Tak dinafikan ramai golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, hingga ada yang terputus bekalan makanan harian. Rezeki lebih yang ada tak salah untuk dikongsikan dengan mereka yang memerlukan.
Rupanya dalam diam, pelakon veteran Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 64, menggerakkan Akademi Wan Maimunah and Friends (WNF) yang ditubuhkan pada 2019 untuk menghulurkan bantuan kepada golongan terkesan dengan impak penularan pandemik COVID-19.
Baru-baru ini, Akademi WNF bersama Badan Kebajikan Guru Sekolah Kebangsaan Desa Aman (BKGSKDA), Selangor mengagihkan 100 bakul makanan kepada keluarga murid sekolah terbabit.
Sediakan 100 Bakul Makanan
Sudah hampir 50 tahun menceburkan diri dalam industri seni, Wan Maimunah yang yang cukup terkenal dengan watak air mata memberitahu, projek itu mendapat sokongan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia).
“MERCY Malaysia menyediakan 100 bakul makanan untuk diagihkan kepada anak-anak yatim, miskin dan asnaf di Sekolah Kebangsaan Desa Aman (SKDA).
“Ramai keluarga murid di sekolah itu yang terkesan dengan pandemik COVID-19. Dengan izin Allah, saya terpanggil untuk membantu serba sedikit.
“Saya sedih mendapat tahu keperitan dilalui murid sekolah itu melalui anak saya, Rosnita Ismail yang juga guru di SKDA.
“Jadi apa salahnya, saya berusaha dengan badan kebajikan sekolah terbabit untuk menghulurkan sumbangan,” katanya.
Proses Agihan Secara Pandu Lalu
Sebagai permulaan, proses agihan bantuan yang dikendalikan secara pandu lalu di lobi SKDA menyerahkan 70 bakul makanan. Baki 30 bakul makanan akan diagihkan Sabtu ini, di lokasi sama.
Wan Maimunah berkata, dia menangis sebaik mendapat tahu ada ibu bapa yang menghubungi kakitangan sekolah dan memberitahu mereka terputus bekalan makanan selepas dijangkiti COVID-19.
Ads
“Apabila mendapat tahu kebanyakan kakitangan dan murid di sekolah itu terkesan akibat impak penularan COVID-19, takkanlah saya berdiam diri.
“Saya diberitahu ada keluarga yang cuba mendapatkan bantuan jiran tetapi tidak disahut. Benar, perkara ini tidak terjadi kepada kita, jadi kita mungkin tidak faham.
“Namun, Allah memberi hidayah dan petunjuk kepada kami anak-beranak untuk membantu. Alhamdulillah, kami dapat berganding bahu agih bantuan agar mereka dapat meneruskan hidup,” katanya.
Agihan Ikut Prosedur SOP
Wan Maimunah berkata, dia memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi ketika bantuan diagihkan.
“Saya sedar mengenai risiko jangkitan. Jadi, saya sentiasa memakai pelitup muka, sarung tangan dan sebagainya ketika membuat agihan. Selebihnya, saya berserah kepada Allah dan bertawakal,” katanya.
Sebelum ini, Ramadan lalu, Wan Maimunah menyumbang 100 bakul makanan kepada insan memerlukan.
Ads
“Saya tidak pandai membuat surat atau mengirim e-mel memohon sumbangan orang ramai. Semua ini dilakukan atas bantuan anak dan suaminya yang tidak putus berusaha.
“Mudah-mudahan ada lagi pihak yang sudi memberi sumbangan untuk diserahkan kepada golongan memerlukan,” katanya.
Ikhlas Beri Bantuan
Wan Maimunah juga bersyukur banyak pihak sudi bekerjasama dengan Akademi WNF mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan.
“Apa yang saya usahakan ini bukanlah mengharapkan balasan atau mengejar nama. Saya ikhlas membantu kerana tidak sanggup mendengar kisah sedih mereka yang terkesan dek pandemik COVID-19.
“Insya-Allah, selepas ini saya mahu merealisasikan majlis qiamullail bersama artis legenda seperti Norlia Ghani, Mek Habsah, Shaharuddin Thamby dan ramai lagi,” katanya.
Akademi WNF ditubuhkan selepas Wan Maimunah dinobatkan Tokoh Wanita Negeri Melaka pada 2019.
Mingguan Wanita : Alhamdulillah, tahniah Wan Maimunah atas usaha kecil ini namun besar maknanya bagi golongan yang memerlukan. Semoga ramai antara kita yang dapat mencontohi usaha seperti ini.
