak heran sebab dia dah ada cinta paling agung di hatinya.
PESANAN BUAT PARA ISTERI
Layan suami seperti raja. Tapi jangan pernah sekali merajakan suami itu. Kerana, bila kalian merajakan suami itu maka kalian akan menempah kesakitan demi kesakitan dalam hidup kalian.
Ingat!
Suami adalah makhluk yang binasa. Jangan simpan suami itu di hati. Kelak kalian akan binasa sendiri. Pandanglah suami itu adalah wasilah dari Allah.
Apa pun yang berlaku, jangan dilihat suami itu yang melakukannya. Tapi, pandanglah siapa yang mengizinkan suami berkelakuan seperti itu.
Kita takkan pernah mampu ubah apa yang kita pandang. Tapi kita boleh ubah cara kita memandang sesuatu itu.
Kita hidup untuk Allah sayang. Suami dan anak-anak adalah perantara Allah menterjemah kasih sayangNya kepada kita.
Jelas?
Moga dapat sesuatu. Terima kasih sudi baca hingga ke titik akhir. Moga Allah memberi kefahaman buat kita semua.
MW : Kehidupan bermadu itu, mana-mana isteri sebolehnya tolak awal-awal. Jika takdir bermadu itulah ketentuanNya, ternyata suami dan isteri-isteri terpilih ini dapat melalui ujian lima tahun hidup bermadu dengan tenang dengan jalan hikmah. Alangkah hebatnya.
Sumber/Foto : Hannan Alias
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Baca sini :
- Dua minggu tak keluar bilik, lepas dapat tahu suami kahwin lagi
- Tak mahu suami terabai, isteri usaha carikan jodoh, ikhlas bermadu
- Punyalah bahagia, madu boleh tinggal serumah. Siap jadi kawan baik
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Darah Tinggi Eida Moin Sukar Bernafas, Muka, Bibir, Bahu Kebas, Kenali Punca & Komplikasi Penyakit

Isi Kandungan
ToggleDarah tinggi Eida Moin sukar bernafas, muka, bibir, bahu rasa kebas, kenali punca & komplikasi penyakit ini. Selepas beberapa hari ditahan wad sebuah pusat perubatan di ibu kota selepas mengalami tekanan darah tinggi, pelakon, penyanyi dan pelawak Eida Moin telah dibenarkan keluar dari hospital.
Hidap Darah Tinggi
“Alhamdulillah, keluar hospital terus pergi dinner rumah ratu @younglivingmy @vicha_barbie dia dah pesan suruh datang dinner rumah dia terus, rumah dekat je dengan hospital. Ya Allah sedap dan selera dapat makanan kampung,” kongsi Ieda yang juga bersyukur dia sudah dibenarkan pulang ke rumah.
Bacaan Tekanan Darah Tinggi Hampir 200
Difahamkan ketika itu tekanan darah tinggi pemilik nama sebenar Siti Haida Abdul Moin, 43 mencecah bacaan hampir 200 dek kerana itu dia perlu ditahan di wad beberapa hari untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan doktor.
Sebelum kejadian, seperti mana dilaporkan portal berita, Eida berasa tidak sihat dan mengalami masalah kesukaran bernafas sebelum ke hospital untuk membuat pemeriksaan.
“Awalnya, saya merasa badan tak sedap dan sukar bernafas.
“Bahagian muka, bibir, dan bahu saya pun rasa kebas.
“Saya tak pernah ada sakit darah tinggi sebelum ini.
“Itulah saya terkejut selepas lakukan pemeriksaan bacaan tekanan darah mencecah 196 dan naik sehingga 220,” ujarnya Eida.
Jadual Kerja Yang Padat
Akui Eida jadual kerja yang padat membuatkan dirinya kurang rehat, itulah antara punca kejadian tersebut berlaku. Malah doktor juga menasihati agar dirinya cukup rehat sebelum bekerja semula.
Doktor juga menitipkan pesanan kepada Ieda agar membuat pemeriksaaan lanjut dan sentiasa menitik beratkan kesihatannya.
Kata Ieda, ketika itu dia seakan tidak dapat menerima kenyataan itu kerana dia mengamalkan gaya hidup sihat dan jaga pemakanan, tetapi terpaksa terima yang dia ada penyakit itu sebab doktor lebih mengetahui.
