Pelakon WAN MAIMUNAH Bantu Keluarga Murid Susah, Terputus Bekalan Makanan

Share

Tak dinafikan ramai golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, hingga ada yang terputus bekalan makanan harian. Rezeki lebih yang ada tak salah untuk dikongsikan dengan mereka yang memerlukan.

Rupanya dalam diam, pelakon veteran Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 64, menggerakkan Akademi Wan Maimunah and Friends (WNF) yang ditubuhkan pada 2019 untuk menghulurkan bantuan kepada golongan terkesan dengan impak penularan pandemik COVID-19.

Baru-baru ini, Akademi WNF bersama Badan Kebajikan Guru Sekolah Kebangsaan Desa Aman (BKGSKDA), Selangor mengagihkan 100 bakul makanan kepada keluarga murid sekolah terbabit.

Sediakan 100 Bakul Makanan

Sudah hampir 50 tahun menceburkan diri dalam industri seni, Wan Maimunah yang yang cukup terkenal dengan watak air mata memberitahu, projek itu mendapat sokongan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia).

“MERCY Malaysia menyediakan 100 bakul makanan untuk diagihkan kepada anak-anak yatim, miskin dan asnaf di Sekolah Kebangsaan Desa Aman (SKDA).

“Ramai keluarga murid di sekolah itu yang terkesan dengan pandemik COVID-19. Dengan izin Allah, saya terpanggil untuk membantu serba sedikit.

“Saya sedih mendapat tahu keperitan dilalui murid sekolah itu melalui anak saya, Rosnita Ismail yang juga guru di SKDA.

“Jadi apa salahnya, saya berusaha dengan badan kebajikan sekolah terbabit untuk menghulurkan sumbangan,” katanya.

Proses Agihan Secara Pandu Lalu

Sebagai permulaan, proses agihan bantuan yang dikendalikan secara pandu lalu di lobi SKDA menyerahkan 70 bakul makanan. Baki 30 bakul makanan akan diagihkan Sabtu ini, di lokasi sama.

Wan Maimunah berkata, dia menangis sebaik mendapat tahu ada ibu bapa yang menghubungi kakitangan sekolah dan memberitahu mereka terputus bekalan makanan selepas dijangkiti COVID-19.

“Apabila mendapat tahu kebanyakan kakitangan dan murid di sekolah itu terkesan akibat impak penularan COVID-19, takkanlah saya berdiam diri.

“Saya diberitahu ada keluarga yang cuba mendapatkan bantuan jiran tetapi tidak disahut. Benar, perkara ini tidak terjadi kepada kita, jadi kita mungkin tidak faham.

“Namun, Allah memberi hidayah dan petunjuk kepada kami anak-beranak untuk membantu. Alhamdulillah, kami dapat berganding bahu agih bantuan agar mereka dapat meneruskan hidup,” katanya.

Agihan Ikut Prosedur SOP

Wan Maimunah berkata, dia memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi ketika bantuan diagihkan.

“Saya sedar mengenai risiko jangkitan. Jadi, saya sentiasa memakai pelitup muka, sarung tangan dan sebagainya ketika membuat agihan. Selebihnya, saya berserah kepada Allah dan bertawakal,” katanya.

Sebelum ini, Ramadan lalu, Wan Maimunah menyumbang 100 bakul makanan kepada insan memerlukan.

“Saya tidak pandai membuat surat atau mengirim e-mel memohon sumbangan orang ramai. Semua ini dilakukan atas bantuan anak dan suaminya yang tidak putus berusaha.

“Mudah-mudahan ada lagi pihak yang sudi memberi sumbangan untuk diserahkan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Ikhlas Beri Bantuan

Wan Maimunah juga bersyukur banyak pihak sudi bekerjasama dengan Akademi WNF mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Apa yang saya usahakan ini bukanlah mengharapkan balasan atau mengejar nama. Saya ikhlas membantu kerana tidak sanggup mendengar kisah sedih mereka yang terkesan dek pandemik COVID-19.

“Insya-Allah, selepas ini saya mahu merealisasikan majlis qiamullail bersama artis legenda seperti Norlia Ghani, Mek Habsah, Shaharuddin Thamby dan ramai lagi,” katanya.

Akademi WNF ditubuhkan selepas Wan Maimunah dinobatkan Tokoh Wanita Negeri Melaka pada 2019.

Baca Lagi Di Sini :
Ibu Tunggal Jadi Ketua Keluarga, Suami Meninggal Saat Dia Hamil Anak Ke 6

Rider Terlantar Tidak Boleh Bekerja Selepas Kemalangan, Dugaan Berganda Bila Isteri Keguguran

ALTIMET Catu Makanan Keluarga, Kongsi REZEKI Dengan Jiran-Jiran Lebih Memerlukan!

Mingguan Wanita : Alhamdulillah, tahniah Wan Maimunah atas usaha kecil ini namun besar maknanya bagi golongan yang memerlukan. Semoga ramai antara kita yang dapat mencontohi usaha seperti ini.

Sumber: Bharian

Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW

Mingguan Wanita juga boleh diikuti di

YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial

Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita

Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita

Published by
Suhaidah Abd Wahab