Resepi sosej ayam ini mudah saja nak buat. Bahan-bahan yang digunakan pun tak menggunakan bahan pengawet. Cuma 30 minit saja diperlukan untuk mengukus.
“Alhamdulillah, cubaan pertama buat sosej sendiri menjadi. Tak ada bahan pengawet lagi. Anak-anak pun suka makan.” Inilah resepi sosej ayam yang dikongsikan oleh Puan Liza Sabran.
Bahan-Bahan Sosej Ayam Homemade
Ayam
Lobak
2 biji telur
2 sudu tepung gandum
Garam dan separuh kiub ayam
Ini Cara Membuat
1. Blendkan daging ayam, sayur (saya guna lobak merah je), telur 2 biji, garam dan separuh kiub ayam. Tambahkan sikit air kalau terlalu pekat.
2. Gaulkan dengan 2 sudu tepung gandum.
3. Kukus lebih kurang 30 minit atau hingga masak.
4. Potong-potong ikut suka
5. Celupkan telur dan goreng.
Mudah sajakan. Nanti lebihan sosej ayam itu kena masukkan dalam peti beku. Tapi, memandangkan tak gunakan bahan pengawet ia taklah bertahan sampai berbulan lamanya.
Ramai yang keliru dengan fungsi Baking Soda dan Baking Powder, serta tidak tahu cara sebenar penggunaannya. Lebih-lebih lagi, jika jarang-jarang membuat kek mahupun mengadun biskut, serta tak biasa dengan bahan ini silap pilih ia mengakibatkan kek atau biskut yang diadun tidak menjadi.
Mungkin warna serbuknya putih kelihatan sama tapi sebenarnya kedua-dua bahan ini mempunyai peranan dan fungsi yang berbeza. Kedua-dua baking soda dan baking powder adalah agen penaik yang bermaksud apabila keduanya ditambah ke dalam bahan-bahan untuk dibakar, ia akan menghasilkan karbon dioksida dan menyebabkan doh naik.
Baking Soda
Nama kimia baking soda adalah sodium bikarbonat. Apabila bahan ini dicampur dengan kelembapan dan bahan berasid, tindak balas kimia yang berlaku akan menghasilkan buih-buih karbon dioksida yang akan mengembang dalam suhu oven, menyebabkan hasil bakeri turut mengembang atau naik.
Contoh bahan berasid termasuklah yogurt, coklat, buttermilk, madu dan sebagainya. TIndak balas kimia antara baking soda dan bahan-bahan lain berlaku sebaik sahaja ianya dicampur, jadi anda perlu membakarnya serta merta, atau produk bakeri/pastri anda tidak akan naik.
Baking Powder
Baking powder mengandungi sodium bikarbonat dan juga bahan-bahan lain seperti agen pengasid (krim tartar) serta agen pengering (selalunya kanji).
Terdapat 2 jenis baking powder, iaitu single-acting dan double-acting.
Jenis single-acting diaktifkan oleh kelembapan, jadi resipi yang menggunakan bahan ini perlu dibakar sejurus ia dicampur. Baking powder jenis double-acting mempunyai tindak balas kimia dalam 2 fasa, dan boleh dibiarkan sebentar sebelum dibakar.
Penggunaan double-acting baking powder akan membebaskan gas tertentu pada suhu bilik, namun sebahagian besar gas berkenaan terbebas selepas suhu doh di dalam oven meningkat.
Menentukan Penggunaan Baking Powder Atau Baking Soda Dalam Resipi
Sesetengah resipi menggunakan baking soda, sesetengah resipi yang lain menggunakan baking powder. Bahan mana yang perlu digunakan bergantung kepada bahan-bahan lain yang digunakan di dalam resipi.
Matlamat utama adalah untuk menghasilkan produk berkualiti yang sedap dan mempunyai tekstur yang enak. Baking soda adalah sejenis alkali (basic), jadi produk hasil penggunaana bahan ini sedikit pahit kecuali terdapat bahan berasid lain yang digunakan. Baking soda selalunya digunakan dalam resipi cookies.
Baking powder pula mengandungi kedua-dua bahan berasid dan beralkali, dan atas sebab ini, rasa hasil bakar secara keseluruhan adalah lebih neutral.Resipi yang menggunakan baking powder selalunya memerlukan bahan yang neutral rasanya, seperti susu. Baking powder adalah bahan asas dalam pembuatan kek dan biskut.