KETAHUI PUNCA TEKANAN DARAH TINGGI
Seperti mana yang dipetik menerusi Portal Rasmi Hello Doktor, secara umumnya, penyakit hipertensi tidak mempunyai penyebab yang khusus. Tekanan darah boleh meningkat dalam beberapa keadaan tertentu seperti kepenatan, kesakitan, kegelisahan atau selepas melakukan aktiviti fizikal.
Walau bagaimanapun, individu tidak akan dianggap menghidapi hipertensi jika tekanan darahnya mampu kembali ke tahap yang normal.
Jadi, untuk mengetahui jika anda sendiri menghidapi penyakit ini, sila dapatkan diagnosis daripada doktor dalam jangka masa sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan sekali.
Pun begitu, ada beberapa faktor yang sering dikaitkan dengan penyakit tekanan darah tinggi termasuklah:
- Sejarah ahli keluarga
- Jantina (lelaki lebih berisiko berbanding wanita)
- Umur (lebih tua, lebih berisiko)
- Stres
- Obesiti
- Diabetes
- Tahap kolesterol dalam badan tinggi
- Merokok
- Pemakanan
- Pengambilan alkohol secara berlebihan
- Pengambilan garam & lemak secara berlebihan
- Pola tidur tidak teratur
- Gaya hidup sedentari
Apa komplikasi tekanan darah tinggi?
Secara umumnya, hipertensi boleh mengakibatkan tekanan atau bebanan kepada organ dalam badan sekali gus merosakkannya. Ia seterusnya akan menyebabkan beberapa kondisi kesihatan seperti:
- Strok
- Penyakit jantung seperti penyakit jantung koronari, kegagalan jantung kongestif, hipertropi ventrikular kiri
- Komplikasi pada mata
- Komplikasi pada buah pinggang
- Aneurisma
- Dalam erti kata yang lebih mudah, penyakit tekanan darah tinggi ini memang berbahaya jika tidak dikesan dan dikawal dengan kadar segera.
CARA MENURUNKAN DARAH TINGGI DI USIA MUDA!
Berikut merupakan beberapa cara menurunkan darah tinggi di usia muda:
- Elakkan stres berlebihan
Ya, dengan tekanan hidup zaman sekarang yang semakin tinggi dan kuat dalam kehidupan seorang anak muda, agak sukar untuk merealisasikan hasrat ini. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa stres adalah antara punca utama hipertensi berlaku. Jadi, anda perlu cuba sedaya upaya untuk menjauhkan diri dari sebarang tekanan serta dapatkan rehat dan tidur yang mencukupi untuk meminimumkan risiko anda menghidapi penyakit tekanan darah tinggi.
- Kawal berat badan
Umum mengetahui bahawa obesiti juga adalah faktor risiko penyakit tekanan darah tinggi berlaku.
- Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang
Bersesuaian dengan niat anda untuk mengawal berat badan, anda perlu menjaga pemakanan anda. Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran serta kurangkan makan makanan yang bergoreng, bergaram dan berlemak tinggi serta yang mengandungi bahan pengawet. Dalam pada itu, anda juga perlu hadkan atau berhenti terus dari mengambil alkohol. Seperti mana yang anda sudah tahu, ia adalah antara faktor risiko hipertensi.
- Lakukan banyak aktiviti fizikal
Aktiviti fizikal di sini bermaksud anda perlu bersenam atau bersukan sekurang-kurangnya 30 minit dalam sehari sebagai usaha atau cara menurunkan darah tinggi di usia muda. Ia mungkin akan mendatangkan kesan yang perlahan namun berkesan. Menurut kajian yang dijalankan oleh American College of Sports Medicine (ACSM), aktiviti fizikal secara sederhana seperti berjalan, berjoging atau melakukan kerja-kerja rumah sahaja sudah mampu untuk menurunkan tekanan darah anda.
Dalam pada itu, anda juga boleh membuat latihan kardiovaskular seperti berlari atau berenang sebagai rutin harian anda untuk melancarkan perjalanan darah dan meningkatkan kapasiti paru-paru serta menambah baik kesihatan jantung.
