Pelakon yang aktif menghiasi kaca TV menerusi karya-karya drama lakonannya, Idris Mat Diah telah meninggal dunia. Arwah yang popular dengan watak ‘Pak Andak’ menerusi drama bersiri 7 Hari Mencintaiku menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2.30 pagi pada usia 61 tahun di kediamannya di Persint 9, Putrajaya.
Seperti mana yang diberitahu kepada Mingguan Wanita menerusi Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, anak Allahyarham, Alia menerangkan ayahnya disedari tidak sedarkan diri pada jam 2 pagi tadi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak pasukan perubatan setengah jam kemudian.
“Sejak dua tiga hari lalu, arwah tiada selera makan, sebelum tidak sedarkan diri pada jam 2 pagi tadi,” katanya.
Dalam pada itu, Alia juga turut memaklumkan agar kenalan bapanya untuk menghubungi pihak waris, sekiranya arwah ada berhutang.
“Saya mohon jika ada ayah ada hutang sesiapa untuk hubungi saya,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan pada jam 11 pagi tadi di tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Kepong.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, Allahyarham cukup dikenali menerusi drama TV dan sering memegang watak sebagai bapa yang penyayang.
Antara drama lakonannya ialah 7 Hari Mencintaiku, Menantu Bilal, Cucu Tauke Beras, Andainya Takdir, Zahir Tak Terucap dan lain-lain.
Sumber Foto: Seniman
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/