Pengganti Kedua Bahan Ini Dalam Resipi
Baking soda boleh digantikan dengan baking powder, namun kuantiti yang digunakan adalah lebih banyak dan akan memberi kesan terhadap rasa. Sebaliknya, baking powder tidak boleh digantikan dengan baking soda.
Baking soda itu sendiri kurang dari segi tahap asidnya untuk membuatkan sebiji kek kembang mahupun naik. Namun, anda boleh membuat baking powder anda sendiri sekiranya anda mempunyai baking soda dan krim tartar.
Caranya, campurkan 2 bahagian krim tartar untuk setiap bahagian baking soda (Kadar 2:1 untuk krim tartar:baking soda).
Jadi tunggu apa lagi, jom ke dapur untuk membakar kek, biskut dan cookies!
Semoga bermanfaat, kongsiakan juga buat wanita lain yang gemar membuat kek & biskut!
Mak ayah sebenarnya memang boleh elak anak daripada ‘Speech Delay’ jika ambil berat dengan beberapa faktor persekitaran yang menyebabkan perkara ini terjadi. Ramai sebenarnya mak ayah mempunyai anak yang mempunyai masalah untuk bertutur atau lambat bercakap ni. Lebih merisaukan mak ayah bila umur anak semakin meningkat tapi masih tak pandai bercakap atau hanya boleh menuturkan beberapa perkataan je.
Baru-baru ini pasangan selebriti Wawa Zainal dan Airil Zafriel turut berkongsi perkara yang sama dialami oleh anak sulung mereka, Attar yang belum pandai bercakap walaupun telah berumur 4 tahun dilaman instagram mereka.
Menurut perkongsian oleh Speech Language Pathologist,Puan Ruby Atika yang juga merupakan Pengetua dari Ruby EIP Centre;
Faktor persekitaran yang menyebabkan speech delay dan faktor ini sebenarnya adalah benda-benda yang boleh dielakkan jika ibubapa lebih bersikap ambil tahu:
1. Sindrom Anak Pertama
Ibubapa tiada pengalaman dan tak pula ambil tahu tentang ilmu mendidik anak sejak bayi.
2. Sindrom Anak Bongsu
Ibubapa sudah lupa langkah-langkah merangsang otak anak dan serahkan tugas mengasuh anak kepada abang kakak yang lebih besar.
3. Gajet
Pendedahan kepada gajet, skrin tv seawal bayi dalam tempoh lama.
4. Ibubapa Terlalu Sibuk
Ibubapa terlalu sibuk dan serahkan anak kepada pengasuh/nenek terlalu lama. Mereka pula letak anak depan tv atau tidurkan anak lama supaya boleh kerja lain atau letih menjaga anak kecil. Ada pula jenis tak suka mainan sepah. Maka anak anda tidak bermain.
5. Tidak Bersembang Dengan Anak
Ibubapa anggap anak bawah 1 tahun masih terlalu bayi dan tidak boleh bercakap. Maka anda tidak bersembang dengan anak.
6. Lebihkan Smartphone
Ibubapa pandang smartphone lebih lama dari pandang anak, walaupun anak itu ada depan mata anda.
Balik ni, muhasabah diri. Ibubapa berubah, anak juga turut berubah.
Info Ekstra!
Apa itu Speech Therapy?
Speech therapy adalah terapi khusus yang bertujuan untuk menangani mereka yang bermasalah dalam bertutur, seperti lambat bertutur dan mempunyai masalah untuk berkomunikasi sesama rakan sebaya dan orang di sekelilingnya.
Ada yang hanya mengalami sedikit masalah dan boleh diselesaikan dengan galakan tetapi tidak kurang juga yang disahkan menghidap penyakit autisme dan perlu menjalani beberapa siri speech therapy.
Speech Delay
Pada kebiasaannya, ibubapa boleh mengesyaki sesuatu tidak kena dengan anak mereka terutamanya apabila anak mereka lambat untuk memulakan pertuturan. Ia juga dikenali sebagai speech delay.Dan jika si anak boleh bertutur, hanya sedikit sahaja perkataan yang boleh disebut. Kadang-kadang ini boleh membuatkan si anak meradang kerana tidak dapat apa yang mereka nak.
Sebaiknya, jika mak ayah mengalami anak yang masih tidak pandai bercakap atau hanya tahu menuturkan beberapa perkataan je, bertindaklah dengan cepat. Seeloknya bawa anak berjumpa dengan therapi dan pakar bagi mengenal pasti masalah yang sebenar.
Semoga bermanfaat dan kongsikan pada ibu bapa lain.