- Berhenti merokok
Tahukah anda bahawa nikotin dan pelbagai lagi racun berbahaya yang terdapat dalam rokok tembakau dan rokok elektronik boleh jadi punca saluran darah anda menjadi sempit? Ini sekali gus akan mengakibatkan tekanan darah anda meningkat. Ini bukan sahaja boleh berlaku kepada perokok tegar sahaja ya! Perokok pasif juga turut ada risikonya.

Semoga Cepat Sembuh & Dalam Lindungan Allah
Ramai yang mendoakan Ieda cepat sembuh dan dilindungi Allah SWT.
Baca Disini : Amalkan Minum Air Daun Sup & Bawang Putih, PETUA Ikhtiar Rawat Darah Tinggi
Kajian Buktikan 3 Bulan Makan Seulas BAWANG PUTIH, Dapat Turunkan Darah Tinggi
Mingguan Wanita : Semoga Ieda Moin cepat sembuh ya.
Sumber : Hello Doktor
Sumber Foto : Instagram Ieda Moin
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
Hidup satu kaki, ibu anak 4 ini tidak sesekali mengalah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Haid Datang Lambat Selepas Vaksin Covid-19, Jangan Risau! Perkara Itu Normal

Isi Kandungan
ToggleHaid datang lambat selepas vaksin Covid-19, jangan risau! perkara itu normal jika tempoh datang haid itu kurang lapan hari mengikut kajian yang dijalankan ini.
Setiap orang menerima impak berbeza setelah mendapat vaksin Covid-19, ada yang demam, malah ada yang sakit-sakit badan dan manakala ada segelintir wanita yang lewat datang bulan.
Haid Datang Lambat Selepas Vaksin Covid-19
Wanita yang divaksinasi terhadap Covid-19 menyaksikan sedikit kelewatan dalam haid iaitu hampir sehari berbanding mereka yang tidak mendapat pelalian, demikian menurut satu kajian dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Kajian yang dilakukan terhadap hampir 4,000 individu dan disiarkan dalam jurnal Obstetrics & Gynecology itu bagaimanapun menyatakan, tempoh datang bulan pada wanita tidak terjejas.
Jangan Risau!
Pengarang utama kajian itu, Alison Edelman memberitahu agensi berita AFP bahawa kesan yang berlaku adalah kecil dan bersifat sementara, namun mengesahkan pengalaman sedemikian oleh sebilangan wanita sebelum ini.
Kajian itu juga membantu menangani maklumat salah mengenai topik tersebut oleh golongan antivaksin yang berleluasa di media sosial.
Perkara Itu Normal
Peningkatan dalam jarak kitaran haid itu adalah tidak signifikan. Ia berikutan sebarang perubahan kurang daripada lapan hari adalah diklasifikasikan sebagai normal oleh Persekutuan Ginekologi dan Obstetrik Antarabangsa.
Kitaran haid biasanya adalah sekitar 28 hari, bagaimanapun tempoh sebenar adalah berbeza dalam kalangan wanita dan juga sepanjang hayat seseorang wanita. Kitaran haid juga berubah sekiranya seseorang wanita berada dalam keadaan tertekan.
Dalam kajian mereka, pasukan penyelidik berkenaan menganalisis data responden yang tidak didedahkan identiti mereka menggunakan aplikasi kesuburan dalam kalanganwanita berusia antara 18 hingga 45 tahun.
Sekitar 2,400 responden sudah menerima vaksinasi, manakala 1,500 yang lain tidak mendapat pelalian. – AFP
Artikel Berkaitan:
Sediakan ‘Period Kit’ Buat Anak Perempuan Bakal Datang Bulan KALI PERTAMA!
Datang Bulan Je Apa Kata Kunyah Halia, Mungkin Kurang Sikit Senggugut Hakak Semua
Mak-mak ‘Datang Bulan’, Da’i Hamidah Terang Cara Manfaat 10 Malam Terakhir Ramadan
Mingguan Wanita : Bagi mereka yang telah menerima vaksin Covid-19, jangan bimbang setiap orang mendapat kesan berbeza-beza. Haid datang lambat dalam tempoh sehari ke lapan hari adalah normal ya!
Sumber : Kosmo Online
Mingguan Wanita boleh diikuti di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini: https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI