Hiburan

Pelbagai Ujian Dilalui Jatuh & Terus Jatuh, Air Mata Alyah Terus Mengalir

Share

Penyanyi Datin Alyah baru-baru ini yang ditemui menafikan single baharunya yang berjudul Meluruh mempunyai kaitan dengan kisah rumah tangganya.

Malah kata Alyah dia sendiri rimas apabila orang di luar sana sering membuat andaian sendiri.

Dek kerana hanya kerana lagu-lagu nyanyiannya yang sering menampilkan kisah cinta luluh dan tidak kesampaian.

Jelasnya, dia tidak dapat mengawal emosi sehingga menitiskan air mata ketika membuat persembahan pada majlis tersebut.

Ini kerana mengenangkan perjalanan seninya yang penuh dugaan  dan bukan sebaliknya.

sumber foto: ig Alyah

“Cerita yang dipaparkan dalam single Meluruh langsung tiada kaitan dengan kisah rumah tangga saya.

Namun ia adalah gambaran perjalanan saya selama 19 tahun dalam industri seni yang penuh onak dan ranjau.

“Biarpun saya sudah lama berada dalam industri, ada perkara yang saya boleh kendalikan dan ada yang tidak.

“Apatah lagi dalam keadaan media sosial begitu berpengaruh dalam kehidupan kita hari ini.

“Sehingga semua orang terdedah dengan pelbagai kecaman yang boleh membawa impak negatif dalam kehidupan seharian.

“Apa pun, saya tidak mempunyai pilihan lain kerana saya cintakan muzik dan inilah dunia saya.

“Mahu tidak mahu, saya tetap kena duduk untuk berdepan dengan semua ini,” kata Alyah membuka bicara.

sumber foto: ig Alyah

Tonton Ceramah Agama Kurangkan Tekanan

Sebagai seorang selebriti Alyah tidak boleh lari dari mendapat kritikan nertizen.

Namun penyanyi ini mempunyai cara tersendiri dalam mengatasi tekanan tersebut.

“Apabila saya rasa tertekan saya akan bangun dan kemudian buka Channel Youtube dengan mendengar ceramah agama.

“Cara ini alhamdulillah dapat mengatasi tekanan perasaan yang saya hadapi.

“Biasanya saya akan mendengar ceramah Datuk Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Khalid Basalamah atau ceramah-ceramah yang santai dan lawak.

“Bila dengar ceramah mereka membuatkan hati saya tenang dan semakin kuat dari segi dalaman.

“Ilmu yang baik ini juga kadangkala saya kongsikan dengan peminat di laman sosial. Satu ayat yang saya pegang dan tak akan lupa dimana “Allah sentiasa ada dengan kita dan mendengar masalah kita.”

“Jika sebelum ini saya lepaskan di Instagram sekarang ini saya hanya dekat dengan Allah.

“Dan akan mengadu kepada Yang Maha Esa,” luah Alyah sebak.

Sewaktu majlis tersebut air mata Alyah kerap kali mengalir, ditanya mengapa dia terlalu sebak.

Alyah menjelaskan dia tersentuh kerana terbayangkan kesukaran dan kepayahan yang dilalui sepanjang bergelar penyanyi.

“Banyak kisah suka dan duka yang saya lalui sepanjang bergelar anak seni. Apatah lagi pelbagai ujian dilalui, jatuh dan terus jatuh.

“Tapi saya bukannya seorang yang mudah putus asa.

“Bezanya sekarang ini cabaran lebih besar dimana saya terpaksa berhadapan dengan kata-kata netizen.

“Dan orang sekeliling yang mahu lihat saya terus jatuh,” luah Alyah sambil menyapu air matanya.

Bakal Rai Ulang Tahun Ke-20 Dalam Bidang Seni

Penyanyi ini terus membuktikan kecemerlangannya dalam membawakan lagu-lagu berentak balada.

Apabila sekali lagi tampil dengan genre balada menerusi single terbaharunya, Meluruh.

Bukan sahaja mengetengahkan melodi yang indah, tetapi lagu ciptaan Helen Yap serta lirik oleh Slen.

Ini turut tampil dengan sebuah muzik video yang cukup meruntun hati.

Hasil sentuhan Ghaz Abu Bakar, bersesuaian dengan penceritaan yang dibawakan dalam lagu tersebut.

Mengakui bukan mudah menghasilkan single itu.

Alyah juga bakal meraikan ulang tahun tahun ke-20 dalam industri muzik pada tahun depan.

Alyah mengharapkan agar peminat menerima baik buah tangan terbaharunya itu.

“Bagi yang sentiasa mengikuti perkembangan kerjaya seni saya, pasti tahu setiap tahun saya akan tampil dengan single baharu untuk peminat. Cuma sama ada lagu tersebut menjadi atau tidak sahaja.

“Kalau boleh saya tidak mahu hanya terikat dengan lagu-lagu balada, malah teringin tampil dengan lagu-lagu berentak rancak untuk memberi kelainan.

“Bagaimanapun setiap kali bertemu peminat, mereka sentiasa mahu lihat saya tampil dengan lagu-lagu berentak balada.

“Samaada ketika membuat persembahan mahupun untuk single baharu,” katanya yang akur dengan kehendak peminat.

Pendam Impian

Sentiasa aktif menghasilkan single terbaharu saban tahun, Alyah mengakui menyimpan impian untuk menghasilkan sebanyak mungkin single sepanjang aktif sebagai penyanyi.

“Setiap tahun saya akan pastikan untuk keluar dengan lagu baharu demi kelangsungan kerjaya seni saya.

“Ini kerana menyanyi bukan hanya sekadar hobi, tetapi merupakan bisnes saya sebagai anak seni.

“Adalah menjadi impian saya untuk menghasilkan single sebanyak yang boleh dan mengikuti jejak beberapa penyanyi senior.

“Seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Ziana Zain yang mempunyai puluhan track lagu terbaik mereka ketika aktif dalam bidang seni,” ujarnya.

 

Published by
Norhayati Suboh